“Buang Perasaan Malu, Kotor…” Azhan Rani Pesan Jaga Mak Ayah Sakit, Mereka Perlu Penjaga Bukan Pelawat!

Share

Sebelum ini pernah dilaporkan ibu pelakon, Azhan Rani pengsan hampir tiga kali ketika di rumah. Perkembangan terbaru, memetik laporan Media Hiburan Azhan memaklumkan ibunya kini masih lagi dirawat di hospital dan memerlukan pemantauan rapi selepas dilaporkan pengsan hampir tiga kali ketika di rumah.

Bagaimanapun, Azhan memberitahu keadaan ibunya sudah beransur baik dan kini sedang menjadi rawatan fisioterapi dan pemulihan.

“Mak saya sekarang berada dalam keadaan terbaring. Namun, perkembangan dia agak bagus berbanding hari pertama. Sebelum ini, dia pernah tumbang hampir tiga kali di rumah.

“Berat badan pun dah menurun secara drastik iaitu 32 kilogram tapi selera makannya sudah kembali okay.

“Ketika ini, dia tak mampu untuk duduk, berdiri dan berjalan. Kita kena ajar dia bertatih dan bertongkat.

“Mak saya masih lagi perlu diurus sebab dia masih pakai lampin 24 jam. Perlu ada orang yang jaga untuk tukar pakaian. Sekarang saya bergilir-gilir dengan adik,” katanya kepada MH.

turut mengingatkan anak-anak di luar sana untuk tidak merasa susah untuk menjaga ibu bapa yang sakit.

“Untuk menguruskan mak yang sudah tua dan sakit sememangnya bukan mudah. Apatah lagi bila anak-anak lelaki nak menjaga orang perempuan.

“Kita kena buang perasaan malu, kotor atau geli nak bersihkan najis. Buat anak-anak di luar sana, kalau kita rasa itu susah, itulah yang mak kita lalui dahulu.

“Kalau kita rasa dia menyusahkan kita, memang patut pun. Kita pun dah susahkan dia berkali-kali ganda ketika kita kecil,” ujarnya lagi.

Azhan berkata sedemikian ketika ditemui dimajlis sidang media drama Budak Hostel Otaknya Sewel yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur pada Selasa.

Katanya lagi, dia juga sudah melihat pelbagai rakam keluarga ketika berada di hospital.

“Bila berada di hospital, saya dapat melihat keadaan ibu bapa orang lain. Ada ibu bapa yang tiada pun anak-anak datang tengok. Sampai nak suap makanan pun kena minta tolong orang lain.

“Bila orang tua sakit, janganlah ramai-ramai datang ketika waktu melawat. Orang tua yang sakit, dia tak perlukan pelawat tetapi penjaga. Jagalah, jangan datang melawat. Itu sahaja syurga yang kita ada,” katanya lagi.

Kongsinya lagi, anak-anak perlu berbincang sesama adik-beradik demi memastikan kebajikan ibu bapa sentiasa terjaga.

“Seorang anak perlu mengambil tanggungjawab yang lebih. Kalau kita kumpulkan alasan? Rasanya ibubapa kita akan terbiar.

“Orang lain yang punyai ramai adik-beradik pun akan susah nak jaga mak. Tapi alasan sebegitu tidak akan ada pada mak kita. Seorang mak boleh jaga sampai 10 orang anak.

“Saya tak anggap ini satu pengorbanan tapi ia merupakan tanggungjawab,” akhirinya.

Sumber : Media Hiburan