“Bukan Nak Banding Atau Rendahkan Sistem Pendidikan.” Ibu Fatimah Kongsi Cara Ibu Bapa -Guru Di England Berkomunikasi. Sangat Berinspirasi!

Share

Zaman teknologi serba canggih ini, tiada lagi masalah dalam berhubung dengan guru di sekolah anak-anak. Di tambah pula dengan penggunaan aplikasi grup mesej sekolah yang kian mendapat sambutan ramai.

Dengan adanya medium komunikasi dua hala, ia dikatakan boleh merapatkan perhubungan antara pihak sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar.

Namun, timbul situasi yang kurang menyenangkan bila mana ada antara ibu bapa yang menggunakan medium ini untuk hal-hal yang remeh. Bahkan terdapat segelintir ibu bapa yang menghubungi guru bertanyakan itu dan ini kepada guru kelas, biarpun selepas waktu sekolah.

Adakah ia memudahkan tugas guru? Adakah guru itu berasa selesa dengan situasi tersebut?

Ibu kepada kanak-kanak cilik yang petah loghat Kelantan, Fatimah Omar Mukhlis, 5, Nor Ashila Mahamed Ismail, 39, mahu berkongsi cara komunikasi antara pihak sekolah dengan ibu bapa di United Kingdom.

Perkongsian beliau bukan untuk membanding-bandingkan tidak langsung untuk merendahkan sistem pendidikan di Malaysia tetapi berniat untuk memberi manfaat kepada orang ramai. Terutamanya ibu bapa, guru, murid dan pelajar.

Kata beliau, di sekolah anak sulungnya, Mukhtar Omar Mukhlis, 13, yang kini bersekolah di King Edward School, dan sekolah rendah tempat Fatimah sedang belajar mempunyai dua situasi berbeza.

“Sekolah Mukhtar misalnya, setiap hari, ibu bapa dan guru menggunakan emel untuk berkomunikasi. Guru akan menjawab semua emel secepat mungkin untuk semua perkara penting.

“Biasanya ibu bapa akan mendapat menghantar surat sebagai perhatian ibu bapa sama seperti kaedah yang digunakan di sekolah menengah.

“Ibu bapa pula tidak dibenarkan menghubungi guru melalui nombor telefon peribadi mereka dan guru tidak dibenarkan berkongsi nombor dengan ibu bapa,” katanya.

Nor Ashila berpandangan, ini adalah cara yang lebih sesuai untuk berkomunikasi antara ibu bapa dan guru.

Katanya, interaksi yang digunakan guru di Malaysia yang terpaksa mengorbankan privasi mereka dengan berkongsi nombor telefon peribadi untuk berkomunikasi dengan ibu bapa adalah sesuatu yang kurang wajar.

“Perkongsian nombor peribadi membuatkan ada ibu bapa yang bebas menghubungi guru setiap masa beberapa kali sehari.

“Ada yang menghubungi guru untuk ‘check’ sama ada anak mereka sudah makan atau minum, ada yang menghubungi minta ‘inform’ anak yang mereka lambat ambik anak dari sekolah dan 1001 macam isu lagi,” katanya.

Malah katanya, berdasarkan kisah kawan guru di Malaysia, ada yang menghubungi mereka sampai ke malam bagaikan guru itu rakan mereka tanpa rasa segan dan hormat bertanyakan benda remeh dan tak kurang juga yang gunakan aplikasi whatsapp untuk mengadu atau marah.

Menurut beliau, guru juga manusia biasa yang ada kehidupan mereka sendiri dan perlu dihormati.

Sepatutnya, ibu bapa perlu menghubungi pihak sekolah, bukan bertindak secara terus dengan guru jika mengalami apa-apa masalah.

Tambahnya, sebagai ibu bapa seharusnya meletakkan harapan yang tinggi pada guru untuk mendidik anak-anak tetapi pada masa yang sama, tanpa segan silu mengganggu mereka semasa waktu bekerja, semasa berehat dan semasa bersama keluarga.

“Tak pernahkah kita terfikir yang perbuatan kita sendiri boleh mengganggu guru hingga boleh membuatkan prestasi mereka menurun dan boleh ‘lead to stress’.

“Malaysia sebuah negara yang maju, jadi saya rasa sudah masanya untuk kita wujudkan satu medium yang lebih profesional untuk berkomunikasi antara ibu bapa dan guru. Secara tidak langsung dapat mewujudkan rasa hormat pada guru dan membantu mereka bekerja dalam suasana lebih efektif dan produktif,” katanya.

Sumber: Facebook GPSBestari