Bercakap tentang membersihkan rumah, tentu kita semua biasa menggunakan bahan-bahan pencuci tertentu untuk memastikan proses membersihkan rumah menjadi lebih berkesan.
Malah viral juga sebelum ini dengan beberapa perkongsian di media sosial menggabungkan beberapa sumber bahan pencuci untuk mendapatkan hasil yang luar biasa. Kebenarannya hanya bagi mereka yang telah mencubanya sahaja tahu.
Pun begitu, siapa sangka campuran tersebut boleh membahayakan kesihatan. Ini bagaimana perkongsian daripada Pusat Racun Negara yang memaklumkan Surirumah Keracunan Gas Klorin.
Diharapkan selepas ini kita semua lebih peka dan jangan ambil mudah dalam perkara-perkara yang melibatkan menggabungkan bahan-bahan tertentu yang boleh mendatangkan kesan yang buruk pada kesihatan.
Jom semak perkongsian ini.
SURIRUMAH KERACUNAN GAS KLORIN
Gas klorin merupakan gas beracun yang boleh menyebabkan kesan kesihatan yang teruk terutamanya pada saluran pernafasan manusia jika terhidu.
Gas ini yang kebiasaannya berwarna kuning kehijauan boleh mengakibatkan simptom seperti batuk, sesak nafas, sakit dada, rasa pedih pada tekak, loya, muntah-muntah, pening, sakit kepala dan pelbagai simptom yang lebih teruk jika terdedah pada jangka masa yang lama.
Salah satu kes yang diterima oleh Pusat Racun Negara pada hari ni adalah seorang surirumah telah keracunan gas klorin.
Agak-agak anda, daripada manakah sumber gas klorin tersebut?
Komen daripada Mukarramah Mustapa lebih kurang sama seperti kes ini.
Seorang surirumah telah mencampurkan cecair peluntur yang mengandungi Sodium Hipoklorit dengan cecair pencuci lantai yang mengandungi Asid Hidroklorik. Kedua-dua bahan ini mengandungi unsur asas klorin.
Apabila dua bahan ini bercampur, tindakbalas kimia antara bahan ini akan membebaskan gas klorin yang beracun.
Oleh itu, janganlah sewenang-wenangnya mencampurkan produk-produk kimia kegunaan isi rumah kerana anda mungkin tidak mengetahui tindakbalas kimia yang akan berlaku.
Cuba Bereksperimen
Nyata, ramai juga yang pernah alami kejadian ini bila mana cuba bereksperimen dengan hasilkan campuran menggunakan bahan-bahan cecair tersebut.
sumber : Pusat Racun Negara