
Soda Bikarbonat banyak manfaatnya baik dalam pembuatan kek mahupun kecantikan. Kalau nak kulit wajah berseri dan bebas jerawat bolehlah gunakan bahan ini.
Nota Penting
Petua ini hanya sesuai untuk kulit muka jenis normal. Kulit sensitif sila elakkan guna soda bikarbonat.
Masker Scrub 2 In 1 yang dikongsikan oleh Awatif Osman ini bantu buang jauh-jauh kulit kusam. Yang pasti ia juga menjimatkan kerana cuma guna dua bahan dapur anda saja.
Bahan-bahan
2 biji limau nipis@ limau kasturi atau 1 biji yang sederhana.
1 sudu besar soda bikarbonat
Langkah Demi Langkah
- Potong limau nipis secara melintang. Ni PETUA mak mak kita, kan? Katanya air limau akan keluar banyak.
2. Picit limau pada soda bikarbonat.
3. Terkejut ya? Normal. Bagi ia dan kita masa untuk bertenang ye.
- Gaul sekata hingga boleh rasa tepek di muka.
Cara Pakai
Dah okay? Boleh tonyoh pada muka untuk buat scrub. Tonyoh lembut-lembut je. Baru lah ayu dan kewanitaan. Atau tepek kat muka jadikan sebagai masker sambil tengok drama.
Jangan simpan untuk esok ya. Habiskan je. Kalau tak sengaja terbanyak, hulur kat jiran tetingkap. Barulah hubungan #TillJannah. ❤
Syarat Pakai Masker Alami
- Kulit Jenis Kering: Pilih masker madu, minyak zaitun, oatmeal.
- Kulit Berminyak: Pilih masker lumpur, pisang, madu, putih telur, tomato, lidah buaya dan strawberi.
- Sebaiknya pakai 2-3 kali seminggu sudah memadai. Tak perlu pakai setiap hari.
- Masker jenis skrub pula sebaiknya pakai seminggu sekali saja.
- Tunggu sampai masker kering dalam 30 minit, jangan tersenyum atau ketawa mahupun menggerakkan otot wajah.
- Semasa mencuci wajah, gerakkan jari dalam gerakan memutar.
- Hati-hati semasa memakai masker, jangan sampai kena bahagian mata.
Sumber/Foto: Awatif Osman
Daun Limau Purut Mampu Menghilangkan Keletihan Badan. Petua Dulu-Dulu Yang Boleh Bermanfaat

Seharian sibuk bekerja pastinya badan rasa lemah dan letih. Sampai sahaja di rumah rasa terus nak tidur. Tapi sebelum tidur apa kata anda mandi dulu dengan air daun limau purut supaya tubuh badan berasa lebih segar.
Cara penyediaannya sangat mudah. Ikut step di bawah ini:
1. Ambil 10 helai daun limau purut dan hiriskan halus-halus
2. Ambil 5 biji buah limau purut, potong menjadi 4
3. Masukkan kedua-dua bahan tadi ke dalam satu baldi air suam
4. Ramaskan daun limau purut & perah buah limau purut untuk mengeluarkan airnya
5. Gunakan air tadi sebagai bilasan terakhir semasa mandi
6. Ratakan ke seluruh badan, terutamanya kepala & rambut
7. Air mandian ini akan membuang toksin yang terkumpul dalam badan anda
Daun limau purut berbau harum dan bau ini membantu melegakan keletihan. Daun dan buah limau purut ini juga membantu pembuangan toksin dari badan dengan baik. Limau purut juga bertindak sebagai antibakteria penghalang bau badan.
Semoga Bermanfaat!
Kredit : Petua Orang Dulu
Perlu Ker Pelindung Cahaya Matahari? Pakar Kimia Ini Jelaskan Keperluan Memakainya Supaya Kulit Tidak Bermasalah.

Biasanya setiap kali bangun pagi, tengok wajah untuk kusam di cermin, terus rasa stress. Ini menunjukan bahawa kulit wajah bermasalah.
Penjagaan wajah merupakan salah satu perkara yang penting lebih-lebih lagi jika anda bekerja dan perlu berhadapan dengan orang ramai setiap hari.
Begitu juga bagi yang bekerja di luar. Sudah tentu terdedah dengan cahaya matahari. Justeri, kulit perlu lindungi.
Nak tahu lanjut ikuti pesanan oleh pakar Kimia ini, Fatimah Salim menerusi perkongsian facebooknya.
