Bosan Pencuci Mulut Sama Setiap Hari, Cuba 7 Resipi Bengkang Kreatif Dari Home Economist Ni, Sedap!

Share

Bosan menyediakan pencuci mulut yang sama setiap minggu buat anak-anak? Apa kata anda cuba pula sediakan bingka atau orang utara panggil sebagai bengkang buat anak-anak hujung minggu ni.

Bengkang bagi orang utara adalah menu yang cukup enak. Paling penting cara nak buatnya amatlah mudah. Hanya campurkan semua sekali bahan dan terus dibakar. Senang kan?

Enam resipi bengkang ni cukup istimewa. Disediakan oleh seorang home economist, Puan Fauziah Md Jusoh yang cukup handal dalam menyediakan kuih muih tradisional Melayu. Cakap sahaja apa kuih yang anda suka, dalam masa sekejap sahaja dia boleh senaraikan menu yang diciptanya sendiri. Kreatif kan?

Jadi, jom kita cuba buat sendiri di rumah. Menu baru untuk anak-anak, pasti buat anak-anak teruja.

 

BENGKANG KACANG MERAH

BAHAN-BAHAN:
1 tin kacang merah |dibasuh bersih
240ml air

Bahan A:
200gm tepung gandum
60gm tepung beras
500ml santan pekat
180gm gula psir
2 biji telur
Sedikit pewarna merah jambu

CARA MEMASAK:
1. Kisarkan kacang merah bersama air hingga sebati. Ketepikan.
2. Satukan kesemua bahan A dan kisar dalam pengisar hingga sebati.
3. Tuangkan ke dalam periuk dan satukan bersama kacang merah yang dikisar.
4. Masak dengan api kecil selama 6 minit.
5. Sapukan minyak di dalam loyang dan panaskan seketika di atas api.
6. Tuangkan adunan ke dalam loyang dan bakar selama 55 minit dengan suhu 200 C.

BENGKANG PISANG

BAHAN-BAHAN:
8 biji pisang berangan 1
100gm gula pasir
160gm santan pekat
140gm tepung beras

CARA MEMASAK:
1. Lenyekkan pisang hingga halus.
2. Kemudian masukkan kesemua bahan lain dan gaulkan hingga sebati.
3. Tuangkan adunan ke dalam loyang dan kukus selama 30 minit.

BENGKANG KACANG HIJAU

BAHAN-BAHAN:
200gm kacang hijau |direbus hingga kembang
225gm tepung gandum
560ml santan
190gm gula pasir
Sedikit garam
Sedikit pewarna hijau

CARA MEMASAK:
1. Rebus kacang hijau dengan air secukupnya hingga empuk.
2. Kemudian campurkan dengan kesemua bahan lain dan gaulkan sebati.
3. Apabila sebati, tuangkan ke dalam loyang bulat dan bakar pada suhu 180 C selama 1 jam 25 minit.
4. Sedia dinikmati.

BINGKA ROTI

BAHAN-BAHAN:
10 keping roti putih |dicarik
2 sudu makan marjerin
100gm gula pasir
2 biji telur gred A
1 tin susu cair

CARA MEMASAK:
1. Carik-carikkan roti dan susun ke dalam loyang.
2. Satukan kesemua bahan lain dan tuangkan ke dalam loyang berisi roti.
3. Biarkan seketika selama 10 minit.
4. Kukus selama 30 minit.

BENGKANG PANDAN

BAHAN-BAHAN:
450gm tepung gandum
1.25 liter santan
5 helai daun pandan |diambil airnya
380gm gula pasir
Secubit garam

CARA MEMASAK:
1. Campurkan kesemua bahan dan gaulkan sebati.
2. Tapiskan adunan kemudian masukkan ke dalam acuan bengkang yang sudah disapukan dengan marjerin.
3. Bakar pada suhu 180 C selama 1 jam 15 minit.
4. Perlahankan apinya dan bakar lagi selama 10 minit.

BENGKANG LABU

BAHAN-BAHAN:
300gm labu |direbus hingga empuk
200gm tepung gandum
2 sudu makan tepung kastard
360ml santan pekat
160gm gula pasir
3 sudu makan susu pekat
3 biji telur gred A
Secubit garam

CARA MEMASAK:
1. Masukkan kesemua bahan di dalam pengisar dan kisar hingga sebati.
2. Tuangkan ke dalam loyang dan bakar pada suhu 200 C selama 1 jam 20 minit.
3. Sedia dinikmati.

BENGKANG KELADI

BAHAN-BAHAN:
300gm ubi keladi |direbus hingga empuk
200gm tepung gandum
20gm tepung kastad
1 kotak kecil santan
160gm gula pasir
60gm susu pekat manis
3 biji telur gred A
Sedikit garam
Sedikit pewarna ungu

CARA MEMASAK:
1. Campurkan kesemua bahan dan gaulkan hingga benar-benar sebati.
2. Tapiskan adunan kemudian tuangkan ke dalam loyang bulat.
3. Bakar pada suhu 200 C selama 1 jam 20 minit.

Selamat mencuba!