Buang Rahim & Payudara Akibat Kanser. Dek Kerana Suami Yang Penyayang & Sabar, Wanita Ini Mampu Terus Hidup Bahagia!

Share

Mendengar perkongsian daripadanya Puan Noor Diyana Mohamed Zukri, 36 sebagai canser servival, cukup menyentuh hati. Bukan calang-calang orang mampu berada ditempatnya kini, punya semangat yang luar biasa hatta sepanjang bercerita tidak sedikit pun menitiskan air mata. Begitu sabar bercerita satu persatu tentang penyakit yang ditanggungnya kini.

2014 Disahkan kanser

Pada mulanya saya tidak menyedari sebarang perubahan pada diri yang menunjukkan saya tidak sihat, semuanya normal. Hingalah pada suatu hari, sedang saya bersabun dapat rasakan ada benjolan di payudara. Risau dengan keadaan itu, saya pergi ke klinik biasa dan kemudian direfer ke hospital.

Apabila dibuat pemeriksaan, benarlah ada ketulan sebesar 4.5-5 cm dan pembedahan harus segera dilakukan. Dan ketika ini tujuannya hanya untuk mengeluarkan ketulan tersebut, dan siapa menduga selepas 4 hari di bedah barulah didiognos saya ada kanser payudara.

Jujur saya katakan, masa itu emosi saya sangat terganggu, menangis sepanjang hari dan tidak dapat menerima kenyataan. Apa yang saya rasa hidup ini tiada harapan lagi. Namun, suami begitu positif orangnya dan dialah sebenarnya sumber kekuatan saya. Apa yang dia mahu agar saya kembali sembuh.

Maka saya akur untuk jalani pembedahan untuk membuang payudara saya dan jalani rawatan bermula bulan Dis 2014 dan complete kimo/radioteraphy pada bulan Mac 2015.  Saya fikirkan selepas buat semua itu, akan berakhirnya kesakitan yang ditanggung. Tetapi sebenarnya disaat itulah semuanya baru bermula.

Tahap kesihatan saya semakin merosot, rambut saya gugur, selera makan berkurangan, kuku menjadi biru, muntah-muntah dan saya ambil keputusan hanya mengurungkan diri dalam rumah.

Pengorbanan suami

Saya cukup bersyukur dikurniakan suami sepertinya, tetap melayan saya seperti dahulu. Penuh kasih sayang dan saya amat hargainya. Suami sangat mainkan peranannya, ketika saya terlantar sakit, dia cuti kerja tanpa gaji demi menjaga saya. Dia jugalah yang  menguruskan anak sambil dibantu orang tua kami.

Selain itu, dia jugalah yang tidak putus asa terus berusaha membawa saya ke merata-rata untuk mencari rawatan kanser. Pantang dapat tahu, ada cara alternatif, akan diusahakan untuk saya berubat.

Kuasa Tuhan, Saya Hamil

Ini suatu peristiwa yang cukup luar biasa dan doktor sendiri pelik bagaimana saya boleh hamil. Memandangkan saya telah dibekalkan ubat yang harus diambil selama 5 tahun untuk melawan kanser daripada menyerang lagi. Dan kesan ubat tersebut menghalang untuk saya mengandung.

Namun, kuasa dan perancangan Allah itu cukup indah. Saya disahkan hamil pada tahun 2016 dan doktor menyarankan untuk digugurkan kandungan tersebut atas faktor kesihatan. Namun naluri ibu yang ada dalam diri saya mengatasi semuanya. Saya rayu untuk meneruskan kandungan walaupun doktor jelaskan risiko yang bakal saya tanggung. Saya pasrah, kandungan ini harus diteruskan!

Alhamdulillah, sepanjang tempoh kehamilan kesihatan saya stabil dan menjalani rawatan kandungan lebih kerap berbanding ibu yang normal. Perkembangan bayi stabil dan pada usia 8 bulan kandungan,  setalah dibuat setail scan, doktor dapati tangan bayi masih tergenggam tidak terbuka. Menurut doktor, bayi akan ada alami masalah apabila dilahirkan nanti. Saya serahkan semuanya pada Allah dan hanya Dialah tempat saya bergantung.

Subhanallah, anak saya  dilahirkan sempurna dan normal seperti bayi lain. Syukur dengan kurniaan Allah yang cukup indah. Kami namakan Tuan Mohd Aiyjaz Aniq yang kini berusia 1 tahun 6 bulan dan dia jugalah putera permata hati yang melengkapkan lagi dengan 4 orang puteri kesayangan kami.

Terus Diduga

Setelah 4 bulan melahirkan anak, kanser menyerang saya lagi dan inilah risiko yang perlu saya tanggung atas keputusan yang saya buat. Jadi saya perlu membuang satu lagi payudara untuk terus berjuang. Sekali lagi, suami tetap dengan keyakinannya bahawa saya boleh sembuh dan sihat seperti sediakala.

Selepas pembedahan saya menolak untuk jalani kimoterapi kerana tidak mahu merasai kesakitan sebagaimana yang pernah saya lalui dulu. Atas keputusan ini juga, doktor sarankan untuk saya mengambil ubat yang lebih kuat untuk melawan kanser dan pengorbanannya saya perlu membuang rahim. Maka pada bulan 12 yang lalu saya telah lakukan pembedahan tersebut.

Suami tetap bagi semangat dan antara kata-katanya yang saya pegang adalah “Tak pa, kita buat apa sahaja asal sihat” dan atas sebab itu juga saya mahu jalani kehidupan yang sihat bersama keluarga.

Menikmati saat bahagia bercuti bersama keluarga di Pulau Perhentian

“Saya pikir positif nak sihat je.Tak fikir sakit, fikir nak sembuh”-Noor Diyana