“Bukan Mudah Tapi Sampai Bila Nak ‘Macam Ni’… Cikgu Erin Aktif NGO, Bantu Mak Nyah Kembali Ke Pangkal Jalan!

Share

 

Sekali pandang, wajah mereka saling tidak tumpah seperti wanita normal lain. Perwatakan lemah lembut membuatkan ramai yang tidak sedar sebenarnya mereka lelaki ‘jelmaan wanita’.

Biar pelbagai umpatan dan pandangan serong mencemuh golongan ini, namun, tidak ramai yang benar-benar menyelami kehidupan sebenar golongan yang lebih dikenali sebagai mak nyah. Jauh sekali mahu mengambil berat tentang dilema mereka.

Tidak penah meminta diri menjadi sedemikian, namun naluri wanita yang kuat menyebabkan Mohd Khairiri Mohamad Ramli terjerumus di dalam kehidupan dunia mak nyah.

Terjebak di dalam dunia songsang usai memasuki pusat pengajian, Mohd Khairiri yang lebih dikenali dengan  panggilan Cikgu Erin mula berjinak-jinak dengan suntikan hormon dalam usaha untuk menjadi wanita cantik.

Nyata, percaturan tersebut menjadi apabila sedikit demi sedikit dia mula berubah wajah. Lenggok dan gayanya sudah menjurus ke arah wanita.

Namun, itu kisah zaman silamnya. Kini Khairiri sudah kembali kepada fitrahnya malah dia juga turut aktif mengisi masanya dengan aktiviti kemasyarakatan selain sibuk sebagai seorang pendidik. Hasrat hatinya cuma satu, iaitu menjadi daie untuk menarik golongan mak nyah kembali ke pangkal jalan.

 Selalu terfikir ‘sampai bila’…

“Waktu saya mengubah diri untuk menjadi wanita, azam saya waktu itu cuma satu mahu tunjuk pada masyarakat yang saya lebih hebat daripada wanita sebenar. Itu amarah saya pada wanita yang mengutuk saya.

Namun, saya akur. Sejauh dan sekuat mana sekali pun saya cuba menidakkan takdir, saya tidak akan mampu mengubah kejadian yang sudah Dia ciptakan. Ini ujian buat saya,”ujar cikgu Khairi lagi.

Justeru, apabila dia mahu berubah, ujian pertamanya adalah mengenal kembali Allah, solat lima waktu tidak tinggal selain melakukan solat taubat, tahajud dan sebagainya. Pakaian juga  mula berubah tidak lagi ketat dan lebih bersopan.

“Jujurnya bukan mudah untuk kembali ke pangkal jalan. Cabarannya tetap ada sementelah orang memang suka tengok kalau kita jatuh.  Tetapi saya tidak menyalahkan sesiapa dengan apa yang berlaku sebaliknya saya salahkan diri sendiri.

“Ini ujian untuk saya dan itu tandanya kita istimewa di hati Yang Maha Esa. Saya mula muhasabah diri dan tidak dinafikan kesedaran sudah lama timbul walaupun waktu tengah ‘lagha’, tetapi tidak ada kekuatan untuk berubah.

 

Tetapi saya selalu fikir sampai bila nak jadi begini. Saya hendak pengakhiran hidup yang baik. Saya mula fikir soal kematian dan saya hendak mati dalam keadaan yang bersih. Waktu jadi mak nyah saya tidak banyak bercakap dengan ibu tetapi dia terima diri saya seadanya.

“Bahkan, pakaian dalam wanita saya ibu yang cucikan. Setiap kali bertemu, ibu menegur saya  dengan penuh kelembutan dan saya selesa.

Namun, rasa rendah diri dan disisihkan tetap ada walaupun sebenarnya adik-beradik lain tidak berbuat demikian. Semuanya berpunca daripada diri sendiri.

 

“Justeru, saya harus kembali pada jalan asal yang lurus. Sekarang usia sudah memasuki 41 tahun dan nikmat dunia bukan lagi keutamaan dalam hidup saya.

“Tidak timbul soal mengejar glamor sebaliknya saya mahu menarik lebih ramai golongan mak nyah untuk kembali ke pangkal jalan. Seperti mana ibu, saya praktikkan kaedah itu untuk bantu orang lain kembali kepada fitrah.

“Sekarang ini saya bekerjasama dengan pihak Jakim, Jabatan Agama Islam Perak dan Majlis Agama Islam Selangor untuk membantu menarik golongan Mak Nyah kembali ke pangkal jalan.

“Buat masa sekarang Jakim, MAIS Dan Jabatan Agama Islam Perak  memainkan peranan yang amat penting.

“Alhamdulillah, banyak program yang kami anjurkan mendapat reaksi positif. Selain usrah, kami juga menganjurkan program solat, pengurusan jenazah dan sebagainya dengan cara yang lebih santai tanpa memberi tekanan kepada mereka ini.

“Setakat ini maklum balas positif diterima dan ada yang masih berpakaian wanita namun tidak mencolok mata. Kami tak letakkan syarat mereka terus berubah, sebaliknya biar perlahan-lahan namun ada perubahan. Bukan luaran yang menjadi kepentingan tetapi dalaman, iman itu yang diutamakan.

Walaupun terpaksa berulang-alik dari Selangor ke Perak dua minggu sekali, namun Cikgu Erin tidak penat sebaliknya dia mengakui suka buat kerja-kerja sebegini.

“Memang saya akan memohon untuk bertukar mengajar ke Perak nanti. Bukan semata-mata untuk membantu pihak Jabatan Agama Islam di sana membawa golongan mak nyah ke pangkal jalan, sebaliknya saya mahu duduk dekat dan menjaga ibu saya yang sudah tua. Bila lagi mahu berbakti kepada insan yang sangat saya sayangi dan dialah yang banyak memberikan kekuatan kepada saya.

Cikgu Erin juga mengakui bakal mengerjakan umrah tidak lama lagi selain berkeinginan untuk mendirikan rumah tangga.

Cikgu Erin dulu dan sekarang

“Siapa pun calonnya saya tak kisah asalkan saya mendapat petunjuk dari Allah. Kerana itu saya mahu mengerjakan umrah. mana tahu balik dari tanah suci nanti ada ‘petunjuk’ dan saya akan teruskan impian tersebut.

“Saya juga sudah bersedia untuk mengubati luka di hati akibat peristiwa dulu. Lagipun saya tidka lagi gemuk seperti dulu sehinggakan ada yang ingat saya nak kembali menjadi perempuan. tapi sebenarnya saya nak kekal sihat dan tampil segak.

“Kalau boleh calon isteri saya itu nanti biarlah dari kalangan orang usahawan. Kerana saya memang minat berniaga dan ada bakat di dalam bidang tersebut. Jadi, tak slaah andai saya salurkan minat dan kemahiran saya kepada bakal isteri untuk sama-sama menerajui bisnes kelak.

“Rugi jika bakat yang saya ada ini tidak digunakan. Apapun saya berserah kepada takdir kerana Dia yang menentukan segalanya.