Biasa saya tidak manjakan kulit kalau duduk di rumah, cukup setakat pakai pelembab. Pelindung cahaya matahari juga saya tidak pakai kerana yakin dengan cermin rumah yang tinted. Namun disebabkan cuaca panas yang amat, hari ini saja saya sudah 3 kali pakai pelindung cahaya matahari (pagi, lepas zuhur dan lepas azar).
Tahukah anda pemakaian pelindung cahaya matahari SANGAT penting?
YA. Terutamanya bagi mereka yang memiliki kulit yang cerah disebabkan kurangnya pigmen melanin. Selain memberikan warna kepada kulit, melanin merupakan bahan kimia semula jadi yang dihasilkan oleh kulit yang mana berfungsi untuk melindungi kulit daripada kerosakan akibat cahaya matahari yang berlebihan.
Nak tahu lebih mengenai pelindung kulit daripada cahaya matahari ini, jom baca ulasan yang pernah saya kongsikan dulu
PELINDUNG CAHAYA MATAHARI
Kita selalu dengar mengenai produk penjagaan kulit yang dikenali sebagai pelindung cahaya matahari (sun protection). Daripada beberapa maklumat yang saya perolehi, ramai yang keliru dengan istilah “Chemical and Physical sun protection”, begitu juga dengan istilah “sunblock” (penghalang matahari) dan “sunscreen” (pengadang matahari).
Maka artikel ini akan cuba untuk menjelaskan perbezaan, dan keperluan mereka ini dari sudut kimia. Sebelum itu mari kita ulangkaji dulu apa itu cahaya matahari (tenaga apa yang terdapat di dalamnya) dan struktur kimia kulit agar kita jelas tentang fungsi perlindungan yang dimaksudkan, juga jenis interaksi kimia yang mampu dihasilkan.
Apakah yang Membentuk Cahaya Matahari?
Cahaya matahari ialah sebahagian daripada gelombang elektromagnet (electromagnetic wave) bersifat gabungan cahaya dan haba yang dipancarkan oleh matahari. Sinaran yang sampai kepada kita telah ditapis oleh lapisan atmosfera bumi yang mana terdiri daripada tiga kumpulan tenaga iaitu ~5% ultraungu (Ultra Violet: kurang dari 400 nm), ~43% cahaya Nampak (visible: 400 – 700 nm), dan ~55% inframerah (IR: lebih dari 700 nm).
Antara jenis tenaga yang dibawa oleh cahaya matahari ini, tenaga UV merupakan tenaga yang paling kuat yang mana mampu berinteraksi dengan sel kulit, seterusnya menyebabkan perubahan kepada struktur kimia kulit kita. Tenaga UV yang sampai kepada kulit kita ini diklasifikasikan kepada dua, mengikut jumlah kerosakkan yang mampu dilakukannya iaitu dikenali sebagai ultra violet ageing (UVA: 320 – 400 nm), dan ultra violet burning (UVB: 290 – 320 nm).
Dan cahaya UV inilah yang harus dielakkan dari mencapai ke permukaan kulit kita kerana ianya mampu menggelapkan dan membakar lapisan kulit (sunburn), seterusnya menyumbang kepada masalah kulit yang lebih teruk termasuklah penuaan pramatang dan kanser.
Bagaimanakah Struktur Kimia Kulit?
Kulit kita ialah epitilium berlintap (stratified epithelium), di mana setiap lapisan mengandungi jenis sel yang berlainan dan menjalankan fungsi yang berlainan. Ianya terdiri daripada tiga lapisan utama iaitu epidermis, dermis dan hypodermis. Di sini kita akan memberi tumpuan kepada lapisan paling luar iaitu lapisan epidermis yang mana terbentuk daripada dua lapisan utama yang dipanggil lapisan corneum (mengandungi sel-sel mati dan mengelupas), dan Malpighian (mengandungi pigment melanin yang memberi warna kepada kulit).
Lapisan corneum terbentuk dari bahan-bahan kimia semulajadi seperti ceramides, cholesterol dan free fatty acids. Antara bahan-bahan kimia ini, ceramides mendominasi (~50%) dan terbentuk dari molekul berkomponen sphingoid (sphingosine, phytosphingosine, 6-hydroxysphingosine atau dihydrosphingosine) yang memiliki sifat hydrophobic (tidak suka air) dan hydrophilic (suka air) – rujuk gambar di bawah
👇🏻.Bahagian hydrophilic ini mampu membentuk ikatan hydrogen (Hydrogen bond) dengan bahan kimia di dalam formulasi pelindung cahaya matahari yang digunakan pada kulit.
