Bukan calang-calang wanita yang dapat memasak setiap hari walaupun bekerjaya. Ia rutin yang mencabar. Perlu perancangan masa dan susun atur bahan-bahan masa supaya tidak lama di dapur. Maklumlah seharian bekerja, balik rumah pula terus fokus urus anak-anak sekali gus memasak.
Bukan suami tak tolong namun kebanyakan wanita lebih gemar lakukan semua ini penuh dengan kasih sayang dan tidak pernah berkira untuk suami dan anak-anak. Bak kata orangm air tangan ibu atau isteri itu pengikat kasih sebuah keluarga.
Inilah yang dikongsi oleh seorang wanita menerusi perkongsiannya di laman facebook, dari Faridah Mohd Ali yang menyentuh tentang pentingnya air tangan ibu dalam membentuk keluarga yang bahagia.
Dalam perkongsiannya, beliau berkongsi pengalaman peribadi memasak untuk keluarga walaupun penat bekerja seharian. Katanya, masakan ibu bukan sekadar makanan – ia adalah pengikat kasih sayang, pembawa keberkatan, dan pencetus memori indah yang terpahat di hati anak-anak.
Sibuk Tetap Masak
1. Hari ni jam 4.35 petang baru sampai rumah dari office. Pergi office untuk menyambung kerja mengemas, packing dan memilih dokumen dan bahan penting untuk dibawa pulang. Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, saya dalam proses untuk menjual office setelah lapan tahun menyewanya.
Sebaik sampai di rumah petang tadi, saya terus ke dapur untuk mengeluarkan ayam, ikan, sayuran dan bahan-bahan lain dari peti ais. Biarkan ia sejuk. Kemudian terus solat asar sebaik azan Asar berkumandang jam 4.50 petang.
2. Selesai solat Asar di surau di rumah, saya terus menyinsing lengan di dapur. Memasak adalah tugas rutin yang tidak pernah saya tinggalkan walau sesibuk apapun. Jangan sesekali malas untuk memasak jika kita mahu membentuk keluarga yang lebih baik. Itu antara rahsia utama dalam keluarga yang bahagia.
Masak simplepun tak apa.
3. Masak simplepun tak apa. Petang ni saya masak ayam masak merah, sayur kangkung, ikan goreng rebus cara Kelantan, ikan masin, sambal dan salad. Jam 6.30 petang, kami dah selesai makan. Begitulah selalunya, kami tak makan malam. Tengah hari pun tak makan. Sarapan dan makan petang sahaja. Selalunya jam 6 petang atau 6.30 petang dah siap makan. Anak-anak pun dah sampai rumah dari tempat kerja kecuali Irah yang sampai selepas Maghrib. Kami makan bersama-sama.
Kata Aisyah…
“Sedapnya ayam masak merah mama masak ni. Ikan goreng pun sedap. Aisyah suka sangat. Sebab tu Aisyah selalu rindu nak balik, sebab teringat-ingat semua yang mama masak.”
4. Ibu-ibu, masaklah sendiri untuk hidangan keluarga kita sendiri. Air tangan ibu mempunyai rahsia tersendiri dalam membentuk keluarga yang bahagia, hubungan yang terjalin kukuh antara suami isteri, anak-anak yang terdidik, pengikat kasih sayang keluarga, hubungan yang lebih akrab, diberkati dan sangat disukai Allah. Allah menurunkan rahmatnya kepada ibu, ayah dan anak-anak yang bersama-sama menjamah hidangan dari air tangan ibu.
5. Apabila suami menjamah masakan yang kita masak, ikatan dan kasih sayang isteri akan dipereratkan, diangkat oleh Allah. Begitu juga anak-anak yang makan hidangan dari masakan air tangan ibu, kasih sayangnya lebih dalam, rapat dan sangat akrab sesama adik-beradik. Anak lebih rapat dengan ibu ayah mereka.
Penat tak masak ni? Ya memang penat terutama bagi isteri yang bekerja.
