“Boleh Saya Minta Buah Mangga, Isteri Mengandung.” Gara-Gara Isteri Mengidam, Posmen Ni Tulis Nota Kepada Tuan Rumah!

Share

Mengidam antara simptom yang dialami oleh wanita yang mengandung. Ada yang mengidam nakkan sesuatu yang mudah dicari tak kurang juga yang buat diri sendiri pening kepala. Sebagai suami, sudah tentu akan berusaha untuk memenuhi keinginan sang isteri biar susah macam mana sekali pun.

Demikian juga dengan lelaki ini apabila isterinya mengidamkan buah mangga sahaja. Tetapi mangga itu harus dikutip dari pokok dan bukannya dibeli di kedai. Menyebabkan suaminya terpaksa meninggalkan nota kecil buat pemilik buah berkenaan bagi menunaikan hajat isterinya.
Mohammad Zuhelmy Ibrahim, 26 yang merupakan seorang posmen menulis nota berkenaan memandangkan pemilik buah berkenaan tiada di rumah. Namun siapa sangka, nota kecil tersebut tular di twitter bilamana anak pemilik buah berkenaan berkongsi nota tersebut di twitter.

“Salam tuan rumah, pos laju ni, boleh saya minta buah mangga? Esok saya datang ambil, isteri mengandung!” demikian catatan Mohammad Zuhelmy kepada pemilik rumah di Taman Kinrara, Puchong.

Mohammad Zuhelmy, menulis catatan itu di atas bungkusan barangan penerima berkenaan pada Selasa lalu dengan harapan dapat menunaikan hajat isterinya, Afrah Wan Sulaiman, 27, yang kini hamil tujuh bulan dan mengidam buah mangga.

Percubaan Mohammad Zuhelmy itu berhasil apabila menerima nota balasan daripada pemilik rumah menyatakan sudah memetik dan meninggalkan buah diinginkan di dalam plastik di atas rak kasut.
Berkongsi kisah sebenar, Mohammad Zuhelmy berkata, hujung minggu lalu, isterinya menyatakan hasrat untuk memakan mangga segar selepas terlihat pokok buah berkenaan di sebuah kawasan di Puchong.

Mohammad Zuhelmy berkata, isterinya pula enggan mangga dibeli di kedai sebaliknya mahu yang dipetik segar daripada pokok.


Demi menunaikan permintaan isterinya yang hamil anak sulung mereka, Mohammad Zuhelmy menyatakan dia akan cuba mendapatkan buah itu dalam waktu terdekat.

“Kebetulan, saya pernah ternampak pokok mangga di rumah salah seorang pelanggan kerana kerap menghantar bungkusan barangan di situ.

“Namun, kebiasaannya, tuan rumah sekeluarga tiada di rumah ketika saya membuat penghantaran jadi pada hari itu, saya tulis pada bungkusan barangan yang ditinggalkan di atas rak kasut sebelum beredar.
“Keesokannya, saya hantar barangan di rumah sama dan terlihat satu nota dilekatkan di hadapan peti surat bertulis buah diinginkan sudah siap dipetik dan boleh diambil. Kemudian, saya pergi lihat dan ada enam biji mangga diletakkan di dalam plastik,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Mohammad Zuhelmy berkata, dia hanya berkongsi kisah itu menerusi status di aplikasi WhatsApp pada hari yang sama.

Tanpa disedarinya, anak kepada pemilik rumah berkenaan turut berkongsi kisah sama di Twitter hingga ia tular selepas menjadi bualan warganet di laman sosial.

“Saya tidak aktif di Twitter dan hanya tahu kisah itu sudah tular selepas diberitahu rakan. Selepas dapat tahu, saya cuba cari ciapan berkenaan untuk ucapkan terima kasih.

“Sepanjang dua tahun bertugas sebagai posmen di kawasan itu, saya pernah berjumpa sekali saja dengan tuan rumah berkenaan dan berasa berbesar hati kerana dia memahami dan sudi menunaikan hajat isteri saya.

“Jika berpeluang, saya mahu bertemu sendiri dengannya selepas ini untuk mengucapkan terima kasih,” katanya yang menetap di Bandar Tun Razak, Cheras, di sini.
Sementara itu, Afrah yang bekerja sebagai pembantu akauntan ketika dihubungi berkata, dia amat gembira selepas suaminya membawa pulang mangga yang diidamkan.

“Gembira sangat kerana dapat makan buah segar petik dari pokok kerana sebelum ini rasanya biasa saja sebab beli di kedai.

“Saya berterima kasih sangat kepada tuan rumah yang baik budi sedekahkan mangga kepada saya.

“Jarang jumpa tuan rumah yang berhati mulia macam mereka sekeluarga. Semoga tuan rumah sekeluarga dikurniakan rezeki yang melimpah ruah,” katanya yang dijangka melahirkan cahaya mata November depan.