Orang kata bila umur 40 tahun, inilah kemuncak kehidupan dan dikatakan cukup istimewa. Malah tidak kurang juga yang menyifatkan life begins at 40, di mana angka tersebut bagai pintu gerbang yang membawa seseorang untuk terus melangkah ke satu fasa baru kehidupan.
Pun begitu usah lupa, semakin meningkat umur itu bermakna semakin singkat jua usia kita di dunia ini. Lantaran itu, selagi masih dipinjamkan masa, kudrat dan usia yang bersisa, sebaiknya rebutlah untuk lakukan yang terbaik dan bermakna dalam hidup.
Begitu juga dalam hubungan dengan suami isteri. Bertahun-tahun hidup bersama, teruslah mencipta kenangan terindah.
Ini sebagaimana perkongsian daripada Khairul Anuar Basri, seorang suami ini yang mengakui bila umurnya mencecah 40 tahun ada berlaku perubahan dalam dirinya. Bolehlah jadikan panduan untuk kebaikan bersama.
Ini perkongsiannya.
Bila umur dah cecah 40 tahun, saya rasa macam nak lebih masa bersama isteri. Perasaan tu selalu datang membuak-buak.
Kalau boleh, ke mana saja nak isteri temankan. Kalau boleh, tak nak berenggang walau sesaat. Kalau boleh asyik nak berkepit saja macam belangkas.
Sebab tu saya sentiasa berfikir apa lagi masa yang boleh dicipta untuk lebih masa bersama isteri saya.
Yelah, kalau sebelum ni masing-masing sibuk. Saya dengan kerja saya. Dia dengan kerja dia. Keluar rumah pagi-pagi, balik rumah dah lewat petang. Malam-malam dah penat.
Tak best la hidup macam tu. Sebelum kahwin bukan main ada banyak masa untuk bersama. Jumpa, tulis surat (zaman kami bercinta dulu la) call, mesej (again, zaman tu belum ada whatsapp) dan emel (hahaha.. ini saya rasa kelakar).
Tapi lepas kahwin, dah macam takde dah masa berdua. Asyik sibuk aje memanjang. Mungkin dah take for granted kot. Atau mungkin tak pernah nak muhasabah situasi demikian.
Jadi sekarang ni, saya suka sangat kalau boleh buat lebih banyak aktiviti berdua. Nak pergi urusan bank ajak isteri. Nak pergi beli stok dapur ajak isteri. Nak pergi buat aktiviti personal pun kadang-kadang rasa nak ajak isteri temankan.
Pagi-pagi hari minggu, pergi masjid solat Subuh dengan isteri. Lepas tu terus morning walk dengan isteri. Then sambung sarapan kat kedai dengan isteri.
Petang-petang atau awal malam sengaja tak minta isteri masak supaya boleh keluar makan kat kedai dengan isteri.
Ads
Kalau ada program tak kira dekat atau jauh, mesti nak ajak isteri ikut sekali. Bukan nak buat jadi driver pun. Nak suruh duduk diam-diam kat tepi tu je. Nak biar dia ada di sisi setiap masa.
Anak-anak pun dah meningkat remaja. Dah pandai jaga diri masing-masing. Kalau nak tinggal je kat rumah, takde la risau apa. Lagi best kalau diorang sendiri yang offer taknak ikut. Senang la kita nak berdating berdua aje.
Bila berdua dengan isteri ni, rasa terganti masa yang dah banyak terhutang sebelum ni. Yelah, sebagai suami, kena fikir macamana nak ganti balik hak masa yang pernah kita cuaikan. Walaupun bukan sengaja, hak isteri tetap hak. Tak boleh nak ambil mudah.
Masa berdua dalam kereta sepanjang perjalanan, banyak la topik boleh sembang. Most of the time, isteri la akan sembang lebih dari saya. Saya anggukkan saja dan sekali sekala membalas bagi pandangan saya pulak.
Macam-macam topik akan keluar. Topik kerja sebagai guru. Topik hal ehwal rumahtangga sebagai isteri. Topik pendidikan anak-anak sebagai ibu bapa. Topik-topik sosial yang santai sebagai manusia dan anggota masyarakat.
Best la macam tu. Tambah pulak orang perempuan ni, itulah masanya kalau dia nak luahkan apa saja. Terapi jiwa orang cakap. Betul tak?
Sebab tu kalau kat rumah, jangan marah kalau isteri kuat berleter. Dia bukan nak berleter sangat. Tapi dia nak luahkan apa yang terbuku dalam jiwa dia saja. Bila dah terluah, isteri akan rasa lega.
Ads
Maka sebagai suami yang baik, dengarkan aje la. Jangan menjawab. Jangan melawan. Jangan menyanggah. Itu tanda sayang kita pada isteri kita.
