Bisnes Tak Laku, Rumah 4 Bulan Tertunggak. Pasangan Ini Terpaksa Jual Kereta Kancil Sebagai Ikhtihar Terakhir

Share

Sepasang suami isteri tekad untuk menjual sebuah kenderaan yang merupakan pengangkutan utama keluarganya kerana berdepan dengan masalah kewangan yang rumit dan demi meneruskan kelangsungan hidup.

Ini merupakan ikhtihar terakhir bagi mereka demi untuk menyelamatkan tempat tinggal mereka yang sudah 3 bulan tertunggak. 

“Bayaran rumah sewa sebanyak RM400 sebulan sudah tertunggak tiga bulan. Itu belum lagi nak menampung makan minum kami sekeluarga.

Menurut isteri pasangan berkenaan, Safiyah Abdullah bahawa kereta Kancil terpakai itu dibeli pada 2021 untuk kegunaan berniaga dan menghantar anak-anak ke sekolah.

Walaupun berat hati untuk melepaskan kereta yang banyak membantu mereka sekeluarga dalam mencari rezeki, namun wanita berusia 30 tahun ini bersama suaminya terpaksa melepaskannya.

“Saya dan suami berniaga asam pedas tetal sejak 1 Ramadan lalu, tapi tak balik modal. Ada hari hanya terjual sebungkus RM5 sahaja.” 

Perniagaannya hanya bertahan selama enam hari, Safiyah terpaksa akur bisnes berkenaan lebih mendatangkan kerugian sekali gus menjejaskan sumber pendapatan mereka.

“Sebelum ni okay, tapi masuk bulan puasa bisnes makin ‘sakit’. Mungkin antara sebab adalah gerai kami di Duyong Bestari, Melaka terlalu dekat dengan bazar Ramadan, jadi orang ramai lebih tertumpu ke sana membeli juadah.

“Kami pula tak mampu nak sewa tapak bazar. Jadi berniaga apa yang boleh, tapi kami struggle nak bayar tunggakan sewa rumah dan tanggung anak-anak.

“Itu sebab kami buat video di TikTok untuk cuba jual kereta kancil tu pada harga RM3,000,” ujarnya yang mempunyai 5 orang anak.

Selain masalah tunggakan sewa rumah dan sara hidup keluarga, dia yang menetap di Melaka Tengah, Melaka itu juga perlu menanggung kos penjagaan anak bongsunya yang berusia dua tahun kerana menghidap laryngomalacia yang berkaitan dengan masalah saluran pernafasan.

“Kami lebih risau hilang tempat tinggal. Kat mana kami sekeluarga nanti? Itu belum lagi  kos ulang-alik bawa anak ke hospital setiap minggu selain cari duit untuk baiki seandainya kereta tu rosak lagi.

Apabila ditanya mengenai bantuan kewangan daripada NGo ataupun zakat, wanita ini memaklumkan bahawa dia cuba ikhtihar sedaya-upaya sebelum mendapatkannya. 

“Bukan tak pernah terfikir nak mohon bantuan zakat atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Tapi kami rasa masih mampu berusaha dan berikhtiar sedaya-upaya.

“Bantuan kewangan tu seeloknya untuk mereka yang lebih susah, fakir miskin. Buat apa ambil hak orang, jadi kami ikhtiar dengan jual kereta untuk selesaikan segala hutang yang ada,” ujarnya lagi.

Kisah Safiyah dan keluarganya ini yang tular di media sosial telah mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang kemudiannya segera membuat lawatan bersama JKM dan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) ke rumah keluarga tersebut, pada Isnin lalu.

“Hasil perbincangan Safiyah tak pernah mohon JKM dan Maim untuk bantuan yang berkala. Kita tunggu Safiyah lengkapkan borang untuk hantar kepada JKM dan Maim.

“Untuk rekod juga, Maim sebenarnya banyak kali dah bantu Safiyah dalam bentuk one-off (sekali) yang mana dia datang apabila mengadu masalah dan Maim bantu secara tunai.

“Jadi, untuk langkah seterusnya kita perlukan dokumen-dokumen daripada Safiyah untuk kita bantu dari segi bantuan lain.

Pasangan ini turut mengatakan bahawa, mereka tidak menyangka kisah mereka mendapat perhatian ramai di media sosial.

“Alhamdulillah syukur. Kami juga mencuba nasib, kembali berniaga nasi goreng ayam kunyit dengan menu rahmah berharga RM5 sebungkus.

“Buat masa ini, kami buka tempahan dan kebanyakan pelanggan melakukannya untuk infaq Ramadan, sama ada disumbangkan ke masjid, rumah anak-anak yatim atau orang awam.

“Jika ada permintaan, kami akan menjual di gerai seperti biasa. Terima kasih kerana ramai yang prihatin dan teruskan mendoakan kami,” katanya.

[TIPS]

Nak macam-macam info? Sila subscribe channel Telegram KELUARGA  dan join keluargagader club