Bila perasaan resah gelisah menyesak di dada, semua yang ingin dibuat serba tidak kena jadinya.
Mencari formula atau penawar untuk segera kembali tenang dan sekali gus dapat mendepani setiap ujian dan dugaan hidup dengan tabah, eloklah diamalkan doa-doa ini yang dikongsikan oleh Imam Muda Hassan.
Doa Pendek Untuk Hilangkan Sedih, Stress dan Gelisah
Berikut adalah himpunan doa penenang hati dari Al-Quran dan hadis yang boleh diamalkan. Ianya pendek dan mudah dihafal in shaa Allah.
DOA 1
اَللّٰهُمَّ اِنِّىْ اَعُوْذُبِكَ مِنْ جَهْدِالْبَلَاءِ وَدَرْكِ الشَّقَاءِ وَسُوْءِ الْقَضَاءِ و شَمَاتَةِ الْاَعْدَاءِ
(Allahumma inni a’uuzubika min jahdil bala’. Wa darkish shaqa’. Wa suu il qadhaa’. Wa shamaamatil a’daa’.)
Maksudnya: Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari bala yang berat, menemui penderitaan, dari takdir yang buruk & dari keberhasilan musuh
(Sahih Bukhari)
DOA 2
يَا حَيُّ يَا قَيُّوْمُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْث
(Yaa hayyu yaa qayyuumm. Bi rahmatika astaghiiths.)
Maksudnya: Wahai Rabb Yang Maha Hidup, wahai Rabb Yang Berdiri Sendiri tidak memerlukan segala sesuatu, dengan rahmat-Mu aku meminta pertolongan
IKLAN
(Hadis Riwayat Tirmidzi)
DOA 3
اللهُمَّ لا سَهْلَ إلا مَا جَعَلتَهُ سَهْلا وَ أنتَ تَجْعَلُ الحزْنَ إذا شِئْتَ سَهْلا
(Allahumma la sahla illa ma ja’altahu sahla wa anta taj’alul hazna iza syi’ta sahla)
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, tiada kemudahan melainkan apa yang Engkau jadikan mudah dan perkara yang susah boleh Engkau jadikan mudah apabila Engkau mengkehendakinya.”
(Allahumma inni a’uuzubika minal hammi wal hazan. wa a’udzubika minal ajzi wal kasali, wa a’udzubika minal jubni wal bukhli, wa a’udzubika min ghalabatid daini wa qahrir rijaal.)
IKLAN
Maksudnya: Ya Allah, aku berlindung padaMu dari rasa sedih dan gelisah, aku berlindung daripada sifat lemah dan malas, dan aku berlindung padamu dari sikap pengecut dan bakhil, dan aku berlindung padaMu dari cengkaman hutang dan penindasan orang.
(Sahih Bukhari)
DOA 5
لا إلهَ إلا أنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظّالِمِيْنَ
(Laa ilaaha illa anta subhaanaka inni kuntu minaz zholimin.)
Maksudnya: Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah dari pada orang-orang yang menganiaya diri sendiri.
(Surah Al-Anbiya’ Ayat 87)
DOA 6
حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
IKLAN
(Hasbunallah wa ni’mal wakil)
Maksudnya: Cukuplah Allah sebagai Pelindung kami
(Surah Al-Imran Ayat 173)
SEMOGA KITA LEBIH POSITIF MENGHADAPI UJIAN ALLAH.
Adalah lumrah bagi manusia untuk berasa ‘down’ atau merasa kecewa terhadap apa juga yang menimpa diri. Namun percayalah itu semua merupakan ujian Allah yang mahu menguji hambaNya agar kembali mengadu dan pasrah kepadaNya. Yang penting, sabar dan mintalah pertolongan Allah kerana Dialah sahaja Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
Dari Salman Al-Farisi r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah mempunyai sifat malu, dan memberi kepada orang yang tidak meminta dengan pemberian yang banyak. Apabila seseorang mengangkat tangannya dihadapan Allah, memohon sesuatu, maka Allah amat malu untuk memulangkan kedua tangan tersebut dengan tangan kosong”. (Riwayat Tirmizi)
Oleh itu, marilah kita mengamalkan doa penenang hati di atas untuk meredakan perasaan sedih, marah, gelisah, stres, dan mengusir semua perkara negatif dari fikiran kita.
Melangkah ke alam rumah tangga, pemikiran dan kehidupan wanita berubah sama sekali. Kalau dulu bebas ke mana saja dengan kawan-kawan, kini keluarga jadi keutamaan. lebih-lebih lagi kalau bergelar surirumah. Hadap semua benda sendirian.