Bila berjalan ke sana ke sini dengan isteri, isteri akan rasa happy. Bila jumpa tempat makan yang best-best, berhenti makan. Nak lagi best, selalu minta pendapat isteri nak makan apa pulak lagi. Mesti wajah isteri akan jadi berseri-seri.
Bila masuk waktu solat, segera cari masjid atau surau dan berhenti untuk solat. Kadang-kadang, berhenti di masjid dan surau yang berlainan warna dan bentuk ni pun boleh jadi terapi jugak. Seronok dapat tengok macam-macam kepelbagaian.
Isteri di sisi suami ni suatu kesempurnaan. Saya tak tahu la kalau orang perempuan macamana. Tapi bagi orang lelaki, bila isteri ada di sisi, takde apa yang nak dirisaukan dah. Segala keperluan dan kelengkapan yang kita perlukan ditanggung beres. Almaklum sajalah, orang lelaki ni kan pelupa.
Sebab tu saya kadang-kadang terfikir la jugak. Kalau isteri meninggal dulu dari saya, macamana la hidup saya. Susah agaknya nanti. Sebab segala benda macam saya banyak bergantung dengan isteri. Terutamanya hal ehwal menguruskan rumah, diri sendiri dan anak-anak.
Itu yang ada suami atau isteri, bila pasangan masing-masing meninggal, mereka takleh nak move on dengan mudah. Mesti terkesan jugak. Ambil masa yang sangat lama untuk terima hakikat bahawa the other half dah pun tiada di depan mata.
Macam mimpi rasanya. Terngiang-terngiang di telinga nama dipanggil. Terbayang-bayang di mata mata kelibat pasangan yang dah tiada.
Lebih teruk tu sampai jatuh sakit dan menyusul menghadap Ilahi tak lama selepas tu. Aduuhhhh… sedihnya la.
Jadi, saya taknak dah masa tersisa ni berlalu begitu saja tanpa isteri di sisi. Kalau takde yang kebetulan, saya saja reka supaya dapat bersama isteri.
Macam semalam ke Segamat, kami pergi berdua je. 2 jam perjalanan, dengar isteri cerita macam-macam. Sampai Segamat, isteri temankan dan ikut sekali dalam program.
Ads
Lepas tu makan tengahari, isteri ada kat sisi. Lepas tu bertolak ke Muar, isteri sambung cerita tak henti-henti.
Sampai Muar, cari masjid nak solat sama-sama. Habis solat, cari kedai makan nak makan sama-sama.
Setel di Muar, tuju ke Melaka untuk balik KL. Sampai di Melaka, sedang elok dah masuk waktu Maghrib. Cari pulak masjid mana nak berhenti. Kemudian berhenti dan terus solat.
Habis solat, teruskan perjalanan balik ke KL. Sambung borak lagi sampai akhirnya saya sorang aje la yang hidup. Isteri dah masuk ke alam mimpi.
Masa drive, sekali-sekala capai tangan isteri. Genggam erat-erat. Usap-usap dan urut-urut manja. Pasti akan timbul lebih kemesraan. Pasti akan timbul rasa sayang, jauh di lubuk hati yang paling dalam.
Sambil-sambil drive, saya toleh sekali sekala tengok wajah isteri yang sedang tidur. Wajah penat tapi happy. Wajah inilah yang saya damba suatu ketika dahulu. Wajah inilah yang saya tengok setiap hari. Wajah inilah yang akan saya rindui suatu masa nanti.
Para suami sekalian, manfaat setiap saat untuk bersama-sama dengan isteri kalian. Cipta lebih banyak masa untuk berdua-duaan.
Kita pun tak tahu berapa panjang lagi masa yang kita ada. Entah esok, entah lusa, sama ada kita yang pergi dulu atau isteri kita yang pergi dulu. Yang pasti, mati itu pasti. Tidak cepat atau lambat walau sedetik pun.
Masa sekarang ni, mungkin kita ambil mudah. Kita tak rasa sangat masa berdua dengan isteri tu penting dan perlu. Bila isteri dah takde suatu hari nanti, moment-moment berdua ni la yang akan selalu berada dalam fikiran kita.
Adik beradik adalah anugerah yang begitu bermakna, mereka ibarat harta berharga dalam hidup kita. Bahkan istimewanya bila bercerita tentang kasih sayang antara adik beradik, ianya tidak mungkin pudar. Biarlah apa keadaan sekali pun, baik atau buruk adik beradik mereka tetap istimewa di hati kita. Tiada galang gantinya!
Begitulah juga yang cuba dizahirkan oleh seroang kakak ini terhadap adik istimewanya yang dijaga selepas pemergian ibu tercinta ke negeri abadi.
