Sedikit nasihat rumahtangga dan panduan dari Al-Quran dan Sunnah. Semoga bermanfaat untuk yang telah bernikah dan bakal bernikah ataupun tak mahu bernikah.
Perkataan yang jangan mudah dilafazkan dalam rumahtangga oleh suami kepada si isteri;
1. “Kamu derhaka”
2. “Kamu nusyuz”
3. “Saya ceraikan kamu”
.
Perkataan yang jangan mudah dilafaz oleh si isteri kepada suami kerana ramai wanita ke neraka kerana kufur kepada suami (tidak mensyukuri nikmat pemberian suami) dengan kata-kata seperti;
1. “Awak TAK PERNAH BELI benda untuk saya”
2. “Awak TAK PERNAH BUAT untuk saya”
3. “Awal SELALU MACAM INI”
4. “Saya nak minta cerai dari awak”
Suami sebagai nakhoda kapal perlu tenang memandu kapal dan anak kapal ke destinasi. Kejayaan besar bagi iblis ialah berjaya memisahkan suami dan isteri.
Akad nikah itu ‘transfer of responsibility’ dari si ayah perempuan kepada si lelaki yang bakal bergelar suami. Bukan keseronokan malam pertama yang perlu dibayangkan tetapi malam pertama di alam kubur dan di padang mahsyar andai gagal mengemudi nakhoda sesuai dengan tuntutan agama.
Renungkan Surah An-Nisa 4 ayat pertama yang sering dibaca dalam khutbah nikah;
“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai.”
1) “Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya,”
2) “serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat;”
3) “kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”
Bagaimana dengan Nusyuz? Nusyuz sahaja terus cerai ke? Tidak!
Nusyuz sekalipun ada tatatertib yang telah digariskan dalam islam bukannya terus melafazkan cerai begitu. Dalam surah an-Nisa 4 ayat 34;
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”
“Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya.”
1) “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka,”
2) “dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur,”
3) “dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).”
4) “Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka.”
“Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.”
Andai selepas dinasihati tetap ingkar, maka Allah perintahkan lelaki untuk bersabar dalam surah an-Nisa 4 ayat 19, kalau LELAKI tak mampu nak bersabar, maka ceraikan dengan cara baik bukan bertujuan menyusahkan mereka.
“Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya,”
1) “janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).”
Nabi Sallalahu Alaihi Wasalam bersabda;
“Janganlah seorang Mukmin membenci istrinya yang mukminah. Jika membenci satu perangai darinya, ia menyukai perangai lain (yang baik) darinya.”
(HR Muslim No 1469)
Didoakan kepada semua pasangan dan bakal pasangan berbahagia dan carilah ilmu rumahtangga dari Al-Quran & Sunnah dan jadikannya panduan dalam kehidupan.
sumber : Firdaus Wong Wai Hung