Hati ibu mana yang tidak pilu bila anak yang tersayang sakit. Jika diberi pilihan, pasti si ibu mahu penyakit itu berpindah milik. Namun ketentuan Tuhan tak siapa yang mampu menghalang.
Bagi pelakon Lana Nordin yang baru melahirkan anak kedua, tiada apa yang diharapkan selain melihat anaknya itu kembali sembuh.
William Daud Mckienzie, tiga bulan bakal menjalani pembedahan jantung, Isnin ini di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur kerana mengalami masalah injap (Aortic Stenosis).
Lana berkata, disebabkan itu juga dia jarang berkongsi gambar atau perkembangan William kepada peminat.
“Saya serba salah apabila ada yang bertanya mengenai William, ini kerana situasi kesihatannya.
“Begitupun tumbesaran William sangat positif apabila berat badannya naik dari 4 kilogram (kg) kepada 6 kg kini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Katanya, masalah dialami anaknya membabitkan injap aorta yang sempit dan akan memberi bebanan ke atas ventrikal kiri.
“William perlu diberi perhatian lebih terutama di dalam menjalani aktiviti harian, di mana dia perlu mengelakkan aktiviti lasak atau berat.
“Kalau pembedahan tidak dilakukan bimbang jantungnya harus bekerja keras dan apabila usia meningkat dia bakal mengalami masalah jantung bengkak,” katanya.
Menurutnya, dia berkongsi masalah kesihatan yang dialami William, selain untuk menjelaskan kepada peminat mereka juga tidak menagih bantuan atau derma.
“Kalau ada yang mahu membantu, terima kasih saya ucapkan. Tetapi sebaiknya wang itu disalurkan ke tabung bantuan IJN kerana ada ramai lagi bayi dan kanak-kanak yang memerlukan bantuan anda.
“Pada saya apa yang diperlukan daripada anda semua adalah doa supaya anak selamat menjalani pembedahan Isnin nanti,” katanya.
Dalam waktu sama, Lana turut memberitahu memandangkan situasi kesihatan William tidak menentu, dia sekeluarga akan menetap lebih lama di sini.
“Saya bersedia untuk kembali bekerja. Kepada mana-mana produksi atau pengarah yang mahu melamar, mereka boleh terus menghubungi saya,” katanya.
Sumber: Harian Metro