“Budak- Budak Dapat Gajet Jadi Leka.” Anak Dapat 5A SPM, Joey Kongsi Formula Kejayaan

Share

Biarpun sibuk dengan kerjaya seni, namun pelakon dan pelawak Joey Daud cukup mementingkan pelajaran anaknya.

Tidak hairanlah, didikan tersebut membawa kejayaan apabila anaknya, Ahmad Afif Danial mencatat keputusan cemerlang 5A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam satu perkongsian dengan Berita Harian,Joey melahirkan rasa syukur dan gembira atas kejayaan tersebut.

Dia yang kini berada di Muar, Johor menyiapkan lukisan mural dihubungi isterinya, Watie Elite  memberitahu keputusan peperiksaan anak mereka.

“Saya berjanji kepada anak, sekiranya mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, saya akan memberikan habuan kepadanya. Namun, habuan akan ditarik jika melakukan kesalahan.

“Buat masa ini, saya belum berkesempatan bertemu Ahmad Afif kerana berada di Muar. Apabila pulang ke rumah saya akan tanya apa yang diinginkan.

“Ketika masih belum matang, Ahmad Afif pernah beritahu apa yang diingini. Tetapi, apabila meningkat remaja, dia lebih suka menyimpan simpan benda yang diminati, mungkin sebab tidak mahu menyusahkan ibu bapa,” katanya kepada BH Online.

Diminta berkongsi formula yang digunakan dalam mendidik anak, Joey berkata, dia dan Watie mengehadkan penggunaan gajet ketika masa persekolahan.

“Sekiranya didapati menggunakan secara berlebihan, kami akan menyorokkan peralatan gajet ini.

“Biasalah budak-budak, bila dapat gajet, mereka jadi leka. Saya akan rampas gajet sekiranya digunakan secara berlebihan, kerana ada masanya menjejaskan keputusan peperiksaan Ahmad Afif.

“Selain itu, sekiranya ada mata pelajaran merosot, saya dan isteri akan menghantar anak ke kelas tambahan untuk subjek yang kurang baik.

“Alhamdulillah, Ahmad Afif sentiasa menunjukkan keputusan memberangsangkan,” katanya.

Joey atau nama sebenarnya, Zulkifli Daud berkata, dia juga sering membawa anak ke lokasi penggambaran ketika berada di tingkatan satu dan dua.

“Saya nak anak tahu macam mana susah payah saya dan ibunya mencari duit. Memang nampak saya berlawak, tetapi kerja kami bukan mudah.

“Jadi, mungkin perkara ini secara tidak langsung mendorong Ahmad Afif belajar dengan lebih baik,” kata Joey lagi.

Mengenai perancangan untuk masa depan anaknya, Joey berkata, dia menyerahkan sepenuhnya kepada Ahmad Afif untuk memilih bidang yang diminati.

Bagaimanapun, kata Joey, dia melihat Ahmad Afif cenderung ke arah syariah dan akan memberikan sokongan sekiranya anaknya ingin memilih bidang berkenaan.

“Setakat ini, apa yang saya nampak anak suka bidang syariah. Sebelum ini, selalunya saya akan menjadi imam di rumah, tetapi kini, Ahmad Afif sering mengambil alih tempat saya, jadi nampak kecenderungannya di situ.

“Saya tidak menghalang minatnya. Jika Ahmad Afif ingin menyambung pengajian dalam bidang syariah, saya akan sentiasa memberikan sokongan,” katanya.

Sumber: Berita Harian Onlinetie_sadaliofficial


ARTIKEL MENARIK: “Muka Mummy, Perangai & Cara Cakap Baba.” Berlakon Jadi Doktor, Warganet Puji Bahasa Melayu Jebat Jayden

ARTIKEL POPULAR: “Teruja Nak Kongsi Berita Indah. Saya Hamil!.” Alahan Teruk, Dr Amalina Syukur Suami & Ibu Banyak Bantu

BACA INI JUGA : “Heykal Sakit Ke? Nampak Kurus Betul.Hampir Tak Kenal.” Penampilan Suami Faezah Elai Raih Perhatian


Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  dan join keluargagader club