Buang Lebih 100 Ekor Ayam Akibat Bahan Perap Berbuih, Peniaga Ini Tidak Kisah Rugi Demi Elakkan Pelanggan Keracunan Makanan

Share

Dalam perniagaan, tiada jalan mudah untuk berjaya. Pasti ada liku-liku yang akan diharungi untuk mencapai kejayaan. Ada turun naik, malah untuk berada ditahap yang membanggakan, ianye memerlukan pengorbanan. 

Itulah umrah dalam dunia perniagaan. Bagi yang  menceburi bidang ini, pasti arif dengan ‘permainannya’. Kejayaan tak dapat bergolek tetapi liku-liku yang harus ditempuhi inilah yang akan membawa kejayaan yang diinginkan. 

Seperti yang terjadi kepada seorang pengusaha kedai Port Bako-Bako yang popular dengan menu ayam tong, suatu kejadian yang tidak diinginkan telah berlaku apabila hampir 100 ekor ayam yang sudah siap diperap terpaksa dibuang gara-gara bahan perapannya berbuih. 

Namun, pengusaha ini akur dengan ketentuan Allah dan reda dengan apa yang berlaku kerana dia yakin apa yang terjadi adalah aturan rezeki Allah.

“Ayam tu sebenarnya baru saja diambil. Ada kesan lebam pada ayam. Tukang perap dah perasan, tapi dia tak biasa situasi macam tu. Jadi dia kumpul semua ayam dan perap dalam satu bekas.

“Apabila ayam yang dah busuk terendam dengan bahan perap, ayam yang masih elok pun ikut berbau. Kemudian bahan perap jadi berbuih. Terus staf saya tak berani nak bakar.

“Selepas kami periksa balik, ayam memang dah tak boleh pakai. Jadi kami ambil keputusan untuk buang saja. Kalau dikira, rugi dalam RM2,000.” 

Kisah ini dikongsikan sendiri oleh pengusaha yang bernama Faizal ini di akaun TikTok miliknya. Selepas memuat naik video tersebut, dia mendapat pelbagai respon dari warga maya. 

Ada yang bersetuju dengan tindakannya kerana bimbang keselamatan pelanggan jika ayam tersebut tetap juga dijual namun ada juga yang menyelar tindakannya itu. Ada yang mengatakan telah berlaku pembaziran berikutan ayam yang elok masih boleh dimakan jika membuat beberapa petua untuk  menghilangkan bau.

“Memang ada yang bagi cadangan suruh rendam cuka untuk hilangkan bau. Tapi kami tak mahu jual ayam tak elok kepada pelanggan. Kami bukan berniaga sebulan dalam bulan puasa, kami ada kedai dan berniaga sepanjang masa.

“Kami jaga kualiti. Siapa yang nak rugi kan? Ramai juga yang cakap saya patut sedekah ayam tu kepada orang ramai. Saya tak berani nak sedekah makanan yang dah tak elok. Sebab risiko keracunan makanan boleh membawa kematian.” 

Tambah Faizal, dia turut menerima cadangan supaya ayam-ayam itu diberi kepada haiwan lain, namun katanya dia tidak mempunyai kelapangan masa kerana sedang sibuk menyiapkan tempahan iftar.

“Ada yang suruh kami bagi pada kucing. Masalahnya seekor kucing tak mungkin dapat habiskan seekor ayam. Takkan kami nak cari kucing seekor demi seekor untuk bagi makan. Ayam tu ada 100 ekor.

“Ada juga yang suruh bagi pada anjing. Tapi kami tak sempat sebab tengah kejar tempahan lain. Yang suruh beri pada penternak keli pun ada, tapi saya tiada contact penternak keli. Kami pula tengah kejar masa.

“Selain itu, ada juga yang cadangkan supaya saya sedekahkan ayam tu semua kepada zoo. Kat sini mana ada zoo. Cadangan itu bagus, tapi tak kena dengan situasi,” ujarnya yang mula berniaga sejak dua tahun lalu.

Namun di sebalik dugaan yang dihadapi, pemuda ini tetap bersyukur kerana kedainya sentiasa menjadi pilihan ramai dan turut dikunjungi individu dari luar negeri Pahang.

Malah, beliau turut menegaskan dan berpesan kepada para peniaga agar sentiasa jujur dan berusaha memberikan kualiti terbaik buat pelanggan masing-masing.

“Pada saya, kalau makanan itu rosak, jangan jual walaupun ada orang kongsi cara untuk hilangkan baunya. Kita kena ambil iktibar kes orang mati keracunan makanan.

“Ada orang guna kaedah macam tu kalau makanan rosak, tapi saya memang tak berani,” ujarnya lagi.

Semoga kisah Faizal ini dijadikan ikhtibar buat semua. Setiap peniaga ada cara tersendiri dalam menyelesaikan masalah. apa yang penting adalah kejujuran dan keikhlasan berniaga. 

Pasti akan dipermudahkan oleh Allah dan dimurahkan rezeki. 

[TIPS]

Nak macam-macam info? Sila subscribe channel Telegram KELUARGA  dan join keluargagader club