Walaupun pernah melalui fasa sebagai seorang ayah sebelum ini, namun penyanyi terkenal Datuk Jamal Abdillah, 60, akui gementar menanti kelahiran anak perempuannya.
Menurut Datuk Jamal lagi, dia tidak akan menemani isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 25, di bersalin kerana takut dengan proses yang bakal dilalui.
“Alhamdulillah, kandungan dah masuk lapan bulan setengah dan isteri berada dalam keadaan sihat. Cuma saya berasa agak gementar nak melalui kembali proses ini.
“Tengok dia berjalan pun kita dah terfikir macam mana sengsara dia nak menghadapi semua ini. Jadi saya dan beritahu isteri dan minta maaf awal-awal.
“Saya kata saya minta maaf kerana tidak dapat menemani dalam bilik bersalin kerana saya takut. Anak-anak saya sebelum ini pun sama juga, saya tidak masuk bilik bersalin.
“Bukan takut darah cuma saya tak boleh bayangkan macam mana perut yang besar itu nak keluarkan anak,” katanya kepada Gempak.
Mengulas mengenai isterinya, Jamal memberitahu Zai Izzati tidak mengidam makanan yang pelik-pelik.
“Isteri saya tidak mengidam tetapi saya pula yang alami alahan. Saya mengidam lemang dan rendang sepanjang tempoh dia kehamilan dia.
“Nasib baik lemang dan rendang itu makanan yang senang nak dapat, tidak kiralah siang atau malam,” katanya ketawa.
Terdahulu, Jamal berkahwin dengan Zai Izzati pada 1 April 2017 di Ipoh, Perak.
Jamal sebelum ini pernah berkahwin sebanyak tiga kali bersama Basariah Abdul Latiff, Noraina Mohd Yusof dan Fatimatuzahrah Samad tetapi berakhir dengan perceraian.
Hasil perkahwinan terdahulu, Jamal mempunyai dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 12.
Sumber: Astro Gempak
Guru Ini Tanam Cili Cara Fertigasi Di Sekolah. Jana Pendapatan Lumayan Hingga Cecah RM20 Ribu! Sungguh Inspirasi
Siapa sangka dari niat suka-suka tanam pokok cili di rumah, seorang guru ini mampu menjana pendapatan kepada sekolahnya. Bermula dengan beberapa pokok cili yang ditanam secara konvensional di halaman rumah ibu bapanya, Mohd Izranuddin Jelani atau lebih dikenali Cikgu Izra, kini gigih menjalankan projek tanaman cili padi fertigasi di sekolahnya.
Walaupun mengajar subjek Pendidikan Seni Visual, berbekal minat, beliau mengikuti kursus, pameran dan karnival bagi menambah pengetahuan setelah menyedari tanpa ilmu mengenai tanaman tentu apa yang diusahakan kelak mudah diserang penyakit. Ikuti temubual Majalah Keluarga bersama guru yang bersemangat wajar dalam pertanian ini.
“Minat tanam cili timbul selepas keluarga dan ibu saya kerap membeli cili. Saya cuba tanam sendiri dan tak sangka menjadi. Pada tahun 2010, ilmu bertani diturunkan kepada saya daripada Tuan Syeikh Noh, individu yang pakar dan cukup dikenali dengan ilmu pertaniannya di Johor. Beliau merupakan sifu yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya,” jelasnya sebelum ini merupakan bekas Penolong Editor Sinar Harian Kelantan.
Melihat hasil tanaman bertambah justeru dapat menjimatkan belanjawan keluarga, Cikgu Izra mula berfikir secara serius untuk mengusahakan cili secara komersial di sekolahnya.
Setelah hasratnya dipersetujui pengetua, Puan Mahidah Kosnan, berbekalkan pengetahuan yang ditimba dan bantuan sifu, Cikgu Izra membeli anak pokok dari rumah semai untuk ditanam di tapak yang disediakan di sekolahnya sehingga mampu menjana pendapatan mencecah lebih RM20,000 setelah dua musim di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Fatimah Hashim, Taman Daya, Johor Bahru, Johor.
Terdahulu, beliau juga telah berjaya menjana pendapatan di sekolah lamanya, SMK Taman Johor Jaya 2 sebelum berpindah dengan keuntungan yang cukup lumayan.
