Kata pepatah nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Jika kita rajin semua benda pasti akan jadi.
Untuk ibu-ibu yang buntu tidak tahu menu apa untuk hidangan minum petang buat seisi keluarga, cuba resipi mudah ini. Mungkin sebelum ini anda hanya membeli di kedai sahaja, kali ini pikat selera anak-anak dengan buat sendiri Kek Gulung Swiss. Jika buat dihujung minggu, boleh ajak anak-anak bantu anda di dapur.
Apa kata cuba resipi viral Kek Gulung Swiss yang hanya menggunakan kuali sahaja. Menarik bukan, jom semak resipinya!
Bahan-bahan yang diperlukan ialah:
- 3 biji telur (asingkan kuning dan putih telur).
- 30 gram mentega.
- 50 gram susu.
- Minyak zaitun.
- Putih telur.
- Gula.
- 250 gram tepung kek.
Cara-caranya ialah:
#1 Campurkan kuning telur, minyak zaitun, susu, mentega dan gula ke dalam satu bekas. Kacau adunan itu sehingga sebati dan tambahkan tepung sedikit demi sedikit dan kacau lagi.
#2 Pukul 3 biji putih telur perlahan-lahan dan tambah putih telur lagi apabila ia mula mengembang. Pukul sehingga putih telur itu mengeras dan gebu.
#3 Satukan adunan tepung dan putih telur tadi dan kacau sehingga sebati.
#4 Sapukan kuali dengan sedikit minyak zaitun dan tuangkan adunan kek ke dalam kuali. Pastikan kuali tidak dipanaskan dan tiada gelembung udara dalam adunan kek tersebut.
#5 Dengan menggunakan api yang kecil, bakar kek tersebut selama 6 minit. Pastikan anda memeriksa keadaan api di bawah kuali. Apabila bahagian atas kek mula berubah warna, balikkan kek tersebut dan bakar selama 2 hingga 3 minit lagi.
#6 Selepas kek masak, keluarkan dari kuali dan letakkan di atas kertas minyak. Sebagai pilihan, anda boleh meletakkan krim atau jem untuk menambahkan lagi keenakan rasa dan meningkatkan persembahan kek supaya menjadi lebih menarik.
#7 Gulungkan kek tersebut dan potong.
Kek yang lazat sudah tersedia untuk dimakan. Sangat mudah dan menyelerakan bukan?
Tips untuk mendapatkan putih telur yang kembang dan gebu dalam masa yang singkat:
♥ Letakkan mangkuk berisi putih telur di dalam peti beku atau selama 7 minit sebelum dipukul sehingga kembang.
♥ Putih telur yang lebih sejuk akan mengambil masa yang singkat untuk mengembang sebelum ia dikaup balik untuk dicampur dengan adunan yang lain.
Sumber: malaysiabolehbro.com