Lapisan Malpighian mengandungi sel-sel aktif yang berperanan menggantikan sel-sel mati pada lapisan corneum tadi dan berfungsi sebagai pelindung dari pancaran cahaya matahari.
Walaupun kulit secara semulajadi mempunyai pelindung cahaya matahari, namun disebabkan oleh pelbagai faktor (genetik, diet pemakanan, stress, aktiviti harian, perubahan hormone, usia, jantina dan pemakaian produk harian) akan penyumbang kepada kepelbagian komposisi bahan kimia kulit.
Tambahan pula kita berada di negara Malaysia yang beriklim panas (dan lembab), kita memerlukan perlindungan tambahan iaitu dengan memakai pelindung cahaya matahari yang bersesuian.
Apakah itu Pelindung Cahaya Matahari?
Pelindung cahaya matahari ialah formulasi produk berupa losen, gel, lilin (waxes) atau semburan yang mengandungi campuran bahan kimia aktif yang dipakai pada permukaan luar kulit (topikal) bertujuan untuk melindungi kulit dari sinaran UV matahari. Pelindung cahaya matahari ini diklasifikasikan kepada dua jenis iaitu kimia dan fizikal – lihat contoh gambar di bawah.
Pelindung cahaya matahari kimia mengandungi bahan kimia organik seperti octylcrylen, avobenzone, actinoxate… yang mudah larut dalam air, larutan organik atau minyak. Disebabkan oleh sifat keterlarutan, bahan kimia ini mampu membentuk ikatan hydrogen dengan struktur kimia kulit dan menghasilkan kemasan kepada si pemakai.
Bahan kimia pelindung ini akan menyerap cahaya UV yang terkena padanya dan menukarkan tenaga UV ini kepada sinaran electromagnet yang lebih rendah tenaga (kurang mudarat) iaitu infrared (IR) untuk dibebaskan. Pelindung cahaya matahari kimia biasanya menjadi pilihan kerana ianya mudah penyerap dalam kulit dan memberikan perlindungan yang lebih menyeluruh, namun boleh menyebabkan kerengsaan kulit kerana cahaya yang diserap oleh bahan kimia tadi berbentuk haba yang boleh dipindahkan kepada sel kulit.
Namun kesan ini bergantung kepada tahap sensitiviti kulit masing-masing.
Pelindung cahaya matahari fizikal pula mengandungi bahan kimia tidak organik seperti zinc oxide, titanium dioxide…yang tidak larut. Maka ianya tidak akan membentuk ikatan hydrogen dengan struktur kulit, namun bergantung kepada jumlahnya, mungkin mengaruh (induced) daya electrostatik dengan komponen kulit tadi.
Pada awalnya, mekanisma perlindungan oleh bahan kimia ini diterangkan sebagai memantulkan (reflect) atau menyelerakkan (scatters) cahaya UV menjauhi kulit. Namun, kajian mutakhir membuktikan bahawa mekanisma lindungan ini hanyalah benar jika partikel bahan kimia yang digunakan adalah bersaiz besar.
Memandangkan kini banyak penambahbaikan telah dibuat seperti mengecilkan saiz partikel (nanoteknologi) bahan kimia bermetal ini juga sebenarnya menyerap cahaya UV. Pelindung cahaya matahari jenis fizikal kurang digemari kerana melekit, sifat metalik bahan kimia yang digunakan (berkilat pada kulit) dan kurang kemasan (finishing) pada kulit, namun pelindung cahaya matahari jenis ini lebih selamat dan sesuai untuk jenis kulit sensitif.
Terdapat juga pelindung cahaya matahari yang mengandungi bahan kimia yang bersifat fizikal dan kimia (hybrid) seperti bisoctrizole atau lebih dikenali dengan nama Tinosorb M. Bahan kimia jenis ini menjadi bahan penstabil bahan kimia organik sedia ada, agar kurang termusnah dek kerana serapan cahaya UV yang berlebihan.
Di masa yang sama ianya juga mempunyai jangkauan lindungan UVA dan UVB yang lebih luas serta lebih stabil daripada pelindung cahaya matahari jenis kimia dan fizikal bersendirian. Namun, pengunaan pelindung cahaya matahari jenis ini tidak diketahui kesan jangka panjangnya pada kulit.
Apa pula perbezaan “Sunblock” dan “Sunscreen”?
