“Bukan Tak Reda Tapi Terkejut.” Ibu Dato’ Fazley Akui Ambil Ubat Antidepresi & Setahun Tak Masuk Dapur Lepas Kematian Suami & Ibu!

Share

Saat yang paling menyedihkan bila kita kehilangan insan yang disayangi. Seolah-olah separuh jiwa dibawa pergi. Namun, ketentuan Ilahi tiada siapa yang mampu menduga.

Pemergian suami membuatkan kehidupan Datin Umi Kalsom isteri kepada Dato’ Yaakob Mohammad berubah sekelip mata. Dugaan lebih berat bila mana ibu tersayang pula menyusul dan pergi tak kembali.

Ujian tersebut bagaimana pun tidak melemahkan semangat ibu kepada empat orang anak ini. Malah, keluarga menjadi dinding kekuatan untuk ibu kepada Dato’ Fazley dan Raf Yaakob ini untuk bertahan dan berteduh selain kawan-kawan yang sentiasa berada di sisi untuk menyuntik semangat.

“Saya terpaksa ambil ubat antidepresi 6 bulan selepas arwah suami meninggal. Waktu itu saya betul-betul tertekan sehingga masuk hospital kerana tak boleh makan sehingga terkena gastrik. Jadi saya disarankan jumpa dengan doktor anti- depres. Pada  awalnya saya menolak.

“Namun selepas di interview oleh doktor berkenaan, baru saya tahu depres ini banyak peringkat dan saya punya kes adalah peringkat terakhir (mild). Maksudnya tak terlalu serius. Kalau serius yang melibatkan bunuh diri, terjun bangunan, tak nak hidup dan sebagainya. Selepas 7 bulan mengambil ubat tersebut, saya merasa tenang kembali,”ujar Datin Umi Kalsom sambil memberitahu ubat tersebut juga mengandungi vitamin yang baik untuk otak dan juga menenangkan waktu tidur.

Selain tekanan dan tidak lalu makan, Datin Umi Kalsom juga tidak boleh menjejak kaki ke dapur hamper setahun lamanya.

“Kebetulan arwah suami tak sakit lama. Kehilangan arwah memang meninggalkan kesan yang cukup kuat pada diri.  Saya bukan tak reda tapi terkejut dan mengambil masa untuk sesuaikan diri. Bayangkan dalam sebulan saya kehilangan dua insan yang saya sayangi iaitu ibu dan suami.

“Jadi setahun saya tak masuk dapur. Saya jenis yang suka masak dan arwah setiap kali balik kerja dia suka tengok saya masak dan tunggu di dapur. Jadi saya tak boleh tengok dapur dan tak makan. Selalu saya abaikan pemakanan sehingga mendapat asid refluk dan gastrik.

Ditanya bagaimana melalui kehidupan tanpa arwah di sisi, akui Datin Umi Kalsom, anak-anak banyak membantu dan kebetulan mereka tinggal bersamanya membuatkan dia tidak kesepian dan ada yang menemani biarpun masing-masing sibuk dengan kerja.

“Setakat ini saya bersyukur kerana anak-anak ada di sisi saya. Malah menantu juga rapat dan ada sahaja aktiviti bersama mereka.

“Selain itu, saya juga ada aktiviti bersama kawan-kawan dan kalau tidak pun banyak masa dihabiskan dengan membaca Al-Quran. Dulu rajin baca al-quran atau Yassin setiap kali malam jumaat daripada  remaja sehinggalah berkahwin, selepas arwah meninggal, ia jadi habit untuk membaca Al-Quran dan rasa tenang bila dapat baca.

“Rasa tak tenang duduk kalau sehari tak pegang al-quran. Sekarang jadi amalan, kalau tak baca jadi rindu dan rasa tak beri sesuatu kepada arwah. Itu yang saya boleh buat sebagai tanda kasih sayang sehingga ke akhir hayat untuk arwah suami.

“Saya merupakan pegawai kerajaan dan sudah biasa bekerja. Jadi, bila pencen saya masih berhubung dengan kawan-kawan untuk melepas rindu atau sekadar makan-makan bersama. Walaupun tak lama, hanya sekadar 2-3 jam berjumpa itu sudah memadai. Atau kami melakukan aktiviti bersama -sama ada solat dhuha, baca Yassin atau bulan puasa baca al-quran beramai-ramai. Itu yang membuatkan kehidupan saya terisi dan tenang dapat berjumpa dengan kawan-kawan.

Diminta berkongsi nasihat dengan mereka yang turut  kehilangan orang tersayang, jelas Datin Umi Kalsom selain reda dengan pemergian mereka, kita juga kena banyak berdoa kepadaNya.

“Lepas kehilangan arwah, saya banyak solat tahajud, berdoa kepadanNya dan kebetulan kawan-kawan banyak bagi buku untuk mengenali Alam Barzakh.  Daripada situ saya menilai hari ke hari apa yang arwah buat, macam mana dia di sana.

“Alhamdulillah saya sudah dapat menerima keadaan tersebut. Sebagai manusia biasa kita akan menghadapi saat itu.  Kita sediakan bekalan dan seandainya ada ahli keluarga yang dijemputNya kembali, maka kena reda,”ujar Datin Umi Kalsom menutup perbualan bersama penulis.