Kalau dapat suami yang ringan tulang bolehlah membantu. tapi kalau jenis yang pulang dari kerja yang dicari bukan isteri tetapi sofa untuk landing sambil tangan tak lekang dengan handphone. Ini juga satu masalah kan.
Itulah yang diutarakan oleh Shakilla Khoriri, pelakon dan juga isteri kepada penyampai radio, Fizi Ali.
Cukup berterima kasih kepada suaminya yang banyak membantu menguruskan hal rumah tangga dan anak bersama, jelas Shakilla, setiap suami harus berbuat demikian dan tidak sekadar melepaskan tanggung jawab itu pada isteri semata-mata. Strees tak kalau kau sebagai EMAK kena settlekan dari A sampai Z dalam rumah tangga. YES ! memang kerja dan tanggungjawab kau sebagai ISTERI & EMAK tapi kau bukan robot. SUAMI …….mohon TERbaca caption ni. Sayangi lah ISTERI. Bantu. Kalau kau tak ada rasa sayang KESIAN lah. .
Kerja kau tak sepenat KERJA isteri besarkan anak dan settlekan rumah walaupun kau rasa rumah tu tak nampak bersiap sangat tapi percayalah kerja isteri kau tak ada REST. Tengok phone pun tak SEPUAS sebelum ada anak. Suami, kau jangan seronok sangat main game sampai kau bosan. Jangan seronok sangat tengok TV sampai berpinar mata. BANTU……kau bukan kawin dengan MAID. Anak tu bukan anak jiran sebelah rumah. .
TEPUK besar untuk suami yang sama2 bantu ringan beban kau. Buat kau rasa seorang ISTERI dan IBU yang dihargai. Tag suami awak sikit. Lepas tu cium dahi satu kali
Tatkala ketua keluarga diberi ujian, lumpuh sistem kekeluargaan namun dibahu sang isteri lah menjadi tempat untuk keluarga bersandar. Wanita dan juga ibu bernama Raudzah Arippin ini cukup hebat dan kental orangnya. Berhadapan dengan suami, Muhammad Idzwan Othman yang diserang strok pendarahan, kisahnya menjaga suami ini cukup memberi inspirasi buat wanita di luar sana.
Biarpun bibirnya terukir senyuman namun di hati siapa yang tahu. Pengalaman menjaga suami sakit diinspirasikan di dalam sebuah buku bertajuk “Maaf Suami Puan Kritikal. Penulis berkesempatan berkunjung ke rumah pasangan ini bagi menelusuri kisah dan pengorbanan sang isteri.
Darah tinggi menyerang
Menurut Raudzah, suaminya diserang strok pendarahan pada 2015 secara tiba-tiba. Ketika itu, suami di pejabat, namun sempat menghubunginya untuk meminta pertolongan.
“Suami memang ada darah tinggi tapi waktu diserang itu ia berlaku secara tiba-tiba. Kebetulan saya dan anak-anak ikut suami ke pejabat walaupun hari itu hari ahad. Mungkin Allah gerakkan hati saya untuk ikut suami ke pejabat hari itu.
“Ketika kejadian, itu kami bersarapan bersama, suami cakap pening. Semua berlaku mengejutkan tapi saya tak panik, sebaliknya saya hubungi bahagian kecemasan dan terus ke hospital. Apabila sampai di hospital, suami dimasukkan ke wad kecemasan zon merah sebelum ditolak ke bahagian kritikal.
‘Maaf suami puan kritikal’
Saya masih ingat kata-kata doktor ketika itu. ‘Maaf suami puan kritikal’ dan kata-kata itu masih menghantui sampai sekarang. Kejadian tersebut turut memberi kesan kepada anak-anak. Apatah lagi, suami merupakan tonggak utama keluarga.
“Apabila suami tak sedar diri anak-anak terkejut. Waktu itu anak sulung bakal menduduki UPSR, yang kedua darjah lima, yang ketiga tadika dan yang bongsu 1 tahun 2 bulan dan masih menyusu.
“Yang main peranan ketika itu adalah saya yang kena terangkan apa yang terjadi pada ayah. Selain menenangkan mereka,” jelas Raudzah lagi yang sebelum ini bekerja dalam bidang fotografi sebelum beralih kepada penerbitan buku.
Tak mudah jaga orang sakit
Cabaran menjaga orang sakit bukan semudah yang disangka. Terpaksa korbankan segalanya termasuklah tenaga, masa dan segalanya.