Sebenarnya sunblock dan sunscreen adalah bertujuan yang sama iaitu memberikan perlindungan kepada lapisan luar kulit daripada terkena cahaya UV matahari. Asalnya istilah “sunblock” digunakan untuk pelindung cahaya matahari yang bersifat fizikal kerana mekanisma lindungan dengan pemantulan atau penyelerakkan tadi.
Namun setelah dibuktikan melalui kajian mutakhir yang mana mekanisma lindungannya juga adalah melalui serapan (absorption), maka istilah “sunblock” ditarik semula dan diseragamkan kepada istilah “sunscreen” sahaja. Walaubagaimanapun, konsep awal ini masih lagi digunakan secara meluas oleh penerang awam (baca: kebiasaan).
Bagaimana Memilih Pelindung Cahaya Matahari?
Selain daripada mengambil kira kesesuaian kulit, pemilihan dalam pelindung cahaya matahari juga dinilai dengan melihat Sun Protection Factor (SPF) dan Protection against UVA (PA) [atau biasa dinyatakan ‘broad spectrum protection’ sahaja] yang mampu ditawarkan oleh produk tersebut.
SPF merupakan skala yang digunakan untuk menilai daya tahan bahan kimia di dalam formulasi pelindung cahaya matahari melawan cahaya UV selama 10 minit sebelum sampai ke lapisan kulit.
Ianya diukur dengan kadar serendah 2 sehingga 100. SPF dikira dengan mengunakan formula matematik yang komplex namun boleh diringkaskan seperti:
Contoh, produk yang mempunyai SPF 15 mampu bertahan di bawah terik matahari selama 150 minit (15 x 10) sebelum permukaan kulit terbakar (sunburn).
Namun, kesilapan yang biasa berlaku adalah dengan menganggap tempoh keberkesanan pelindungan boleh diambil secara terus dari hasil pendaraban ini. Faktor lain juga harus diambil perhatian kerana jumlah pendedahan matahari terhadap kulit adalah lebih bergantung kepada tempoh masa yang dihabiskan di bawah matahari, keterikan cahaya matahari (jumlah cahaya UV pada ketika itu), dan ketahanan bahan kimia pelindung sebelum termusnah.
Juga kandungan lain di dalam formulasi pelindung cahaya matahari seperti bahan kimia barium sulfate dan talcum (talc). Dan yang paling penting ialah cara pemakaian yang betul (jumlah yang perlu disapu pada kulit) mengikut kesesuian aktiviti.
Nota Kaki: Jika anda mempunyai kulit yang sangat sensitif, mohon rujuk pakar kulit untuk cadangan pilihan pelindung cahaya matahari yang bersesuaian.
Jom turut serta bersama e-keluargagader Bonding Day #dirumahaje secara virtual!
Bukan sahaja dapat eratkan hubungan dengan keluarga tersayang, tapi boleh lakukan aktiviti yang menceriakan bersama-sama. Hadiah menarik menanti anda sekeluarga!
Yuran hanya RM20.00 sahaja terhad untuk 30 famili sahaja. Satu famili 2 dewasa 2 kanak-kanak. Jadi, tunggu apa lagi? Jom daftar segera di sini: http://www.wasap.my/60169647520
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club
Geran Bersama Tapi Satu Pihak Sahaja Yang ‘Konker’ Pegang, Itu Pun Bergaduh Adik Beradik. Peguam Ni Bagi Penyelesaiannya!

Sebab tanah macam-macam perkara boleh jadi, ada sahaja yang tidak puas hati dan sekali gus bergaduh adik beradik kalau tidak sepakat. Hatta bab nak pegang atau simpan geran pun boleh jadi isu. Ini sepertimana yang dikongsikan oleh peguam ini.
BERGADUH SOAL SIAPA YANG PEGANG GERAN TANAH. BAGAIMANA PENYELESAIANNYA?
Masalah ini selalu dihadapi oleh penama-penama dalam geran kongsi pemilikan bersama.
Apa dia? Bergaduh fasal siapa yang patut pegang geran tanah.
Isu ni kecik je sebenarnya. Tapi disebabkan tak de ilmu, benda kecik pun boleh jadi bahan untuk berbalah satu sama lain.
Banyak saya dapati hanya satu pihak sahaja yang “konker” pegang geran. Bila orang lain nak pinjam geran untuk sesuatu urusan, bukan main kerek nya dia.
Konon takut geran hilang lah. Takut nanti tak pulang balik lah. Macam-macam alasan lah diberi nya. Macam lah geran tanah tu boleh bawak mati dalam kubur.
Sebenarnya, isu siapa yang patut pegang geran tanah tu tak penting pun. Dan tak sepatutnya pun dijadikan bahan untuk berbalah.
