Ada beberapa sebab seseorang itu ada halangan dan tidak dapat mengganti puasanya dan dia sebenarnya perlu membayar fidyah. Jadi persoalannya, boleh ke seseorang itu membayar fidyah kepada ahli keluarga sendiri yang dilihat miskin dan susah hidupnya?
Nak tahu boleh atau tidak, jom kita baca perkongsian daripada Ustazah Asma’ Harun tentang itu. Diharapkan dapatlah dijadikan panduan kepada anda atau keluarga anda tentang pembayaran fidyah ini.
Ini perkongsiannya.
MELUNASKAN FIDYAH KEPADA AHLI KELUARGA: BOLEH ATAU TIDAK?
Ustazah, saya dikehendaki membayar fidyah kerana hamil dan risaukan kandungan.
Di manakah saya perlu berurusan untuk menjelaskan fidyah tersebut? Bolehkah saya membayar kepada keluarga terdekat memandangkan mereka susah?
JAWAPAN:
Fidyah hanya boleh dilunaskan kepada golongan fakir miskin sahaja. Firman Allah SWT:
وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ
Maksudnya: “Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin”
(Surah al-Baqarah: 184)
Abdullah bin Abbas menyebutkan dalam satu riwayat:
وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ. قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: لَيْسَتْ بِمَنْسُوخَةٍ،هُوَ الشَّيْخُ الْكَبِيرُ وَالْمَرْأَةُ الْكَبِيرَةُ لَا يَسْتَطِعَانِ أَنْ يَصُومَا فَيُطْعِمَانِ مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا
Maksudnya: “Dan wajib ke atas orang yang tidak terdaya untuk berpuasa memberi makan kepada orang miskin”. Kata Ibnu Abbas, “Ayat ini tidak dimansuhkan. Mereka (yang tidak terdaya) adalah orang tua lelaki dan perempuan yang tidak mampu berpuasa, maka hendaklah mereka memberi makan seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan.”
Dijelaskan dalam Kitab Tuhfah al-Muhtaj:
(وَمَصْرَفُ الْفِدْيَةِ الْفُقَرَاءُ وَالْمَسَاكِينُ) دُونَ بَقِيّةَ الأَصْنَافِ لِقَوْلِهِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى : طَعَامُ مِسْكِينٍ [البقرة: 184] وَهُوَ شَامِلٌ لِلْفَقِيرُ أَسْوَأُ حَالًا مِنْهُ فَيَكٌونُ أَوْلَى.
Maksudnya: “Saluran fidyah adalah kepada fakir miskin, bukan untuk asnaf yang lain, sebagaimana firman-Nya, ‘Sebagai makanan orang miskin’. Perkataan miskin ini turut merangkumi golongan fakir, atau orang fakir yang lebih teruk keadaannya berbanding orang miskin, maka orang fakir lebih utama lagi (untuk diberikan fidyah).”
Fidyah adalah hak golongan fakir miskin sahaja. Ia tidak boleh disalurkan kepada orang lain walaupun mereka termasuk dalam kalangan asnaf zakat.
Hukum pengagihan fidyah, adalah berdasarkan hukum pengagihan zakat, kaffarah dan nazar umum. Maka, seseorang itu tidak boleh membayar fidyah kepada orang yang di bawah tanggungannya.
Di dalam al-Fiqh al-Manhaji menyatakan:
“Sesungguhnya sesiapa yang diwajibkan ke atasnya membayar zakat, tidak sah sekiranya ia menunaikan zakat dengan memberikan zakat kepada sesiapa yang di bawah tanggungan nafkahnya. Sama ada ia daripada isteri, usul (ibu, ayah dan ke atas) dan furu’nya (anak-anak dan ke bawah) walaupun keadaan mereka itu fakir atau miskin.”
Di dalam Kitab al-Muhazzab li al-Syirazi karangan Imam al-Syirazi, beliau menyatakan:
“Tidak diharuskan seseorang itu untuk membayar kepada kaum kerabat dan isterinya yang berada di bawah tanggungan nafkahnya. Ini kerana mereka tidak memerlukan kepadanya (zakat) dan mereka mendapatkan keperluan itu daripada nafkah yang wajib diberikan kepada mereka.”
RUMUSAN:
Wallahua’lam.
Semoga bermanfaat buat semua.
Sumber : Ustazah Asma’ Harun
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club