Kasih sayang Saiyidatul Syahirah Jasney terhadap adiknya, Saiyidah Fatimah Nabihah cukup mendalam kerana tidak hanya menjaga amanah arwah ibu, bahkan wanita berusia 32 tahun itu juga memberi peluang kepada adik untuk hidup berdikari dengan membukakan Kedai Seringgit untuk adiknya.
Idea Kedai Seringgit Tarik Perhatian
Perkongsiannya baru-baru ini di group Autisme Malaysia, benar-benar mencuri perhatian dan komen bertalu-talu daripada ibubapa yang ada di dalam group tersebut. Rata-rata begitu terinspirasi untuk mendidik anak-anak autisme mereka agar turut belajar berniaga dengan kaedah yang dikongsiknnya.
“Sangat terkejut apabila begitu banyak maklum balas positif diterima terutama daripada ibu bapa dengan rata-ratanya mengatakan idea diketengahkan sangat menarik dan sesuai bantu anak istimewa belajar berdikari.
“Diharap, adik dapat gunakan kemahiran diajar itu sepanjang hayatnya dan terus berdikari walaupun selepas saya sudah tiada nanti.
“Ia kerana salah satu tujuan saya bawa adik menceburi bidang perniagaan adalah supaya dia lebih terbuka dan tidak mengehadkan cara berfikir walaupun dia dilahirkan istimewa,” katanya.
Jana Pendapatan Sendiri
Difahamkan Kedai Seringgit yang dibuka di Kampung Bebuloh Laut ini dibuka di halaman rumah dan mula beroperasi sejak 10 Jun lalu.
Menurut Saiyidatul Syahirah, sebagaimana memetik berita Harian Metro, idea itu tercetus selepas melihat adik bongsunya, seorang autisme, obses dengan gajet ketika mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Enggan membiarkan adiknya terus leka, Saiyidatul Syahirah berusaha bantu dengan membuka perniagaan menjual makanan ringan, pizza burger dan aiskrim bagi mengajar adiknya menjana pendapatan sendiri.
“Sebelum ni adik saya bersekolah di madrasah tahfiz dan tinggal di asrama sebelum mengikuti sesi PdPR di rumah ketika pandemik.
“Pada waktu itu, nampak minat adik terhadap seni doodle dan sebab itu belikannya ‘chromebook’ sebagai tanda sokongan.
“Bagaimanapun, itu hanya aktiviti sampingannya dan kerana itu saya buka Kedai Seringgit bagi membolehkan adik bekerja tanpa tekanan.
“Nama Kedai Seringgit itu diberi kerana adik autisme, cepat keliru dan mudah lupa. Jadi, saya letak nama mudah ingat bersesuaian dengan barangan jualan yang semuanya dijual pada harga RM1 saja,” ceritanya panjang lebar.
Perkenal Cara Rekod Jualan Mudah
Bagi melancarkan urusan perniagaan Saiyidatul Syahirah menyediakan rekod jualan mudah yang mudah difahami dan tidak mengelirukan.
Saiyidatul Syahirah berkata, caranya adalah dengan mengajar dan meminta Saiyidah Fatimah Nabihah menanda pada rekod jualan disediakan.
“Kami tidak hanya berniaga di depan rumah tetapi ada juga tawarkan khidmat pembayaran ketika penghantaran (COD).
“Buat masa ini, saya tak sasarkan sangat hasil jualan yang terlalu tinggi sebab niat asal buka kedai itu adalah untuk ajar adik berniaga.
“Tapi Alhamdulillah, sokongan dan maklum balas diterima daripada semua pihak termasuk jiran sekeliling sangat positif,” katanya yang mengambil tanggungjawab menjaga Saiyidah Fatimah Nabihah sejak dua tahu lalu iaitu selepas ibunya, Azizah Salleh meninggal dunia.
Wajah adalah aset terpenting bagi seorang wanita. Nak kekal cantik tanpa kedutan, dan paling penting kelihatan awet muda sememangnya menjadi idaman setiap bagi mereka yang sudah mencecah usia setengah abad.
Siapa tahu, dalam kecantikan yang dimiliki oleh pelakon Laila Nasir atau nama sebenarnya Norlaila Yasmin Nasir, dia kini sebenarnya sudah memasuki usia 50-an.
Memetik laporan Sinarplus, tatkala ditanya rahsia kekal cantik dan jelita, ibu kepada dua orang anak lelaki tersebut mengakui tiada petua khusus yang menjadi amalannya.
Ungkap beliau, dirinya hanya menggunakan cara biasa yang dipraktikkan oleh orang lain iaitu minum air suam setiap pagi.