Asalkan nama anda ada didaftarkan dalam geran tersebut sebagai pemilik berdaftar, dari segi perundangan hak dan kepentingan anda akan sentiasa dilindungi oleh undang-undang. Jadi apa nak takut kalau tak pegang geran sekalipun.
Habis tu nanti kalau dia seorang saja yang pegang geran, kalau saya nak jual atau buat pindahmilik kepada anak saya macam mana? Banyak jugak yang tanya soalan ni.
Sebenarnya tak de masalah, kalaulah sekiranya pemilik bersama yang pegang geran tu tak kasi pinjam geran untuk anda uruskan urusan pindahmilik, anda sebenarnya boleh tulis surat kepada pejabat tanah memaklumkan yang anda ingin melakukan urusan pendaftaran pindahmilik tetapi pemilik bersama yang pegang geran tersebut enggan serahkan geran tanah asal tersebut kepada anda.
Pejabat tanah boleh arahkan pemilik bersama yang pegang geran asal tanah tadi menyerahkan geran tanah asal tersebut kepada pejabat tanah untuk tujuan di atas. Sekiranya pemilik bersama tadi enggan beri kerjasama, pejabat tanah boleh keluarkan
GERAN PENDUA untuk membolehkan urusan pendaftaran pindahmilik tadi dilakukan.
Bukan itu sahaja, pemilik bersama yang degil tak nak serah geran tanah asal tadi boleh diambil tindakan undang-undang seperti didenda atau dipenjara.
Kemudian ada juga yang tanya. Tak boleh ke pejabat tanah keluarkan satu geran seorang kepada setiap pemilik bersama? Baru lah senang.
Dalam Kanun Tanah Negara menyatakan dalam satu masa, hanya satu Suratan Hakmilik Asal (Geran Tanah Asal) sahaja akan dikeluarkan untuk satu bidang tanah.
Ertinya, setiap satu tanah hanya akan ada satu geran asal sahaja. Dia tidak akan jadi 10 geran atau 20 geran untuk satu tanah, walaupun penama dalam geran itu melebihi seorang.
Jadi soal siapa nak pegang geran asal tu pakat-pakat lah anda selesaikan secara baik.
Dalam Kanun Tanah Negara tak de pun menetapkan syarat-syarat siapa yang patut pegang geran untuk tanah geran pemilikan bersama ni.
Cuma dari segi amalan kebiasaannya, mungkin pemilik bersama yang mempunyai bahagian terbesar yang akan pegang geran. Pun begitu ia tidak semestinya begitu. Boleh sahaja kalau nak dibuat penggiliran siapa yang pegang geran.
Misalnya tahun ni Pak Abu pegang geran. Tahun depan Pak Karim. Begitulah seterusnya sampai semua pemilik bersama dalam geran tu merasa pegang geran asal tanah tersebut.
Tetapi kalau masih nak bergaduh jugak, simpan sahaja lah geran asal tanah tu kat pejabat tanah.
Kalau korang nak tahu, Pejabat tanah ada sediakan perkhidmatan menyimpan geran asal bagi sesuatu tanah. Cara ini lebih baik dan lebih selamat. Geran pun selamat. Tak payah nak bergaduh soal siapa nak pegang geran lagi.
Kalau mana mana pemilik bersama ada sebarang urusan nak buat berkenaan tanah tersebut seperti nak buat urusan pindahmilik bahagian dia kepada anak dia misalnya, boleh terus ke pejabat tanah dan petugas di pejabat tanah akan dapatkanya untuk anda. Selepas selesai urusan tersebut, pejabat tanah akan simpan dan jaga geran tersebut bagi pihak anda.
Aduhai..benda kecik pun nak gaduh..buat malu saja.
Inilah pentingnya ilmu perundangan hartanah. Kalau takde ilmu pasti semua tindakan kita akan berdasarkan emosi dan perasaan.
Urusan tanah ni kalau nak selesai guna emosi dan perasaan, memang tak kan selesai lah jawabnya. Sebaliknya nak selesai kena ikut lah Undang-undang. Undang-undang tanah di negara kita ni bukan semalam baru kerajaan gubal. Dah ada sejak merdeka lagi. Jadi ia antara Undang-undang yang boleh dikatakan lengkap dan detail di negara kita.
Pendek kata, jika anda faham undang-undang, insyaallah semua masalah berkenaan tanah akan dapat diselesaikan dengan baik.
Wallahuaklam.
Sumber : SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club