Baru-baru ini, kecoh di negara kita tentang kes culik yang berlaku melibatkan kanak-kanak dan dikaitkan dengan isu van putih. Disebabkan kes yang menjadi tular, sedikit sebanyak meninggalkan kesan dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa tentang keselamatan anak mereka. Lebih-lebih lagi dimomokkan dengan penjualan organ, lagilah cuak semua orang!
Untuk membendung masalah penculikan ini, tular satu video yang dikongsikan semula oleh pengguna Tiktok yang memaparkan usaha pihak sekolah bagi membendung masalah ini. Menerusi video tersebut, mereka telah melakukan satu situasi penculikan untuk memberikan kesedaran kepada kanak-kanak.
Dalam video tersebut, kelihatan seorang individu yang berlakon memakai topeng muka sambil membawa beg plastik mengandungi makanan dan mainan. Dia kemudiannya menghampiri kanak-kanak di dalam kelas dan menghulurkan sebagai umpan bagi menarik perhatian mereka.
Salah seorang dari kanak-kanak itu mengambil makanan yang dihulurkan namun dia kemudiannya diangkat dan dibawa lari menyebabkan kanak-kanak lain takut melihatnya. Individu itu seterusnya menghulurkan makanan dan mainan yang dibawanya kepada yang lain tetapi masing-masing nampaknya sudah belajar dari situasi yang berlaku sebelum itu.
Mereka juga dilihat menolak pelawaan tersebut sambil menangis ketakutan seakan-akan tahu ianya akan membahayakan mereka jika menerima umpan tersebut. Walaupun situasi penculikan itu telah membuatkan kebanyakan kanak-kanak di situ menangis, ramai yang memuji usaha pihak sekolah memberikan kesedaran tersebut.
@nshyafira♬ original sound – ns🤍
Meninjau di ruangan komen, kebanyakan netizen turut berharap sekolah-sekolah di Malaysia dapat melakukan perkara yang sama bagi mendidik kanak-kanak tentang situasi penculikan seperti ini. Malah ramai yang menganggap kesedaran seperti ini dapat membantu melindungi mereka daripada sebarang bahaya pada masa hadapan.
Sumber : @nshyafira