“Selain itu, saya juga mengamalkan minum sesudu madu yang dicampur dengan air masak setengah gelas.
“Dalam usia sekarang, saya memang tidak amalkan minum minuman berais dan bergas. Saya turut mengamalkan pengambilan jus pegaga yang dikisar sendiri,” ujar Laila lagi.
Kesibukan dengan shooting tidak pernah menjadi batasan kepada Laila untuk menjaga kesihatan diri.
Selain dari aspek pemakanan, beliau akan ‘mencuri’ masa melakukan señaman ringan ketika berada di rumah.
“Apabila usia sudah masuk 50-an, kenalah pandai jaga kesihatan. Bagi penjagaan kulit wajah pula, saya suka memakai masker daripada putih telur yang dicampur dengan madu.
“Selain itu malas sekalipun janganlah sesekali kita skip mencuci wajah dan pakai pelembap. Saya juga turut mengambil suplemen seperti vitamin C dan habbatussauda,” ungkap penerima Anugerah Kelantan Business Ikon Awards pada 17 Disember 2021.
Tambah Laila, kecantikan adalah anugerah oleh SANG PENCIPTA. Justeru, menjadi amanah kita untuk menjaganya dengan sebaik mungkin.
“Jangan menyalahgunakan kecantikan. Pada masa sama, hati kita pun kena cantik. Maksudnya jangan ada sifat dengki dan sebagainya.
“Saya percaya aura cantik seseorang itu datang dari hati yang cantik,” jelas Laila lagi.
Pada masa sama, beliau turut menitipkan nasihat kepada kaum wanita supaya tidak terlalu bangga dengan kecantikan paras rupa.
“Kecantikan rupa tidak akan kekal, ia akan pudar mengikut usia kita, cuma yang perlu kita jaga adalah kecantikan dari dalam,” ungkap beliau lagi.
Sebuah keluarga yang bahagia itu apabila ibu bapa dan anak-anak hidup dalam keadaan gembira dalam sebuah rumah. Namun keindahan itu juga tidak kekal lama apabila salah seorang ahli keluarga menemui pencipta yang Agung.
Lebih hiba apabila, ibu bapa meninggalkan anak-anak yang masih kecil. Begitulah perkongsian yang dipaparkan ini.
Tahun lepas, ibu meninggalkan dunia, tahun ni pula, ayah nenyusul. Tinggal anak-anak yang masih kecil meneruskan hidup.
TANGISAN HIBA 8 ANAK YATIM PIATU
IRINGI JENAZAH BAPA
“Nak buat macam mana Ustaz. Dah nasib cucu-cucu saya untuk jadi anak yatim piatu. Tahun lepas mak depa meninggal. Hari ini ayahnya pula.”
Demikian rintih Puan Saodah ujian yang menimpa cucu-cucunya seramai 8 orang yang kehilangan bapa mereka pagi tadi.
Puan Saodah salah seorang anggota rombongan umrah Juara Travel bersama saya November lalu.
Tahun lalu anaknya Zalifah Abd Wahab, 36 tahun meninggal dunia sebaik melahirkan anak ke 8 secara pembedahan.
Hari ini menantunya pula menghembuskan nafas terakhir selepas terlantar koma selama 9 hari di Hospital Seremban kerana disyaki menghidap penyakit kencing tikus.
Kematian Amran Isa, 38 tahun sekaligus menjadikan anak-anaknya yang berusia antara setahun hingga 17 tahun sebagai yatim piatu.
Ketika tiba di rumah nenek mereka di Felda Tementi, Bera, Pahang hati saya sangat hiba melihat 8 beradik itu sedang mengerumuni jenazah sang ayah sambil kesemuanya menangis.
Tiada siapa tahu bagaimana nasib anak-anak ini kelak. Namun Allah pasti tidak akan persiakan mereka.
Kakak sulung yang sedang menunggu keputusan SPM kelihatan lebih matang mententeramkan adik-adik.
Dialah pengganti ibu dan ayah yang akan mencurahkan kasih kepada adik-adiknya terutama si bungsu berusia setahun yang belum mengerti apa-apa.
Sementara itu, En Abd Ghani dari Jengka 17 yang baru dua tahun berkongsi hidup dengan isterinya, Puan Saodah berkata, beliau berhasrat untuk memelihara anak-anak itu, terutamanya dua orang yang masih terlalu kecil.
Namun tidak mahu menolak hasrat keluarga dan adik beradik si mati di Seremban yang juga berhajat memelihara kesemua anak yatim berkenaan.
Bagi pihaknya beliau akan memberi sokongan dan bantuan sekadar yang mampu.
Catatan;
Aris Hazlan Ismail
Felda Tementi, Bera.
24 Januari 2020.