Cacat Penglihatan Tetapi Bergelar Mekanik Motosikal. Ibu Cetus Kejayaan Kepada Pemuda Ini

Share

Sesungguhnya doa seorang ibu terhadap anaknya adalah doa tanpa hijab di hadapan Allah bagi memastikan anak tersayang dapat menjadi seorang khalifah yang terbaik dimuka bumi ini. Biarpun anak cacat penglihatan, ibu tetap mendoakan yang terbaik buat anak. Begitulah yang dilalui oleh pemuda ini, Azhar Ibrahim, 36,  yang cacat penglihatan sejak kecil tetap berjaya bergelar mekanik motosikal  di bengkel yang diusahakannya.

Lebih manis, sikap berdikari dalam dirinya telah dibentuk sejak kecil oleh ibunya. Ibunya berpendirian mahu mendidiknya sama dengan adik-beradik yang normal lain. Malah, ibunya pernah dinasihati agar memberikan Azhar tongkat bagi memudahkan pergerakannya.

Namun ibunya tidak mahu berbuat demikian kerana tidak mahu Azhar kelihatan seolah-olah berbeza dengan adik beradiknya lain yang normal. Disebabkan itu, walaupun cacat penglihatan, namun Azhar tidak kekok berjalan tanpa menggunakan tongkat. Nyata, cara didikan sejak kecil menjadi pencetus kejayan anak ke empat daripada lima beradik ini.

Foto: Perak Today

Miliki bengkel baiki motosikal 

Bengkel miliknya yang terletak di Kampung Batu Enam, Jalan Tanjung Tualang, Batu Gajah, Perak, diusahakannya sendiri sejak tahun 2008. di kampungnya.

Bengkel motosikalnya pada awal hanyalah berada di bawah rumahnya dan ia juga bermula daripada beliau membaiki motosikal milik bapa saudaranya dan bapanya.

“Selepas rakan-rakan kongsikan tentang bengkel saya ini di Facebook, ia mula tular dan pada tahun 2013, saya telah menerima bantuan daripada pelbagai agensi. Alhamdulillah, ia menjadi besar sedikit dan ia seperti sekarang ini,” katanya.

Tambahnya, beliau juga pernah menerima pelanggan yang datang daripada Shah Alam, yang berhajat untuk meminta Azhar memperbaiki motornya.

Urusan dipermudahkan

Foto: Perak Today

Dalam pada itu, Azhar yang dilihat merendah diri sentiasa berasa bersyukur kerana sepanjang tempoh menjalankan perusahaannya, beliau sentiasa dibantu rakan-rakan selain tidak pernah berasa susah.

Beliau juga bersyukur kerana sehingga kini tidak pernah diambil kesempatan oleh mana-mana pihak cuma katanya baru-baru ini sahaja bengkelnya mengalami kehilangan barang.

“Setakat ini, Alhamdulillah saya tak berasa susah. Saya tidak minta untuk menjadi kaya. Cukup sekadar saya dapat menampung makan, minum, dan pakaian saya.

“Orang kata, janji duit itu tidak putus,” katanya yang memperoleh pendapatan mencecah RM800 sebulan.

Keluarga:  Walaupun punya kekurangan diri, tetap semangat anda sungguh inspirasi.Semoga kejayaan milik Azhar dan dapat membesarkan perniagaan yang diusahakan.

Sumber: Perak Today