Siapa sahaja yang tidak mahu mengubah hidup menjadi lebih baik daripada pelbagai aspek? Namun untuk berubah bukanlah mudah, meskipun semuanya terletak pada diri kita sendiri.
Menyentuh tentang perubahan diri, mungkin ada antara kita tercari-cari formula yang boleh dipraktikan dalam merialisasikan impian untuk menjadi orang yang lebih baik bukan sahaja di dunia malah setiap kebaikan tersebut akan membawa diri kita ke syurga firdausi.
Jadi apa kata kita fahami perkongsian daripada ustazah Asma Harun ini, menurutnya ada 5M yang perlu dilakukan. Apakah 5M yang dimaksudjan olehnya itu?
5M YANG PERLU DILAKUKAN UNTUK PERBAIKI DIRI
SubhanAllah Allahu Akbar,
Sahabat, sebelum pejamkan mata, pejamkanlah juga segala kesedihan, kedukaan, keperitan, dan semua yang membebankan diri. Tetaplah menjadi seseorang yang berani untuk menghadapi hari esok dengan satu harapan dan perubahan.
Bagi yang sedang dalam proses berubah untuk menjadi seseorang yang lebih baik dari sebelumnya, teruslah berusaha, kuatkanlah semangat. Sentiasalah perbaiki niat agar perjalanan hijrah tidak tercemar dengan perkara dunia yang sifatnya fana.
Malam ini, suka untuk saya kongsikan rahsia disebalik 5M yang perlu dilakukan untuk perbaiki diri.
1) M – Muhasabah
Dalam tak sedar, terkadang kita pasti melakukan beberapa kesilapan sehingga membuatkan diri tersedar bahawa bukanlah Allah yang menjauh daripada kita akan tetapi kita sendiri sebenarnya yang menjauhkan diri daripada Allah. Sahabat, muhasabahlah, perhatikanlah semula segala amalan-amalan kita, adakah ia cukup untuk dibawa dengan baik di akhirat kelak?
Firman Allah SWT:
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا اتَّقُوا اللّٰهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍۚ وَاتَّقُوا اللّٰهَ ۗاِنَّ اللّٰهَ خَبِيْرٌ ۢبِمَا تَعْمَلُوْنَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah. Sungguh, Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.
(Surah al-Hasyr: 18)
2) M – Mujahadah
Sahabat, berusahalah untuk lawan segala hawa nafsu yang membelit diri, jika tidak kita sendiri yang akan memakan diri. Allahu Akbar.
Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda:
لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ
Maksudnya: “Tidaklah orang yang kuat itu orang yang pandai bergaduh, tapi orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan nafsunya ketika ia marah.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Daripada Abdullah bin Amru r.a., Rasulullah SAW bersabda:
لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُونَ هَوَاهُ تَبعاً لَما جِئْتُ بِهِ
Maksudnya: Tidak beriman seseorang kamu sehingga hawanya (kemahuan atau kecenderungannya) mengikut kepada apa yang aku bawa dengan dia.”
(Disebut Oleh Imam An-Nawawi di dalam kitabnya hadis 40 Imam Nawawi bahawa hadis ini sahih)
3) M – Mu’aqabah
Makna Mu’aqabah adalah memberikan hukuman kepada diri sendiri. Apabila kita melakukan sesuatu dosa atau kesalahan maka hendaklah kita segera menghapuskannya dengan melakukan amal kebaikan walaupun terasa susah atau berat. Sebagai contoh, istighfar 100 kali, memberikan sedekah, mendirikan solat dan sebagainya.
Dengan cara ini, insyaAllah kita akan dapat mengajarkan diri kita untuk sentiasa berhati-hati daripada melakukan perkara-perkara yang Allah larang.
4) M – Muraqabah
Makna muraqabah adalah mendekatkan diri. Saat ingin perbaiki diri, usahalah untuk sentiasa merasai bahawa diri sentiasa diawasi oleh Allah SWT sehingga mendatangkan kesedaran untuk sentiasa melakukan perintah dan menjauhi larangan-Nya.
Daripada Ibnu Abbas r.a., beliau berkata:
كُنْتُ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا،
Pada suatu hari, aku berada di belakang Rasulullah SAW,
فَقَالَ: يَا غُلَامُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ
Baginda SAW bersabda, “Hai anak, sesungguhnya aku akan mengajarimu beberapa kalimat:
احْفَظِ اللَّهَ يَحْفَظْكَ، احْفَظِ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ،
Jagalah Allah nescaya Dia menjagamu, jagalah Allah nescaya kau menemui-Nya di hadapanmu,
إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ،
bila kau meminta, mintalah pada Allah
وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ
dan bila kau meminta pertolongan, mintalah kepada Allah.
وَاعْلَمْ أَنَّ الأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ
ketahuilah sesungguhnya jika umat bersatu untuk memberimu manfaat,
لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ
mereka tidak akan mampu memberi manfaat apapun selain yang telah ditakdirkan Allah untukmu
وَلَوِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ
dan jika mereka bersatu untuk membahayakanmu, mereka tidak akan mampu membahayakanmu sama sekali
قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ، رُفِعَتِ الأَقْلَامُ وَجَفَّتِ الصُّحُفُ
Kecuali yang telah ditakdirkan Allah padamu. Pena-pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering (maksudnya takdir telah ditetapkan).”
(HR Tirmizi, hadis sahih)
5) M – Mulazamah
Mulazamah bererti melazimi. Saat seseorang ingin mendekatkan diri kepada Allah, saat itulah perlunya untuk melazimi ilmu-ilmu agama agar dekat kepada-Nya bukan sebarang dekat, tetapi dekat kerana berpengetahuan. Dekat kerana sedar bahawa Allah-lah tuhan yang patut dan layak disembah, ditaati dan diletakkan segala pengharapan yang tinggi. Bukankah untuk memiliki sesuatu itu perlukan ilmu?
Imam asy-Syafi’i berkata:
مَنْ أَرَادَ الدُّنْيَا فَعَلَيْهِ بِاْلعِلْمِ، وَمَنْ أَرَادَ الآخِرَهَ فَعَلَيْهِ بِالْعِلْمِ، وَمَنْ أَرَادَهُمَا فَعَلَيْهِ باِلعِلْمِ
Maksudnya: “Barang siapa yang menginginkan dunia maka hendaklah dengan ilmu, barangsiapa yang menginginkan akhirat, maka hendaklah dengan ilmu.”
SubhanAllah, semoga dengan rahsia 5M ini, maka kita akan bertambah semangat untuk berubah dan perbaiki diri kepada jalan yang Allah redhai.
Sumber : Asma’ binti Harun
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club