“Menjaga orang sakit ini berfasa. Fasa awal yang paling mencabar adalah menerima keadaan baru. Alhamdulillah saya tak ambil masa yang lama. Cuma minggu pertama itu sahaja saya rasa terawang-awang.
“Bila bangun pagi rasa macam mimpi. Bukan tak terima takdir tetapi rasa tak percaya sebab semalam dia sihat dan ada dengan kita, saya jadi tertanya-tanya betul ke benda ni jadi pada keluarga kita.
“Waktu tidur malam saya fikir apa akan jadi esok. Sampai bila suami akan terlantar dan doktor sendiri tak cakap bila dia akan sedar.
“Apabila dah berkeluarga, ada suami dan anak pasti ada impian yang kita bayangkan. Tetapi bila berlaku semua benda ini menyebabkan ia berkecamuk dalam diri.
Rutin harian berubah
Lebih memeritkan, ibu kepada 4 anak ini sudah lama berhenti kerja dan selepas suami sakit, rutin hariannya juga turut berubah.
“Biasanya suami hantar anak ke sekolah, saya pula uruskan rumah tangga. Tetapi kini semuanya berubah. Pagi saya uruskan anak dengan menghantar mereka ke sekolah. Pulang ke rumah saya mandikan suami. Semuanya dilakukan sendiri dan kekuatan itu datangnya dari Allah swt.
“Saya tak nak anak tengok saya lemah. Jadi, saya set dalam diri tak nak menangis depan mereka. Sebab saya fikir anak-anak akan tengok apa ibu buat dan respond pada keadaan tersebut.
“Saya tulis buku ni pun sebab saya rasa ujian ni besar tapi Allah mudahkan terutama dalam hal anak-anak. Walaupun saya tak dapat lihat mereka ketika tengah periksa, mereka terpaksa berdikari serta pandai bawa diri. Termasuklah yang darjah satu, siap gosok baju sendiri.
“Alhamdulillah pencapaian mereka cemerlang. Bila saya duduk dan fikir memang banyak hikmah dan rahmat yang saya dapat walaupun diuji dengan suami sakit. Sebab tu saya selalu pesan pada anak-anak, sentiasa berbuat baik di sekolah.
Keluarga dan rakan-rakan prihatin
Memandangkan tonggak utama keluarga sakit, ia memberi kesan kepada pendapatan keluarga. Akui Raudzah, awalnya agak susah memandangkan suami bekerja sendiri. Namun menakjubkan kerana mereka dikelilingi kawan yang cukup prihatin.
“Untuk fasa-fasa awal minggu pertama, kawan-kawan suami tubuhkan tabung #pray4idzwan di facebook. Saya dapat sumbangan yang banyak dan tak bimbang tentang belanja. Malah ada yang sponsor belanja anak-anak sekolah sampai sekarang. Kawan-kawan sekolah dan ada yang tak rapat dengan saya masih menyumbang. Keluarga pun banyak membantu kami.
“Selain kekuatan saya datang dari Allah, bagaimana kita menerima keadaan itu juga memberi kekuatan kepada saya. Bila suami sakit, saya tak suka dalam keadaan serabut, saya suka fokus pada penyelesaian dan bukan masalah. Saya kena dapatkan kekuatan dan salah satunya adalah dengan menulis.
Doa azimat terbaik
Diminta memberi kata-kata semangat buat wanita atau isteri senasib dengannya, kata Raudzah, doa azimat terbaik dalam memberi kekuatan.
“Saya selalu update keadaan suami di facebook dan itu satu terapi buat diri saya sendiri. Setahun lebih saya menulis dan kawan-kawan cakap patut keluarkan buku. Malah waktu itu saya dapat banyak mesej dari wanita lain yang bercerita tentang masalah dan pengalaman mereka menjaga pasangan atau keluarga.
“Dulu tak ada rujukan untuk panduan saya jaga suami. Daripada situlah timbul idea untuk saya tubuhkan grup whattsapp Info Strok dan Lumpuh. Bila ada grup ini memudahkan orang lain mendapat info dan maklumat tentang penjagaan orang strok dan sehingga sekarang grup ini masih aktif,” ujarnya lagi.
Hargai pengorbanan isteri
Walaupun sudah pulih namun Muhammad Idzwan mengakui masih perlu membuat rawatan susulan di hospital. Dalam masa yang sama, Idzwan turut berterima kasih kepada isterinya yang banyak berkorban untuk keluarga mereka.
‘What u give , is what u get’
Kini selepas 4 tahun setengah, Idzwan sudah mampu menguruskan diri sendiri serba sedikit walaupun dengan berkerusi roda.
