“Boleh Ke Kalau Suka-suka Tak Nak Ikut Faraid?”-Peguam Syarie Ni Kongsi 3 Situasi, Agar Lebih Mudah Faham Nak Bahagi Harta!

Share

Menyentuh tentang bab pembahagian harta pusaka, tidak dinafikan kebanyakan waris tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang ilmu faraid. Ada yang sepakat melantik abang atau kakak sulong sebagai pentadbir. Tetapi ada juga  yang menggunakan kuasa ‘veto’ melantik dirinya sebagai pentadbir untuk tujuan tertentu.

Tanpa ilmu yang mencukupi, pentadbir membahagikan secara sesuka hati. Lebih memburukkan keadaan, pentadbir pula mengisytiharkan dirinya berhak ke atas semua harta pusaka selagi belum dibuat pembahagian.

Malah macam-macam lagi situasi boleh berlaku dan salah satunya sepertimana yang dikongsikan oleh Peguam Roslina Sabiyah di akaun fbnya bila ada yang bertanya berkenaan faraid di mana ada sebuah keluarga yang terdiri daripada 5 beradik, iaitu 2 lelaki dan 3 perempuan. Masa pembahagian pusaka, semua adik-beradik perempuan setuju nak bahagi secara sama rata dan tak nak ikut faraid.

Pun begitu timbul persoalan daripada salah seorang adik beradik tersebut, dengan mengutarakan soalan; “Boleh ke kalau suka-suka tak nak ikut faraid? Kalau saya tak setuju macamana? Apakah kaedah pembahagian yang sepatutnya dalam situasi ini?”

Jawapan pada permasalahan tersebut dijawab dengan jelas olehnya dan bersama kita fahamkan situasi tersebut untuk info bersama.

Jawapan :
Sebaik sahaja seseorang meninggal dunia hartanya automatik akan menjadi harta pusaka dan harta pusaka adalah tertakluk kepada hukum faraid. Proses faraid telah pun bermula dan berjalan sebaik sahaja si mati telah meninggal dunia.

Faraid maksudnya ketetapan dan ia adalah ilmu tentang kaedah pembahagian harta pusaka yang menetapkan siapakah waris yang layak dan berapakah bahagian yang diperolehi setiap seorang secara khusus.

Selain membahagikan harta pusaka mengikut bahagian yang telah ditetapkan dalam faraid, waris juga boleh membahagikan harta secara muafakat atau persetujuan. Kaedah ini dinamakan takharruj. Dalil takharruj adalah di dalam Surah al-Nisa’ ayat 128:

فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَنْ يُصْلِحَا بَيْنَهُمَا صُلْحًا ۚ وَالصُّلْحُ خَيْرٌ
Yang bermaksud: “maka tiadalah salah bagi mereka membuat perdamaian (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik.”

Sebelum melakukan takharruj iaitu melepaskan hak faraid secara sebahagian atau sepenuhnya, beberapa syarat mesti dipenuhi antaranya perlulah dipersetujui oleh semua waris2 yang lain dan waris2 hendaklah terlebih dahulu mengetahui berapa bahagian faraid mereka yang sebenar sebelum melepaskan hak mereka. Namun sekiranya waris-waris tidak sepakat dan tiada persetujuan yang dicapai, maka kaedah asal pembahagian secara faraid akan terpakai.

Dalam kes di atas saya simpulkan beberapa situasi :
Situasi 1 – Kesemua 5 adik-beradik (2 lelaki dan 3 perempuan) bersetuju untuk membahagikan harta secara samarata. Dalam kes ini, 2 anak lelaki tersebut yang bersetuju untuk takharruj melepaskan sebahagian bahagian faraid mereka kepada anak perempuan (kerana bahagian anak lelaki adalah 2 manakala anak perempuan adalah 1). Kaedah pembahagian adalah secara muafakat iaitu semua waris dapat samarata.

Situasi 2 – 3 adik-beradik perempuan dan seorang anak lelaki ingin harta pusaka dibahagi samarata manakala seorang anak lelaki tidak setuju. Maka seorang anak lelaki yang tidak setuju untuk takharruj hendaklah diberikan bahagian faraidnya terlebih dahulu (2 bahagian) dan bakinya setelah ditolak bahagian anak tersebut barulah boleh dibahagi secara samarata antara 3 anak perempuan dan seorang anak lelaki. Kaedah ini juga dinamakan muafakat iaitu sebahagian difaraid dan bakinya dibahagi samarata.

Situasi 3– 3 adik-beradik perempuan nak bahagian samarata tetapi 2 anak lelaki nak bahagian faraid. Maka dalam situasi ini, 2 anak lelaki tersebut tidak bersetuju untuk takharruj atau melepaskan bahagian mereka maka kaedah asal pembahagian secara faraid hendaklah terpakai. Kaedah pembahagian adalah secara faraid (anak lelaki 2 bahagian anak perempuan 1 bahagian).

Dalam pembahagian harta pusaka tiada istilah majoriti. Tidak ada sesiapa yang boleh dipaksa untuk melepaskan bahagiannya di dalam faraid. Kaedah pembahagian secara muafakat adalah yang terbaik jika dapat dilaksanakan tetapi sekiranya tiada persetujuan yang dicapai maka kaedah pembahagian secara faraid adalah jawapan dan penyelesaian terakhir kepada masalah yang menjadi pertikaian.

Biar tahu jangan keliru.

Sumber : Roslina Sabiyah & Co.

 

ARTIKEL MENARIK: Susah Sangat Nak Simpan Duit? Wanita Ni Kongsi Cara Menarik Menabung 52 Minggu!

LAGI ARTIKEL MENARIK :“Rumah Persaraan Sebaiknya Kecil & Setingkat Sahaja”-Dr Azizul Azli Jelaskan Cara Nak Persiapkan Rumah Persaraan!

Jom turut serta bersama e-keluargagader Bonding Day #dirumahaje secara virtual!
Bukan sahaja dapat eratkan hubungan dengan keluarga tersayang, tapi boleh lakukan aktiviti yang menceriakan bersama-sama. Hadiah menarik menanti anda sekeluarga!

Yuran hanya RM30.00 sahaja terhad untuk 50 famili sahaja. Satu famili 2 dewasa 2 kanak-kanak. Jadi, tunggu apa lagi? Jom daftar segera di sini: http://www.wasap.my/60169647520

Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club