Bukan Hanya Wanita Yang Suka Dipujuk Rayu, Lelaki Juga Apa Kurangnya. Ini Rahsianya Kena Tahu!

Share

Hati keras lelaki ada kala boleh menjadi lembut dan tidak mustahil merajuk dengan pasangannya. Hal ini kerap berlaku apabila lelaki rasa terpinggir kala wanita terlalu melebihkan hal-ehwal kerjaya ataupun terlalu melayani anak-anak.

Bagi isteri yang berdepan dengan suami merajuk, masih ada ruang untuk anda memperbaiki keadaan. Bukan hanya wanita yang suka dipujuk rayu, lelaki juga apa kurangnya. Walaupun mereka kelihatan gagah perkasa namun di sebaliknya mereka turut perlu dimanjakan. Bak kata orang zaman sekarang, dalam hati ada taman.

1) MINTA MAAF Mulakan proses memujuk dengan meminta maaf terlebih dahulu. Cara minta maaf itu terpulang pada kreativiti anda. Ada yang lebih suka minta maaf di meja makan kala bersarapan pada cuti hujung minggu. Ada yang lebih senang minta maaf kala sedang sama-sama menonton televisyen. Malah ada juga yang lebih selesa minta maaf ketika di atas katil sebelum melelapkan mata.

Bisikkan kata minta maaf di telinganya. Katakan yang anda minta maaf kerana membuat dia merajuk. Sebagai isteri, pasti kita tahu kelemahan suami yang mampu membuatkan dia ‘cair’. Mungkin dengan nada suara, atau mungkin dengan sentuhan jari anda. Gunakan skil menggoda anda untuk memastikan dia memaafkan anda dan menghilangkan rasa merajuknya itu.

2) BUAT SURPRISE Apa kata anda buatkan satu kejutan untuk suami yang sedang merajuk itu? Misalnya anda pulang awal ke rumah dan masak hidangan kegemarannya. Kemas rumah dan semburkan haruman yang digemari suami ke sekitar rumah.

Biarkan dia terasa kelainan kala masuk ke rumah apabila pulang dari kerja. Bau harum pasti menyamankan suasana. Lalu lebih menggembirakan hatinya apabila melihat hidangan istimewa sudah ada di atas meja untuk dinikmati bersama.

3) BETULKAN KOMUNIKASI Komunikasi dua hala sebenarnya sangat penting dalam hubungan suami isteri. Sebuah perkahwinan tidak akan memberi erti kebahagiaan sebenar jika tiada komunikasi. Dalam kes suami merajuk, cuba anda bertanya kepada pasangan punca si dia merajuk. Ada kala puncanya hanyalah hal kecil.

Pun begitu, jangan anggap hal kecil pada anda itu juga merupakan hal kecil bagi si dia. Bagi sesetengah orang, hal itu adalah sebuah hal besar. Jadi, sebagai pasangan, kita juga perlu menghormati perasaan pasangan kita walaupun dia ialah lelaki yang kita anggap ‘kebal’ daripada perasaan kecil hati.

Di sinilah letaknya kepentingan berkomunikasi. Beritahu pasangan apa-apa sahaja hal boleh menyebabkan kita berkecil hati supaya kita boleh elakkan hal-hal merajuk.

4) JANGAN ULANG KESILAPAN Apabila kita telah tahu perkara yang menyebabkan suami merajuk, maka usahlah diulangi lagi kesilapan yang kita lakukan. Misalnya, walaupun dia merajuk hanya disebabkan kita terlupa membuat sambal belacan yang telah dipesan, berjanjilah dengan diri sendiri yang kita tidak akan terlupa lagi pesanan kecil daripada suami.

Tawan kembali hatinya. Balut luka di hatinya. Ingatlah bahawa syurga seorang isteri di bawah tapak kaki suami. Usah disakiti hatinya. Layarilah rumahtangga dengan persefahaman dan kecapilah kebahagiaan di dunia ini.

Sumber: bercintaselepasnikah.com