Mempertaruhkan 500 pokok cili, beliau menyelia setiap pokok agar bebas daripada pelbagai jenis penyakit dan serangga perosak serta memastikan baja yang sesuai, kaedah meracun dan lain-lain perkara berkaitan supaya pokok dapat tumbuh dengan subur.
Menurutnya, pengeluaran modal permulaan sebanyak RM14,700 untuk membina sistem fertigasi yang lengkap. Projek tanaman ini bermula 16 Mei 2017 dengan 500 polibeg yang meriah pendapatan lumayan bagi musim pertama dan kedua.
“Hasil pendapatan bagi musim pertama iaitu 15 Mei hingga 31 Disember 2017 dengan pendapatan RM11,000 dan musim kedua bermula 31 Jan hingga 31 Disember 2018 dengan pendapatan RM10,170.
“Hasil pertama dan kedua yang diraih cukup lumayan dengan pendapatan keselurahan RM21,170. Kebiasaannya, akan balik modal setelah dua musim. Saya bersyukur projek ini dapat menjana pendapatan sekolah di sini,” jelasnya yang juga mengusahakan tanaman cendawan 1 ribu polibeg, 3 lot madu kelulut, 400 polibeg halia, 50 pokok durian belanda yang kini sedang berbuah,” jelasnya yang dikenali di seluruh Johor dan Malaysia dengan kejayaan projek pertanian sistem fertigasi. Kini Cikgu izra turut diundang oleh beberapa buah sekolah di Malaysia untuk perkongsian atas pencapaiannya.
Ahli kelab
Bagi menjayakan projek ini, sudah pastinya memerlukan kerjasama ahli kelab untuk memastikan pokok-pokok dijaga dengan baik supaya dapat tumbuh subur. Dengan pengalaman yang ada, beliau menugaskan ahli Kelab Lestari yang dianggota pelajar tingkatan satu hingga lima mengikut bidang kerja secara berjadual.
“Pelajar-pelajar dalam Kelab Lestari ditugaskan sebagai pemetik buah mengikut tugasan yang diberi. Contohnya untuk tanam 400 halia polibeg dengan ahli 50 orang, setiap seorang diberi komitmen untuk menjaga 5 hingga 10 polibeg.
“Untuk menjana pendapatan, saya akan mengajar murid bagaimana untuk menjual dengan membawa mereka ke pasar. Buah cili dipetik tiga hari sekali atau jika hasilnya banyak, hari-hari kami akan petik dan murid berbeza dipilih untuk ke pasar tanpa mengganggu waktu pembelajaran mereka.
“Keberkesanan projek ini kepada pelajar telah membuatkan saya ditegur oleh seorang ibu yang inginkan anak perempuannya menyertai kelab berkenaan sedangkan pemilihan ahli dilakukan oleh pihak sekolah tanpa melibatkan saya. Nyata, ada ibu bapa inginkan anaknya mendapat pendedahan mengenai aktiviti pertanian ini untuk kemahiran hidup anaknya, ”ujarnya yang turut memberi kebenaran murid yang terlibat untuk membawa pulang ke rumah hasil tanaman sebagai tanda penghargaan komited dengan tanggungjawab yang diberi.
Harapan
Mengulas perancangan masa hadapan, Cikgu Izra berharap akan dapat mempelbagai tanaman dengan menggunakan tapak dan kelengkapan sedia ada. Malah tahun ini bercadang untuk menanam terung pula dengan menggunakan sistem yang sama.
“Untuk projek seterusnya ini, modal permulaan agak sedikit berbanding musim pertama dan kedua setelah kos-kos untuk kelengkapan telah diserap semasa projek tanam cili terdahulu. Kos tanaman terung hanya melibatkan baja dan benih sahaja yang hanya memerlukan kos lebih kurang satu ribu lebih sahaja,” ujarnya.
Menjawab persoalan mengenai tanggapan negatif sesetengah pihak mengenai aktiviti pertanian di sekolah tidak bermanfaat untuk pelajar dan dikatakan membuang masa, beliau cukup kecewa tapi sudah lali dengan persepsi demikian.
“Ada segelintir kata aktiviti ini tidak boleh pergi jauh. Hakikatnya, ia nilai tambah ilmu kepada pelajar selain melihat akademik sebagai pencapaian utama. Aktiviti ini setidak-tidaknya menjadi ruang rekreasi kepada pelajar.
