Bukan Nak Bangga Atau Perasan Bagus, Tetapi Begini Cara Nak Jadi Suami Terbaik Di Mata Mentua. Yang penting Aib Isteri Terjaga.

Share

Jarang kedengaran cerita tentang menantu lelaki dan mentua bergaduh. Biasanya yang menimbulkan masalah adalah ‘perang’ antara menantu perempuan dan ibu mentua.

Mungkin kerana sikap lelaki yang tidak mengambil kisah membuatkan hubungan itu menjadi mudah. Namun tidak bermakna suami boleh lepas tangan dan tidak mahu mengambil ‘port’ terutama apabila bersama keluarga mentua.

Kasihan isteri, mungkin ada yang jenis memendam tidak mahu bersuara kerana menjaga hati suami, akibatnya makan dalam. Itu belum bab kena sindir dengan ahli keluarga dek sikap suami tersebut.

Justeru, buat suami sekalian, apabila anda berkahwin dengan seseorang wanita , secara automatik, keluarganya menjadi keluarga anda. Jika isteri boleh menyesuaikan diri dengan keluarga anda, kena anda tidak mahu berbuat hal sama dengan keluarganya kan?

Ini antara tip menjadi suami terbaik di hadapan keluarga mentua oleh Akhtar Syamir.

Menjadi suami terbaik di hadapan keluarga mentua.

Bukan hipokrit, tetapi mengesahkan pemilihan anak mereka itu satu pilihan yang tepat. Ini sentiasa bermain di fikiran saya apabila berada di kalangan ipar duai dan mentua.

Saya nak tanggapan yang baik itu. Saya mahukan isteri saya nampak berjaya di mata keluarganya kerana mempunyai suami yang hebat.

Suami yang hebat ini bukan untuk berbangga-bangga atau perasan, jauh sekali untuk berlagak bagus. Suami yang hebat ialah suami yang membuatkan isterinya nampak hebat.

Bagaimana? Dengan mendahulukan dan mengutamakan isteri terutamanya apabila berada bersama keluarganya.

Utamakan isteri ketika bersama keluarga

Pertama, apabila waktu makan tiba, utamakan isteri supaya dia dapat makan bersama keluarganya. Tak salah jika si suami jaga dulu anak yang kecil. Bukan selalu mereka dapat makan bersama.

Pergaulan baik dengan keluarga mentua

Satu lagi cara membuatkan isteri nampak hebat ialah dengan menjadi ipar dan menantu yang baik. Pergaulan yang baik dengan mentua dan adik beradik isteri sepatutnya menjadi keutamaan yang paling tinggi.

Kita masuk tempat orang, kita kena bagi orang selesa dengan kita. Jangan jadi seperti pencuri, mengambil sesuatu dari tempat orang dan berlagak seperti orang asing dengan tidak menyesuaikan diri dengan keluarga isteri.

Tanya sepatah, jawabnya sepatah. Muka nak senyum pun susah. Memang nampak seperti si suami tidak mahu berada di situ. Ini antara benda yang sering orang buat tanpa mereka sedari. Saya nampak dengan mata saya sendiri. Pastinya suami itu akan mendapat tanggapan yang tidak baik.

Tonjolkan kemesraan dengan isteri

Ketiga, menonjolkan kemesraan dengan isteri. Bukan untuk menunjuk-nunjuk, tetapi untuk mereka tahu yang anak atau adik kakak mereka sedang gembira dan dijaga dengan baik oleh kita.

Cantikkan isteri

Keempat, dari segi fizikal isteri. Cantikkan dia. Jaga pemakaian dan rupa parasnya. Kalau boleh, isteri nampak lebih cantik berbanding saat pertama kita ambil dia dari keluarganya. Tak salah jika seorang suami berbangga dengan rupa paras isterinya apabila dia berada dengan keluarganya sendiri.

Bawa berbincang dengan isteri

Kelima, jika ada perbezaan pendapat pada waktu ketika berada bersama mereka, simpan dahulu dan berbincanglah secara baik dengan isteri sahaja tanpa pengetahuan keluarganya. Ingat, persembahkan yang terbaik sahaja. Apa sahaja yang boleh mendatangkan tanggapan yang tidak baik, selesaikanlah di belakang.

Semua ini perlu dibuat bukan sahaja untuk menonjolkan kehebatan isteri, tetapi untuk menjaga aib isteri juga. Jika suami sentiasa moody, bermasam muka, tidak mesra dan nampak tidak selesa, pastinya akan menzahirkan perasaan malu pada diri isteri di hadapan keluarganya sendiri.

Isteri menghargai

Pokok pangkalnya, kita tonjolkan kebaikan yang selalu kita buat pada isteri kita kepada keluarganya. Saya percaya, si isteri akan sangat-sangat menghargainya. Hasilnya, perkara yang sama akan dibuat oleh isteri di hadapan keluarga suami pula. Bukankah itu yang terbaik?

Semoga dapat memberi inspirasi. Kongsikan ilmu ini kepada semua. Saya yakin, ramai yang memerlukan suntikan idea seperti ini. In Shaa Allah.

Jemput follow saya ? Akhtar Syamir. Saya selalu menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa.