Sebelum hendak menanam kenalah tahu serba sedikit tentang penggunaan tanah yang sesuai untuk tanaman. Ini penting sebagai perkara asas untuk pastikan tanaman yang disemai atau ditanam dapat hidup subur.
Bahkan ada campuran tertentu yang perlu dilakukan, dan perkiraannya cukup mudah dan ringkas.
Nak tahu lanjut, ini perkongsiannya.
Kali ini saya nak cerita tentang campuran tanah. Campuran tanah penting terutama jika kita menanam dalam pasu atau bekas.
Bagusnya tanaman kita bergantung kepada campuran yang kita buat.
Untuk faham ini, terdapat 3 komponen perlu ada dalam campuran.
Komponen #1 – Tanah atas
Tetapi tidaklah mudah untuk mendapat tanah atas yang bagus.
Oleh itu saya kategorikan tanah atas ini boleh jadi tanah sawit, tanah bukit, tanah merah, ataupun tanah Eco.
Tanah kita beli di kedai Eco tu nampak sahaja hitam tapi tak hitam sebenarnya. Ia adalah tanah bukit yang dicampur dengan sekam bakar. Sebab itu bila siram hitamnya hilang. Kuningnya pula timbul.
Jangan risau. Baca sampai habis. Saya akan beri cara rawatan.
Komponen #2 – Bahan organik
Bahan organik ini meningkatkan kemampuan untuk menyerap air dan baja. Selain itu akan menjadikan struktur tanah campur lebih bagus.
Contoh: Sabut kelapa hancur (cocopeat), kompos, dedaun hancur
Komponen #3 – Pasir
Pasir ini memberi ruang agar tanah tidak padat. Ini akan membuatkan tanah tidak mudah bertakung dan air mudah lalu.
Tidak semestinya pasir digunakan. Sekarang saya guna sekam bakar sebagai pengganti pasir. Lebih bagus.
Lagipun sekam bakar ini kesannya sama seperti vermikulti dan perlit yang juga termasuk dalam komponen #3 ini.
Contoh: pasir sungai, sekam bakar, vermikulit, perlit
Setelah kita faham 3 komponen ini, kita perlu buat nisbah campuran.
Untuk tanaman sayuran, saya akan rekomen 3:2:1:1
3 tanah atas
2 bahan organik
1 pasir
1 tinja ayam
Nisbah ini disukat menggunakan isipadu dan bukannya berat.
Contohnya kita guna sukatan baldi 15L. Jadi semua bahan-bahan campuran disukat menggunakan baldi yang sama.
Gaulan pula perlu sebati. Caranya adalah apabila gaul semua kita tidak akan nampak lagi setiap satu bahan itu secara asing. Semua nampak sebati.
Walaupun begitu proses membuat tanah campur yang terbaik ini bukanlah mudah.
Proses mencari bahan itu sendiri makan kos.
Namun, berbaloi bagi yang ingin mencuba.
Oh ya baca sampai habis kan? Saya bagi bonus cara rawat tanah kedai Eco.
Campurkan tanah kedai Eco dengan sabut kelapa hancur (SKH) dengan nisbah 2:1. 2 beg tanah eco + 1 beg SKH + 2-3 genggam kompos. Kompos ni baca perenggan bawah keluaran Kebun Bandar.
Gaul. Lihatlah nanti perkembangan bagus pokok.
Sumber : Izham Alias