Selain gembira pulang bercuti namun ada ibu-ibu yang mula rasa bimbang dan risau akan bunga dan tanaman yang terpaksa ditinggalkan.
Pulang ke kampung halaman membuatkan kita terpaksa meninggalkan tanaman tanpa disiram. Bimbang pokok layu dan mati dek kekurangan air dalam tempoh waktu itu.
Jika itu yang menjadi kerunsingan anda, ada baiknya anda cuba lakukan tiga perkara ini sebelum meninggalkan rumah.
Cuba langkah yang diberikan ini.
Letakkan Pelapik Air
Sebelum bergerak pulang, pastikan kesemua pasu tanaman baik bunga-bungaan atau tanaman lain dilapik dengan pelapiknya. Paling utama, kesemua pelapik ini diletakkan air hingga parasnya. Ini bagi memastikan adanya bekalan air yang boleh diserap oleh pokok setiap masa.
Letak Air Dalam Pasu
Selain itu, langkah lain yang anda boleh lakukan adalah meletakkan air ke dalam pasu sepenuh-penuhnya. Kemudian tinggikan sebelah pasu dengan batu atau pelapik. Sebelah kiri pasu sebaiknya pilih bahagian yang berlubang supaya membolehkan air keluar melaluinya.
Botol Air Mineral
Ini patut anda cuba. Gunakan botol mineral yang sudah digunakan dan isilah air hingga penuh. Kemudian benamkan hujung botol ke dalam tanah. Cara ini membolehkan tanaman sentiasa dibekalkan dengan air. Jika tanaman ditinggalkan tanpa siraman pada tempoh yang agak lama, anda boleh sahaja menggunakan botol mineral yang besar.
Selamat mencuba dan bercutilah dengan gembira dan tenang tanpa memikirkan tanaman-tanaman di rumah. Semuanya pasti terjaga dengan baik.
Paling penting sentiasa dekatnya dengan cahaya matahari.