Sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan, sudah tentu antara kita kerap menjamah hidangan. Namun dalam tempoh ini janga lupa menjaga kesihatan diri supaya badan kekal sihat.
Sebagaimana perkongsian Doktor Zubaidi Hj Ahmad yang menyentuh mengenai kepentingan menjaga kesihatan usus agar nutrien penting mudah diserap daripada makanan yang kita makan.
Ikuti perkongsian ini.
KEKALKAN USUS SIHAT
.
Tahukah anda usus kita terutama usus besar penuh dengan bakteria dan organisma lain? Beberapa bakteria berkenaan sebenarnya sangat penting untuk kesejahteraan kita.
.
Kajian terkini menunjukkan mengekalkan usus yang sihat membantu memastikan nutrien penting diserap daripada makanan yang kita makan. Usus sihat juga menjamin sistem imun yang sihat dan mencegah beberapa penyakit serius seperti kanser kolon.
.
Kebanyakan orang sekali-sekala mengalami masalah penghadaman kecil seperti sembelit, cirit-birit dan kembung atau keadaan yang lebih serius seperti gastritis dan kesakitan abdomen yang berkaitan dengan ulser peptik. Namun begitu, penting untuk memberi perhatian kepada sebarang tanda atau simptom berkaitan masalah usus seperti pendarahan, kesakitan dan sebarang kesukaran atau perubahan corak pembuangan air besar serta penurunan berat badan.
.
Dapatkan rawatan awal walaupun sesetengah tanda atau simptom boleh dirawat tanpa penggunaan ubat-ubatan atau rawatan. Jangan abaikan masalah ini dan membiarkannya melarat.
.
Gaya hidup dan tabiat makan boleh menjejaskan kesihatan sistem penghadaman anda. Ada enam langkah mudah yang anda boleh lakukan setiap hari untuk menjaga kesihatan usus:
.
1. Makan lebih serat
.
Anda perlu mengambil lebih banyak makanan yang kaya dengan serat. Kehadiran serat membantu melembutkan najis dan mencegah sembelit serta mengurangkan simptom beberapa gangguan penghadaman contohnya, buasir dan sindrom iritasi usus.
Untuk mengekalkan usus yang sihat, anda memerlukan serat daripada pelbagai jenis sumber makanan seperti roti mil penuh, beras perang, buah-buahan dan sayur-sayuran, kekacang dan oat.
Panduan Diet Malaysia menyarankan kita mengambil sekurang-kurangnya 25 gram serat setiap hari. Separuh daripada bijian yang diambil haruslah terdiri daripada bijirin penuh. Anda digalak meningkatkan pengambilan serat secara beransur-ansur untuk mencegah masalah kembung dan ketidakselesaan perut terutama jika anda tidak biasa dengan pengambilan makanan tinggi serat.
.
2. Banyak minum air
.
Air membantu melembutkan najis dan menggalakkan peredaran melalui sistem penghadaman anda. Serat bertindak seperti span dan menyerap air. Tanpa cecair, serat tidak boleh melakukan tugasnya dan akan menyebabkan sembelit. Air juga memberi faedah kesihatan lain – tiada kalori! Secara purata, anda harus mengambil sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari (kira-kira dua liter) dan pada bila-bila masa apabila anda rasa dahaga!
.
3. Hadkan pengambilan kafein
.
Minuman yang mengandungi kafein seperti kopi, kola dan minuman ringan boleh meningkatkan asid di dalam perut, seterusnya menyebabkan pedih ulu hati bagi sesetengah orang. Jika anda tidak boleh berhenti minum kopi atau teh, hadkan pengambilan kepada satu atau dua cawan sehari.
.
4. Dapatkan pro dan prebiotik secukupnya
.
Terdapat ribuan bakteria yang hidup di dalam usus anda. Sesetengahnya bakteria baik yang memberi faedah kepada kesihatan dan pada masa sama usus kita juga ada bakteria yang memudaratkan. Mengekalkan keseimbangan bakteria baik dan bakteria tidak baik adalah penting.
Bagaimanakah anda boleh mencapai keseimbangan ini? Salah satu cara mudah dengan mengambil makanan yang kaya dengan probiotik (yang mengandungi bakteria baik) dan juga mengambil prebiotik (‘makanan’ untuk bakteria baik) secukupnya.
Probiotik yang juga dipanggil ‘bakteria baik’ terdapat secara semula jadi di dalam usus dan dalam beberapa jenis makanan seperti yogurt, minuman susu berkultur, keju dan tempe.
Prebiotik ialah bahan yang menggalak pertumbuhan atau aktiviti mikro organisma seperti probiotik yang menyumbang kepada kesihatan usus. Prebiotik terdapat dalam makanan yang tinggi serat seperti pisang, bijirin penuh dan beberapa jenis sayuran (lik dan bawang).
Sesetengah produk komersial mengandungi serat khas yang dipanggil inulin dan oligofruktosa (frukto-oligosakarida) yang juga prebiotik.
.
5. Makan diet berkhasiat yang rendah lemak
.
Makanan berlemak tinggi seperti makanan bergoreng, burger, sosej dan hidangan berminyak melambatkan penghadaman dan boleh menyebabkan sakit perut serta pedih ulu hati. Beberapa kajian juga menunjukkan pengambilan lemak yang tinggi juga boleh mempengaruhi komposisi bakteria usus.
.
6. Banyak bersenam
.
Hadkan aktiviti sedentari seperti bermain permainan komputer atau menonton televisyen. Sebaliknya lakukan lebih banyak aktiviti fizikal seperti berjalan, berlari atau menari. Sebarang senaman yang meningkatkan kadar pernafasan dan denyutan jantung juga memberi faedah kepada penghadaman anda. Ini merangsang otot usus, sekali gus menyebabkan makanan diedarkan dengan lebih cekap melalui usus anda.
.
Pastikan anda memupuk tabiat membuang air besar yang baik seperti pergi ke tandas sekali sehari dan elakkan daripada menahan keinginan untuk membuang air besar. Satu lagi tabiat yang perlu dipupuk adalah mendapatkan saringan kesihatan tetap untuk mengesan sebarang masalah seawal mungkin. Mengabaikan kesihatan usus anda boleh mengakibatkan masalah yang serius.
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad
#HealthDrZubaidi