“Selain tambah pendapatan sekolah, saya berharap setiap sekolah ambil inisiatif ini sebagai salah satu cara menjana pedapatan dan sekaligus melatih dan menambah kemahiran pelajar. Bagi saya, jika tidak cemerlang akademik sekalipun masih boleh berjaya dalam bidang pertanian jika tahu mengambil peluang dan bijak mencari pasaran.”
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan jutaan terima kasih kepada semua guru-guru, ahli PIBG dan seluruh warga sekolah yang memberikan sokongan menjayakan projek pertanian serta Tuan Syeikh Noh yang banyak memberi tunjuk ajar kepadanya.
“Semuanya tidak hadir semudah yang disangka. Tanpa pengorbanan berterusan, ia hanya sekadar mimpi. Malah, tanpa ilmu pertanian yang betul, semua azam hanya jadi angan-angan kosong,” katanya yang cukup ramah dalam sesi perkongsian ilmu dan diskusi bersama Keluarga.
Pendekatan yang digunapakai oleh guru ini sungguh inspirasi dan membantu kemahiran diri pelajar untuk jangka masa panjang.
Sumber: Majalah Keluarga Mac-April 2019
Jangan Buat Main Bila Isteri Kemas Beg Balik Kampung. Suami Kena Respect Hal Ini Bila Musim Raya
Memang suami kena respect isteri bila bab kemas beg bila balik kampung. Semu keperluan disediakan lengkap. Tugas suami hanya pastikan beg-beg disusun dengan kemas dalam kereta. Betul kan. Mungkin ada segelintir suami bantu isteri tapi majoriti tugas-tugas ini semua diuruskan oleh isteri.
Perkongsian inspirasi ini pernah viral oleh puan Izyan Izdihar Shaarani moga menjadi pedoman bersama.
Jangan kau pertikai apa bini kau buat. Jangan ingat kemas beg tu senang.
Walaupun kemas beg tu like kemas BEG je, tapi ia merupakan task paling mencabar bagi seorang isteri.
Dia perlu fikiran yang tenang, mood yang stabil, fokus yang bertumpu dan masa yang optimum untuk lakukan task tu dengan baik.
BAJU RAYA BANYAK JENIS
Jangan kau fikir semua baju adalah BAJU. Baju ni ada banyak jenis baju.
Baju balik kampung.
Baju untuk masak di malam raya.
Baju pagi raya.
Baju ke dapur pada hari raya.
Baju berjalan ke rumah saudara.
Baju casual di malam hari pada hari raya.
TUDUNG PUN ADA KATEGORI
Tu baru kategori baju isteri tu sendiri.
Belum masuk tudung.
Tudung jangan kau ingat satu jenis je.
Ada tudung sarung untuk ke dapur.
Ada shawl nak pakai pagi raya.
Ada tudung bawal nak match dengan baju casual.
Inner tudung.
Anak tudung.
Pin tudung.
PIN PUN BANYAK JE TAU
Pin ni pun ada banyak kelas.
Pin kat telinga kena tajam.
Pin kat dagu kene kecik.
Pin kat bahu kena besar sikit.
Pin kat baju kebaya kena besar gedabak.
Pin baju biasa tu pun kena ada takut kain longgar
Belum baju anak.
Uiii..tu lagi banyak jenis.
BAJU ANAK PUN ADA JENISNYA
Baju raya.
Baju bila dah tengah hari.
Baju tidur.
Baju ganti kalau baju raya dah comot.
Baju kalau tido dalam aircond.
Baju untuk turn tidur rumah yang takde aircond.
Baju berlubang, baju takde lubang.
Tu kalau seorang anak.
Kalau ada 5?6?
Suami punya pun dia kena fikirkan jugak.
Bukan takat baju melayu je.
Butangnya, sampin nya, songkoknya.
IRON PUN BAWA
Itu baru baju.
Baju tu pulak ada dekat 20 pasang yang dia dah siap iron. Siap congak hari pertama baju ni, hari kedua baju ni. Kalau seminggu kau balik kampung, ha memang nak roboh lah handle tangan kat ceiling kereta tu dia sangkut. Silap aribulan boleh melengkung bumbung kereta.
Belum dia nak bawa balik kipas, tilam, bantal selimut, extension, ubat nyamuk letrik dan segala keperluan alat tidur agar tidur suami dan anak anak lena.