“Sudah lima tahun saya diserang strok pendarahan dan alhamdulillah berkat doa semua saya semakin pulih. Syukur kerana ini rezeki dan juga anugerah buat saya. Saya amat berterima kasih kepada isteri yang banyak berkorban.
“Betul lah apa orang cakap ‘what u give, is what u get’. Nasihat saya kepada suami di luar sana, hargailah isteri anda kerana pengorbanan mereka cukup besar untuk kita dan juga keluarga. Sebagai manusia, kita kena hargai apa yang ada disekeliling kita,” ujar Idzwan lagi.
Suami buat kejutan seminggu sebelum sakit
Sementara itu, Raudzah mengakui suaminya pernah membuat kejutan dengan membelikan kek seminggu sebelum jatuh sakit.
“Waktu itu kami janji nak makan bersama diluar tapi dia sampai lambat dengan membawakan kek. Katanya kejutan sebagai hadiah dan tanda penat saya menjaganya. Padahal sebelum ini tak pernah berbuat demikian. Selepas dia sakit, perkara itu yang terlintas difikiran saya. Tak sangka itu ‘reward’ daripada dia sebelum sakit.
“Walaupun orang kata waktu suami jadi perunding hartanah itu yang membuatkan dia stres, tapi pada saya itu fasa terbaik kerana suami ada masa untuk famili, ada masa untuk membaca al-Quran dan sebagainya.
Kalau ikutkan sebelum kami berpindah ke Kuala Lumpur itu lagi stres. Punca dia sakit sebab tak makan ubat dan ada masalah lain yang menjadi asbab untuk dia mengalami strok,” ungkap Raudzah lagi sebelum menutup perbualan bersama penulis.
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Wajah penuh keibuan ini nyata sangat mesra dengan siapa sahaja biar pertama kali bersua muka.
Penulis menelusuri isi hati insan bernama Tun Dr. Siti Hasmah binti Haji Mohd Ali mengenai kehidupannya yang pernah bergelar Wanita Pertama ke-4 apabila suami kesayangannya, Tun Dr Mahathir Mohamad bergelar Perdana Menteri.
Dan kini sekali lagi, beliau menyandang gelaran tersebut bila mana suami kesayangannya sekali lagi dilantik sebagai orang nombor satu negara sekali gus bergelar PM ke-7.
Jujur mengakui tidak pernah menyiapkan diri sebagai isteri perdana menteri, sebaliknya jawatan doktor yang disandangnya banyak membantunya.
“Cabaran sentiasa ada tetapi tidak banyak sebab saya sudah biasa berkecimpung dengan masyarakat. Meskipun mereka masyarakat yang berpenyakit tetapi saya mudah mesra dengan mereka dan sebagai isteri pemimpin itu yang penting sekali.
“Bermesra dan bergaul dengan masyarakat secara tidak langsung dapat menjaga watak atau karakter kita supaya bukan sahaja bagi gambaran yang baik tetapi secara tidak langsung menjaga nama baik suami. Jika kita buat sesuatu nanti orang akan menyebut itulah isteri kepada orang itu ini. Gambaran sebegini sudah menjadi perkara biasa yang sering berlaku dalam masyarakat.
Risiko tidak diterima oleh masyarakat memang buruk terutama bagi isteri kepada pemimpin. Alhamdulillah sepanjang suami saya menjadi pemimpin, yang buruk itu tiada, apatah lagi yang boleh menjejaskan suami. Baik ketika suami bergelar menteri sehinggalah menjadi orang nombor satu Negara.
“Bukan kerana saya sudah siapkan diri untuk itu tetapi jawatan doktor yang saya sandang itu banyak membantu. Masyarakat sangat hormat pada doktor kerana kita membuat kebaikan. Keduanya, bagaimana kita berusaha dengan masyarakat dengan berhubung rapat dengan mereka. Kalau kita tidak tegur, sombong dan wajah itu akan menunjukkan penampilan kita. Justeru, sebagai doktor sudah bersiap sedia bagaimana mahu kerjasama dengan masyarakat.
“Tidak kira suami menjadi pemimpin atau tidak, tetapi status isteri yang disandang itu, kita kena bersiap sedia dalam segala hal,”ulas Tun Hasmah sambil memberitahu tanggungjawab isteri pemimpin kena sentiasa berada di belakang suami dan memberi sokongan sepenuhnya dalam apa jua yang dilakukan kerana itulah tugas utama seorang isteri.
Sentiasa di belakang suami
Jujur mengakui bukan mudah untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri pemimpin, namun berkat sokongan suami dan keluarga, beliau berjaya mengharunginya.
