Bila Mak-mak Nak Buat Kitchen Garden, Pastikan 5 Kategori Tanaman Ni Ada. Barulah Lengkap Untuk Kita Masak Dalam Seminggu!

Share

Bercucuk tanam dilaman rumah selain bertujuan mengisi masa lapang, tidak dinafikan ada juga antara kita termotivasi untuk melakukan aktiviti ini dek kerana ingin merasa kepuasan menikmati hasil tanaman daripada usaha sendiri. Malah dengan berkebun juga sekali gus dapatlah berjimat untuk belanja dapur.

Pun begitu, sebenarnya adalah lebih sempurna andai apa yang ingin kita tanam itu menepati 5 jenis kategori tanaman ini. Kenapa? Ini sebagaimana menurut pengalaman Encik Azuan Abdullah, katanya dalam seminggu kita pasti akan guna kelima-lima kategori tersebut dalam penyediaan hidangan kita.

Nak lebih pencerahan ikuti perkongsian daripadanya.

5 Kategori Tanaman Yang Mesti Ada di Kebun Dapur Anda!

Untuk kebun dapur kitchen garden, kita boleh tanam apa-apa tanaman ikut citarasa kita. Lebih elok jika tanaman yang kita tanam tu ada semua 5 kategori ni. Sebab boleh dikatakan dalam tempoh 1 minggu, kita akan guna ke 5-5 kategori ni dalam masakan kita.

Macam di rumah saya, semua kategori saya tanam. Namun, tak semua jenis tanaman yang ada dalam kategori tu saya dapat tanam sebab kawasan rumah yang terhad.

Baik. Saya kongsikan 5 kategori tanaman yang patut ada di kebun dapur rumah kita.

1. Ulam

Ulam-ulaman adalah kategori yang paling cepat sekali kita dapat hasil atau makan. Ianya mengambil masa antara 3-6 minggu lepas tanam. Ia pun senang untuk ditanam. Tanam sekali je tapi dapat hasil berkali-kali. Ulam sangat banyak khasiat untuk kesihatan.

Biasanya, serangga tak suka makan pokok ulam ni. Penyakit pun jarang kena. Contoh ulaman yang paling glamour adalah:

> Bayam Brazil
> Gingseng Indonesia
> Pegaga
> Ulam raja

2. Sayur Daun

Boleh dikatakan sayur daun ni ada di setiap kebun dapur. Sayur daun pun tidak mengambil masa yang lama untuk berhasil. Antara 1-2 bulan sahaja. Sayur daun dapat hasil sekali je untuk satu pusingan kecuali kangkung. Antara sayur daun yang boleh kita tanam:

> Kangkung
> Sawi
> Bayam merah
> Bayam hijau
> Salad
> Kubis
> Flokoli
> Brokoli

3. Sayur Buah

Sayur buah juga antara kategori yang kita tanam sekali tapi dapat hasil berkali-kali. Biasanya kita dapat kutip hasil antara 2 bulan lepas tanam dan boleh bertahan hingga 5 bulan. Itu pun bergantung pada pengurusan dan penjagaan kita. Sayur buah yang biasa ada di kebun dapur adalah:

> Cili padi
> Bendi


> Terung
> Cili merah
> Lada solok

4. Herba

Herba ni boleh dikatakan kategori yang paling kerap kita guna dalam masakan kita. Jika ia tak ada, masakan kita confirm tak sedap. Herba ni lambat sikit dapat hasil berbanding dengan kategori lain. Paling cepat pun 3 bulan. Antara herba yang selalu kita guna adalah:

> Serai
> Halia
> Kunyit
> Kesum
> Limau purut

5. Lain-lain kategori

Lain-lain tanaman yang ada di kebun dapur kita ni boleh dikatakan pelengkap kepada kategori diatas. Antaranya ialah:

> Pandan
> Kari
> Limau kasturi
> Limau purut
> Jagung

Bila kita rancang dan tanam tanaman di kebun dapur mengikut keperluan, insyaAllah kita dapat jimat belanja dapur. Yang paling penting kita dapat makan sayur segar dan bebas racun kimia setiap hari. Semoga dengan asbab makan sayur bebas racun kimia, kesihatan kita pun semakin baik. Amin

sumber : Azuan Abdullah via Kebun Bandar : Jom Tanam Sendiri