“Bukan Senang Untuk Berubah.” Radhi OAG Kongsi Kisah Terjebak Dadah, Dorongan Keluarga & Masyarakat Bantu Pulihkan Diri.

Share

Setiap orang ada masa silamnya, ada masa kita alpa sehingga tak sedar tergelincir dari landasan sebenar. Namun, tidak bermakna tidak boleh berubah.m

Nama penyanyi ini tidak tercicir apabila isu dadah diperkatakan. Radhi OAG atau nama sebenarnya Muhd Radhi Razali memang tidak lekang dari terpalit kontroversi melibatkan kancah penagihan dadah sejak beberapa tahun lalu.

Pernah berada di puncak populariti, katanya, terjebak dengan penagihan dadah adalah penyesalan terbesar di dalam hidupnya dan sehingga kini dia masih memerlukan bimbingan untuk bebas sepenuhnya daripada najis itu.

 

Namun kini, dia sudah berubah atas sokongan dan semangat yang diberikan keluarga, masyarakat serta peminat akhirnya membawa Radhi kembali ke landasan sebenar daripada penagihan dadah.

“Saya akui pernah tergelincir beberapa kali selepas mengikuti pemulihan, tetapi dorongan daripada masyarakat, keluarga serta peminat membawa saya kembali kepada landasan sebenar.

apatah lagi ketagihan itu bukan bermula setahun dua, macam saya sejak berusia belasan tahun, tentunya susah. Tetapi Alhamdulillah, perlahan-lahan, saya berjaya.

Menurutnya, dia tidak menyalahkan sesiapa atas nasib yang menimpanya melainkan diri sendiri yang terlalu terikut-ikut dengan pengaruh muzik daripada Barat satu masa lalu.

“Itu satu cara yang salah. Saya nak sangat jadi seperti Kurt Cobain dari kumpulan Nirvana yang dikenali di seluruh dunia, glamor dan popular. Sampai dia terjebak dengan dadah pun saya ikut.

“Saya tak nafikan pengaruh rakan-rakan juga satu daripadanya. Tetapi saya salahkan diri sendiri. Bila dalam proses pemulihan, ketika itu kena hati-hati dengan rakan-rakan sebab ada yang akan mempengaruhi kita,” katanya.

Dia yang pernah mengikuti pemulihan di Rumah Pengasih tujuh tahun lalu berkata, ketika ini dia masih mendapatkan bimbingan daripada kaunselor di situ kerana bimbang akan terjerumus lagi ke kancah dadah.

Katanya, dia masih ingat bagaimana dadah mengubah hidupnya hingga mengalami masalah rumah tangga serta karier sebagai pemuzik musnah hingga dipandang serong masyarakat.

“Pernah satu ketika saya pergi menonton wayang, ada orang di sebelah berbisik, Radhi tu penagih dadah, saya dengar dia cakap, tapi saya pekakkan telinga kerana tahu itu adalah kesannya yang perlu saya tanggung,” katanya.

Sumber: Harian Metro & IG radhioag