Biar apa jua panggilan baik mak, mama, ibu, bonda dan sebagainya, namun yang pasti mereka adalah insan yang cukup istimewa dan cukup berjasa kepada anak-anak. Sanggup berkorban menahan segala macam sakit dari saat mengandung selama sembilan bulan sehinggalah melahirkan.
Tidak terungkap dengan kata-kata pengorbanan mereka yang sanggup berkorban nyawa demi anak, kerana itu mereka terpilih sebagai insan yang dimuliakan di sisi Allah swt.
Namun apabila anak sudah besar dan dewasa, ada kalanya berlaku perselisihan faham atau tidak bersefahaman membuatkan ada yang berkecil hati. Bagi yang memiliki adik beradik ramai, pasti wujud perasaan yang merasakan ibu pilih kasih kononnya ibu lebih menyayangi adik-beradik lain selain daripada kita. Perasaan tersebut adakalanya membuatkan si anak mula menjauhkan diri seolah-olah merajuk dengan si ibu.
Baru-baru ini tular satu video berkenaan hal ini. Di dalam video tersebut, Datuk Nurul Hidayah yang juga merupakan anak perempuan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertanyakan soalan kepada Ustazah Asni Abu Mansor sama ada anak mempunyai hak untuk merajuk dengan ibunya.
Di dalam video berkenaan, ustazah mengatakan seorang anak tidak mempunyai hak untuk merajuk dengan ibunya selepas apa yang dikorban dan dilakukan oleh ibu sepanjang hayatnya.
“Anak-anak tiada hak untuk merajuk mahupun berdendam dengan ibu kerana pengorbanan mereka melahirkan kita ke dunia amat mulia di sisi Allah.
“Apa pun yang mak kita buat, mereka tetap yang terbaik… tetap yang terbaik. Kamu pandai macam mana pun , ada PhD sampai empat ke, mak kita tetap betul. Walaupun apa yang dia cakap tu fakta dia salah mengalah je lah.
“Andai kita bina istana pun untuk mak, andai hadiahkan dua kilo, lima kilo emas, andai kita gendong dia untuk tawaf umrah dan haji, andai kita minum air rendaman kakinya, belum tentu dapat balas jasanya yang mengeluarkan kita dari gelap rahim pada terang dunia ini.
“Ibu itu makhluk yang Allah muliakan… Kasih ibu tidak pernah bertalak, kasih ibu tiada edahnya. Atas sebab itu, kita tiada hak untuk merajuk kepada mereka. Kita tiada hak langsung untuk berdendam dengan mereka.
Dalam pada itu, ustazah juga memberitahu bahawa doa seorang ibu adalah amat penting untuk seorang anak, kerana doa ibu terus sampai kepada Yang Maha Esa tanpa hijab.
“Pohonlah rahmat kerana pada dua tangannya ada tangan keramat yang boleh mendoakan kita. Doanya tiada hijab terus sampai kepada Allah. Kita tak tahu waktu kita sedang lena tidur, ibu kita bangun Ya Allah, kasihani anakku, rahmati hidupnya, bahagiakan dia Ya Allah.
“Beruntung lah orang yang masih punya ibu yang dapat doa ibunya. Sebab itu kalau masih ada ibu, junjunglah dia, letakkan dia ditempat mulia.Anadai ada ibu mentua, junjunglah dia dan letakkan dia di tempat mulia ,”ujarnya lagi.
Ustazah ini juga memperingatkan anak-anak untuk memuliakan ibu masing-masing, sebagaimana Rasulullah SAW memuliakan ibu susuannya, Halimatul Saadiah.
“Hatta Rasullah SAW dapat jumpa ibu susuannya, dibuka serban, dihamparkan dan meminta Halimatul Saadiah duduk di atas serbannya. Kata Saidina Abu Bakar, aku tidak pernah cemburu pada orang melainkan kepada Halimatul Saadiah kerana dapat duduk serban Nabi SAW. Bak kata ustaz, itu ibu susu, kalau Rasul ada ibu kandung…,”kata Ustaz lagi yang membuatkan kebanyakan hadirin dilihat mengalirkan air mata.
Untuk mengetahui lebih lanjut, anda tontonilah video di bawah ini. Video ini dipetik daripada salah satu program di kaca televisyen yang dikongsikan oleh irine_nadia menerusi instagramnya.
Semoga ia bermanfaat buat anak-anak sekalian dalam menghormati dan menyayangi insan mulia bernama ibu.
Sedia tisu siap-siap?
Rata-rata yang menonton melahirkan rasa terharu dan sebak dengan perkongsian tersebut.
Sangat menyentuh hati
yang ada mak jaga elok-elok
Doa tiada hijab
Sesungguhnya, kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Sayangilah ibu kita semua selagi berpeluang melakukannya. Bagi yang sudah tiada lagi ibu, sedekahkanlah doa untuknya di alam sana.
Sumber: IG irine_nadia