6. Penat tak masak ni? Ya memang penat terutama bagi isteri yang bekerja. Terkocoh kacah masuk ke dapur, kadang-kadang tak sempat nak tukar pakaianpun, tetapi mereka dah ready bersilat, pegang pisau dan lesung untuk menyediakan rezeki terbaik untuk suami dan anak-anaknya. Dengan tugas dan keletihan yang tidak pernah habis, wanita itu begitu ikhlas dengan tugas dalam rumahtangganya, ikhlas menyayangi dan menyediakan keperluan suami dan anak-anaknya, keikhlasan menyediakan bahan masakan dengan penuh cinta demi mengenyangkan suami dan anak-anaknya, maka di sanalah mengalirnya keberkatan kepada perkahwinan dan anak-anak kita. Anak-anak patuh dan mendengar cakap. Taat dan menghormati ibu ayah.
7. Dalam hati ibu, niatnya biar suami dan anak-anak kita kenyang, biar sihat, biar pandai anak-anak kita dalam pendidikan, biar panjang usia anak-anak kita apabila makan yang disediakan. Kasih sayang ibu anak tak akan putus. Kasih sayangnya dalam. Dimasak pula dengan penuh cinta. Diiringi doa kepada Allah dan selawat kepada Rasulullah SWT, maka makanan yang dihidangkan sangatlah berkat. Allah ada di mana-mana. Berkatnya satu keluarga, apabila seluruh ahli keluarga makan hidangan dari air tangan isteri. Apabila kita menyediakan hidangan, hubungan menjadi sangat rapat. Anak-anak lebih rapat dan hormat kepada ibu bapa.
8. Isteri-isteri budiman, peruntukkan masa untuk memasak sendiri kepada ahli keluarga kita. Itu kewajiban. Sentiasa memasak. Itu antara agenda yang wajib ditegakkan iaitu menyediakan hidangan daripada air tangan isteri. Walau bagaimana cantik dan sedapnya makanan yang disediakan di restoran dan cafe, air tangan ibu tetap yang paling baik untuk tiba ke dalam perut suami dan anak-anaknya. Kadang-kadang masak tu sekadar telur dadar je, tetapi ia sangat sedap dan menyelerakan. Campak-campak je tetapi lazatnya terkenang sampai akhir hayat.
9. Jangan biarkan anak-anak kita makan air tangan McD, air tangan KFC, air tangan di Kenny Hills, air tangan mamak, air tangan orang Indonesia di restoran yang kita singgah, air tangan wanita Thailand restoran tomyam yang mereka singgah. Hingga hilangnya anak-anak yang rindu masakan ibu. Malahan anak-anak asyik nak makan di luar. Terikat hati dan fikiran mereka dengan segala macam jenama restoran di luar sana.
9. Ketika aruah bonda saya masih ada, salah satu tarikan utama untuk anak-anak balik ke kampung adalah kerana kerinduan kepada air tangan aruah ma. Rindu dengan hidangan nasi dagangnya, nasi kerabunya, ayam masak kuzinya, sup tulangnya, singgang ikan, lompat tikam, jala emas, akok, jemput-jemput, pulut lepa dan sebagainya. Semuanya sedap. Semuanya enak. Sehingga kini masih teringat-ingat lazatnya semua masakan aruah ma, walaupun sekadar hidangan kuih cara berlauk atau lempeng pisang.
10. Masih terbayang lagi, penuh meja dikelilingi adik-beradik saya sebelas orang. Aruah ayah bacakan doa dan kita makan bersama-sama. Kemudian aruah ma sendukkan nasi dan letakkan lauk dalam setiap pinggan anak-anaknya. Sambil makan, ayah bercerita dan berkongsi pengalaman. Anak-anak menyampuk sekali. Meja makan menjadi tempat bertaut cinta dan kasih sayang dalam keluarga besar itu. Semua memori itu masih terpahat kukuh dalam jiwa dan hati saya. Kukuh dan tidak pernah padam.
11. Begitulah peri pentingnya isteri menyediakan hidangan untuk keluarga. Begitulah specialnya hidangan yang dimasak oleh ibu kepada anak-anaknya. Setiap penat lelah ibu menyediakan yang terbaik kepada pasangan dan anak-anak kita, semuanya menjadi pahala yang mengalir tanpa henti kepada setiap wanita.
Sumber: Faridah Mohd Ali