Jika berkunjung ke bazaar Ramadan, gerai kuih yang satu inilah sentiasa jadi perhatian. Cukup istimewa sekali ketika bulan puasa. Namun bagi anda yang punya waktu lebih atau hujung minggu, boleh juga cuba membuatnya sendiri di rumah.
Nak tahu apa petua menyedapkan kuih ini? Cuba petua ini.
Daun Pandan Asli
Pastikan pewarna hijaunya menggunakan daun pandan asli. Elakkan sama sekali hanya menggunakan pewarna hijau sahaja kerana rasanya cukup berbeza. Mungkin mencampurkan sedikit perasa pandan mampu membantu namun gunalah daun pandan yang asli. Ia pasti lebih sedap.
Guna Tepung Sesuai
Ada sesetengah yang mencampurkan tepung beras dengan tepung lain seperti tepung jagung namun tepung beras dikatakan lebih sesuai. Malah ia juga meninggalkan rasa yang berbeza dan struktur juga berbeza.
Senduk Kayu
Mengikut petua orang-orang lama, adunan kuih hendaklah dikacau menggunakan senduk kayu. Ia petua yang harus diperturunkan. Menggunakan senduk kayu buat adunan jadi lebih sebati dan mesra. Malah rasanya lebih enak.
Masih Panas
Selepas adunan daun pandan selesai dikukus, pastikan adunan santan yang dituangkan ke atasnya masih lagi panas. Ini bagi memastikan kedua adunan ini sebati dan mesra rasanya ketika melalui proses penyejukan. Langkah ini wajib dilakukan dan jangan tunggu adunan hingga sejuk barulah di tuangkan ke atasnya.
Gula Pasir
Gula pasir yang diletakkan di atas adunan daun pandan ketika proses mengukus juga perlu menjadi langkah wajib. Barulah adunan jadi cair seperti yang dijual di kedai.
Ketika proses mengukus, gula ini akan menjadi cair dan lebih enak rasanya. Jika tidak sukakan gula pasir, anda boleh juga menggantikannya dengan gula perang. Rasanya lebih lemak dan enak.