Jangan kata isteri murung, suami atau lelaki juga terdedah kepada perkara sebegini. Tekanan kerja melampau buat suami tertekan dan penat ditambah pula dengan konflik rumah tangga.
Jadi isteri jangan beri tekanan kepada suami kerana mereka juga punya hati. Lelaki memang nampak cool kerana mereka ‘malas’ memikirkan hal-hal remeh. Namun adakalanya mereka juga gagal mengendalikan soal-soal emosi. Sudahnya mereka kemurungan.
Hasilnya mereka mendapati kematian pasangan, penceraian atau perpisahan, masalah berkaitan keluarga atau peribadi, meninggalkan kesan paling tinggi dalam hidup manusia. Dan bagi lelaki khususnya, masalah ini tambah berat dengan adanya bebanan kerja secara berterusan.
Dr Hans Selye, pakar endokrin dari Kanada membuktikan secara epidomologi adanya kaitan antara tekanan dan barah usus (peptic ulcer). Dan golongan paling berpotensi untuk menghadapi masalah ini adalah para doktor, eksekutif perniagaan dan juga guru.
Kurangkan tekanan dengan senaman
Bagi lelaki salah satu aktiviti terbaik paling mujarab mencegah berlakunya masalah tekanan ini adalah dengan cara melakukan senaman dan aktiviti fizikal seumpamanya. Senaman antara aktiviti paling mudah dan berkesan mengubati masalah tekanan lelaki. Ia membentuk sistem imun dan memainkan peranan penting dalam mengelakkan penyakit. Senaman antaranya lainnya dapat mengurangkan paras gula dan lemak dalam badan. Tidak disitu sahaja, paling penting senaman dan juga aktiviti fizikal seumpamanya dapat memperbaiki dan memperlancarkan pengaliran darah dalam sistem saluran darah tubuh dengan baik. Keadaan inilah yang menyebabkan tekanan dan kemurungan dalam tubuh akibat saluran darah yang tersumbat yang datangnya dari tekanan berpanjangan dapat diatasi secara perlahan-lahan.
Senaman juga membuatkan tubuh lebih cergas dan bertenaga. Ini membuatkan tubuh yang dalam keadaan tegang dapat dilonggarkan, sekaligus meredakan tekanan dalam diri. Namun, senaman harus dilakukan dengan tepat dan berterusan. Secara puratanya, senaman biasanya harus dilakukan 3 hingga 4 kali seminggu dalam anggaran sekurang-kurangnya 30 minit untuk mendapatkan senaman yang berkesan.
Tidak disitu sahaja, senaman juga dapat memberi kelebihan lain kepada lelaki. Otot-otot yang terbentuk cantik memberikan daya fizikal yang baik dan menarik kepada lelaki selain membekalkan tenaga, menjaga berat badan dan jantung serta membangkitkan perasaan selesa selepas bersenam yang membuatkan tekanan berkurangan. Malah, senaman juga dapat meningkatkan kemahiran atau keupayaan badan, terutama daripada segi keseimbangan, tenaga, ketangkasan (termasuk kadar tindak balas), koordinasi, ketepatan dan konsisten serta kepekaan kinestetik. Waktu terbaik untuk memulakan senaman bergantung kepada kesesuaian masa setiap individu, tetapi bagi lelaki, bersenam pada waktu petang antara jam 3 hingga 9 malam dipercayai boleh meningkatkan penghasilan hormon testosteron.
Pilihlah senaman yang sesuai dengan tahap kesihatan anda. Secara amnya terdapat 3 fasa senaman iaitu;
Fasa Pertama
Senaman selama 5 – 10 minit untuk memanaskan badan seperti pergerakan bebas dan senaman regangan. Ini bertujuan untuk menyediakan tubuh dengan aktiviti yang lebih tinggi dan berat.
Fasa Kedua
Ini merupakan senaman yang sepatutnya iaitu selama 20 hingga 30 minit. Contohnya berenang, berjoging, berbasikal, bermain badminton, bersenam dan sebagainya.
Fasa Ketiga
Ia sama seperti senaman fasa pertama iaitu untuk menyejukkan badan. Ia bertujuan untuk mengelakkan kecederaan otot. Senaman ini juga mengambil masa 5 hingga 10 minit. Ia wajib dilakukan untuk meregangkan semula otot-otot yang tegang ketika aktiviti senaman dilakukan.
Tips Senaman:
* Sebelum memulakan aktiviti senaman, dapatkan pandangan dan nasihat doktor bimbang anda mempunyai masalah kesihatan yang menghalang anda dari melakukan senaman ini.
* Mulakan dengan senaman ringan, mengikut kemampuan anda. Berusahalah tingkatkan senaman dan beban anda dari masa ke semasa.
* Pakailah pakaian dan kasut sukan yang bersesuaian dan selesa.
* Pastikan kekuatan senaman anda harus mencapai tahap kadar nadi 120 – 150 kali seminit.
* Elakkan bersenam jika anda sakit atau berasa kurang selesa.
* Elakkan dari terus duduk sejurus selepas bersenam.
* Elakkan melakukan senaman jika paras glukosa dalam darah anda terlalu tinggi atau boleh dianggarkan kira-kira 2 jam selepas makan.