Kenangan hidup bersama ibu bapa sejak kecil pasti akan dingati sampai bila-bila. Mereka yang menjaga kita penuh kasih sayang sehingga dewasa hingga mampu berdikari dan membina kerjaya sendiri.
Alangkah beruntungnya anak itu apabila ibu bapa masih tinggal bersama sebumbung. Dapat menikmati lagi kasih sayang mereka walaupun sudah mempunyai keluarga. Hakikatnya bukan mudah sebenarnya ibu bapa ingin duduk serumah dengan anak-anak yang sudah berumahtangga. Maklumlah mereka sudah memiliki rumah sendiri di kampung. Bagi yang diberi peluang duduk sebumbung bersama ibu bapa seharusnya menghargainya. Inilah masa untuk berbakti pula kepada orang tua.
Begitulah yang dialami oleh puan Nurlia Mohd Nor yang melahirkan rasa syukur apabila arwah ibu dan bapanya tinggal bersamanya.
Momen indah ketika bersama arwah dan bapa menjadi memori yang sangat manis untuk dikenang. Malah katanya, peluang ini juga memberi ruang kepadanya mendapat pahala berkat menjaga orang tua.
” Mak kamu yang beria nak dok dengan kamu. Tu yang bila kamu ajak dia setuju. Terus ajak abah..”, kata Abah.
Saya masih teringat kata- kata ini waktu bersembang dengan Abah dulu.
Bila rumah yang kami tinggal sekarang ni siap orang pertama yang kami bawa lihat adalah mak abah.
1st time masuk rumah ni kami dah plan dan excited bercerita pada mak dan abah.
” Yang ni bilik mak, abah. Nanti Ya letak katil, almari, tv..”
” Nanti kat sini Ya letak kerusi, mak boleh berehat…”
” Kat sini pulak tempat solat, bla..bla..”
Seronok sungguh waktu itu.
Alhamdulillah sepanjang mak dan abah tinggal di sini kami tidak menghadapi masalah. Tak pernah berlaku salah aham, terasa hati, bermasam muka dan sebagainya. Kami bahagia tinggal bersama orang tua. Kami masak bersama. Pukul 10 pagi 3 beranak mula la masuk dapur. Hehehe.
Biasa mak akan masak menu gulai, saya menu bergoreng manakala abah pula akan buat menu sayur. Abah memang suka join sebab dia suka masak. Alahai. Seronoknya waktu itu. Tapi sejak mak dah tiada, abah dah taknak buat aktiviti memasak dah. Separuh jiwanya sudah pergi..
Sesekali bila abah dan mak balik jenguk rumah di kampung seminggu dua, mak dah mula resah. Bila saya call, abah akan mengadu.
” Mak kamu ni tiap- tiap hari tanya bila nak balik Bukit Beruntung?”
Hehehe.
Bila saya mendengar dan membaca beberapa cerita ada ibu bapa yang terasa hati dengan anak apabila tinggal bersama agak payah untuk saya nak komen. Balik ke rumah ibu bapa sekali sekala tak sama dengan tinggal bersama ye. Perasaan tak selesa dan sebagainya itu takkan diuji selagi kita tak tinggal bersama. Waktu tu baru tahu siapa diri kita sebenarnya.
PAHALA BILA BERBAKTI KEPADA IBU BAPA
Cuma satu saja. Pegang pada yang ini. Apabila ibu bapa nak tinggal bersama itu sebenarnya peluang untuk kita KUTIP PAHALA.
1) Bawa ibu bapa tinggal bersama adalah rezeki yang tak semua orang berpeluang dapat. So rebutlah peluang itu, jangan sia- siakan. Buat mereka terasa seperti tinggal di rumah sendiri.
2) Ibu bapa adalah punca rezeki kita. Bawa mereka tinggal bersama tak kurang pun rezeki malah Allah bagi rezeki lebih dari pelbagai sudut. Dan percayalah, sebenarnya kita yang menumpang rezeki mereka.
3) Apa yang kita makan, itulah juga yang mereka makan. Bukan beli makanan tertentu, sorok makan. Orang tua nampak, terasa hati. Nampak macam perkara remeh, tapi semua situasi ni ada berlaku.
4) Jangan jadikan orang tua ‘pembantu’ kita. Buat kerja rumah macam biasa. Bila orang tua tinggal bersama itu bukan tiket untuk kita mengharapkan mereka terutama kerja rumah. Jika kita bekerja hantar anak- anak ke pengasuh sama seperti sebelum ini terutama yang kecil. Ibu bapa kita perlu rehat secukupnya.
5) Jangan pernah anggap mereka bebanan terutama apabila mereka tidak sihat. Sampai satu masa kita akan diuji dengan semua ini. Mereka akan jadi seperti kanak- kanak semula. Makan tumpah, perlu kita mandikan, cuci najis dan sebagainya. Ingat semula waktu mereka membesarkan kita dulu. Inilah masa kita pula buat perkara sama dan membalas jasa mereka pula.
Saya mungkin bertuah sebab ada mak dan abah yang amat memudahkan dan menyenangkan. Ujian setiap orang takkan sama. Saya pernah terdengar Mak dan Abah bersembang,
” Kita ni setiap hari kena berdoa mudah- mudahan Allah mudahkan hari tua kita. Moga kita menyenangkan anak- anak. Biar anak- anak jaga kita deme dapat pahala, bukan jadi anak derhaka..”
Ya, itulah kekuatan doa. Kita pun dah boleh mula berdoa macam ni. Mudah- mudahan di hari tua kita memudahkan anak- anak. Jaga orang tua ni kalau betul cara akan dapat pahala, tapi kalau tak kena cara boleh jadi anak derhaka.
Alhamdulillah mak tinggal bersama kami sehinggalah menghembuskan nafas terakhir 2 tahun yang lalu dan berpindah ke rumah baru yang kekal abadi. Cuma tinggal abah saja untuk kami terus berbakti dan mengutip pahala.
Minggu lepas waktu suami dan abah ziarah kubur Mak, dia bertanya.
” Abah kalau ada tak selesa apa- apa kat rumah abah bagitau ler. Kot abah ada nak beli apa- apa..”
Abah jawab,
” Abah dah selesa dok rumah kome. Takde apa nak dah..”
Jawapan yang simple tapi cukup buat kami lega.
1 Februari ini genap 2 tahun emak pergi meninggalkan kami. Terasa cepat sungguh masa berlalu. Dah 2 tahun tak panggil mak, dah 2 tahun juga tak dapat lihat wajah dan sentuh mak. Sampai sekarang ada masa air mata tertumpah jua bila rindu itu datang bertamu. Al fatihah Mak.
Sumber: Nurlia Mohd Nor