Iron pun dia bawak weh!
KASUT RAYA
Kasut?
Ha..ada kasut raya.
Ada kasut kalau nak pergi pasar kat rumah mak nanti.
Ada kasut kalau nak jalan jauh.
Hmmmmmm
Fuh…tu je..
Tu je?
Belummmmmm…
Kuih raya..kerepek raya..kek lapis..kek coklat…serunding..dodol…
BARANG KEPERLUAN MANDI PUN MESTI ADA
Ha…mandi cemane mandi…
Sabun mak..sabun anak..sabun bapak tak payah. Dia tibai je sabun apa apa yang ada dalam bilik mandi tu karang.
Shampu, ubat gigi, berus gigi, semua tu mesti cukup. Takde nak main sebat je orang lain punya walaupun dalam bilik air rumah mak tu karang ada dekat 10 jenis sabun mandi sebab semua orang bawak sendiri punya
Ha..ok…cukup dah kot. Nak meletup dah pun beg tu ha.
Eh…ada lagi!
Barang mekaaappppp…
Bedak anak, bedak mak, shaver bapak, minyak rambut bapak..deodoran aih semualah… Ketip kuku pun dia bawak.. Cotton bud.. Dan penyepit bulu ketiak pun ada. Entah bila dia ada masa nak proses pun tak tahu
CHARGER GAJET
Charger handphone..charger charger..
Tuuuuu kalau dia tak ingat memang takde le bercaj handphone tu karang.
SET KESIHATAN ANAK
Dan…dan…
Dia siap ada plan kontigensi.
Bawak panadol..minyak angin..blood pressure meter..home thermometer..mopiko..tiger balm..kot anak demam lah..takut anak kene gigit sengkenit lah. Macam macam.
Jarum jahit pun ada..benang..gunting…kot tertetas jahitan kat ketiak ke..tercabut butang baju raya anak ke..
Haaaaa……
Ok.
Ada dah semua.
Fuhh…legaa….
Ok zip beg!
Suami kerjanya apa?
Angkat je beg banyak banyak tu susun dalam kereta.
Jangan cakap pape.
Angkat.susun.senyum.
Sumber: Izyan Izdihar Shaarani
“Beberapa Hari Lepas Dia Demam & Mengadu Sakit Kepala.” Pelawak Abam Bocey Meninggal Dunia. Al-Fatihah!
Pelawak popular Abam, yang juga anggota kumpulan Bocey meninggal dunia di kediamannya di Gombak pada Isnin. Berita mengejutkan tersebut dimaklumkan kepada Gempak oleh Ali, iaitu adik kepada Abam.
“Isteri Abam, hubungi saya dan beritahu abang saya tidak sedarkan diri.
“Saya bergegas kediaman Abam dan ya, dia sudah tidak bernafas,” katanya gagal mengawal emosi.
Sementara isteri Abam, Nor Hidayah turut mengesahkan perkara tersebut.
Hidayah memberitahu Allahyarham demam dan mengadu kurang sihat sejak dua hari lalu.
“Beberapa hari lepas dia demam dan mengadu sakit kepala. Tetapi bila ajak ke hospital, dia tak mahu.
“Katanya hanya demam dan sakit kepala biasa. Tapi…pagi tadi saya kejutkan untuk solat subuh, namun dia tak ada tindak balas daripada dia,” katanya menangis teresak-esak.
Abam dan Nor Hidayah berkahwin pada 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey bin Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey, 5 bulan.
Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar bin Syed Mohd Redzuan, 32, merupakan seorang pelawak, pelakon dan ahli kumpulan Bocey bersama Fad dan Achey.
Berita pemergian Abam Bocey ini juga turut diumumkan oleh rakannya, Fad Bocey dan Achey di Instagram.
Allahhuakbar,Allahhuakbar,Allahhuakbar,innalillahiwainnailaihirojiun..kenapa kau pergi dulu bam?kenape tak tunggu aku,aku jauh ni,aku nk peluk cium kauuuuuuuuu
View this post on InstagramKenapa awal sangat bam!!!…. mana janji kau…!!… ya Allah… guyss abam dah takda guyss…
A post shared by achey Bocey 013-6408967 (mngr) (@acheykintangkintung) on
Sumber: Astro Gempak