“Bergelar isteri pemimpin dan dalam masa yang sama menggalas tanggungjawab sebagai doktor, bukan perkara yang mudah. Apatah lagi, saya perlu berhadapan dengan masyarakat yang mempunyai masalah kesihatan. Bagaimana cara kita yakinkan untuk membantu mengubati penyakit mereka itu yang penting. Alhamdulillah, saya melalui perjalanan sebagai doktor dan isteri pemimpin negara dengan baik.
“Sebagai ibu pula, lebih-lebih lagi apabila kita sebagai pegawai kerajaan. Kena bijak atur masa sebagai isteri, ibu dan tidak lupa wanita berkerjaya. Soal masa tidak timbul kerana tidak ada banyak masalah. Waktu dulu nak cari pengasuh mudah. Dulu ada ipar duai di rumah yang boleh diharap untuk bantu jaga anak-anak. Begitu juga dengan pembantu rumah yang tua dan berumur yang memang boleh diharap untuk menjaga anak-anak. Memang mudah dan tidak perlu peningkan kepala seperti sekarang.
“Kami dikurniakan tujuh orang anak iaitu Marina , Mirzan, Melinda, Mokhzani , Mukhriz , Mazhar dan Maizura. Yang sulung, Marina ada pemikiran sendiri dan sedikit mengikut jejak langkah ayahnya. Berdikari dan tegas dalam pendirian. Yang kedua, Mirzan lebih minat pada kewangan dan pandai uruskan bidang tersebut. Yang ketiga, Melinda pula sepenuh masa suri rumah yang menjaga anak-anak sepenuh masa. Dia sangat low profile.
“Yang keempat, Mokhzani pula bijak dalam pengurusan dan kini bekerja dalam industri minyak dan gas. Dia ada karakter seorang pengurus yang cekap baik dalam kerjaya mahupun rumah tangga. Mukhriz pula lebih menjurus kepada saya. Tetapi bab tanggungjawab dia banyak ikut jejak langkah ayahnya. Dia lembut tetapi tegas. Yang keenam Mazhar dan yang ketujuh, Maizura masih bujang dan ada cita-cita sendiri.
“Cuma, sekarang ini memandangkan yang lain ada yang sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri, tinggal yang bongsu lebih rapat memandangkan dia masih bujang dan kebetulan tinggal bersama kami. Sebagai ibu saya sentiasa galakkan anak-anak dan demikian juga untuk yang bongsu ini. Saya bantu dan galakkan supaya dia tidak rasa ketinggalan dalam keluarga.
Saya ada tiga anak lelaki dan masing-masing ada karenah tersendiri. Kalau ikutkan anak yang paling nakal Mokhzani waktu kecil dahulu. Tetapi dia yang paling prihatin dalam banyak hal dan sangat melayan andai ada tetamu datang ke rumah. Mirzan pula pernah sekali dapat surat daripada ayahnya kerana malas belajar, selepas itu barulah dia berubah.
“Waktu kecil juga, jika ada yang membuat salah dan ayahnya mahu jatuhkan hukuman, semua anak-anak akan dipanggil supaya mereka dengar apa kesalahan dan denda yang dikenakan,” jelas Tun sambil memberitahu, dia tidak mengamalkan pilih kasih terhadap anak-anak sebaliknya bersedia bila-bila masa untuk mereka datang bercerita masalah atau sebagainya.
Kena banyak sabar
Status dan pangkat yang disandang bagaimana pun bukanlah tiket untuk anak-anaknya bermewah dan hidup seperti di dalam sangkar emas. Sebaliknya, Tun menegaskan kepada anak-anak supaya kena usaha sendiri jika mahukan sesuatu.
“Apa jua kemudahan tidak akan datang bergolek jika tidak berusaha. Ini nilai-nilai mulia yang harus diajar pada anak-anak. Yang utama, hormat kepada ibu bapa atau sesiapa sahaja yang memberikan sesuatu kepada kita. Jadi kita kena balas dengan ucapan terima kasih. Kedua, kerja keras manakala yang ketiga amanah dan keempat jangan boros dan kena tahu uruskan wang ringgit dengan bijak.
“Selain itu kena juga praktik kan dalam diri anak-anak amal bakti dan kebajikan supaya dalam diri terbit rasa kesedaran dan keinsafan selain bersyukur dengan apa yang kita peroleh dan lagi satu kena banyak bersabar.
“Saya berkahwin lambat. Waktu itu, umur 29 tahun tu kira lambat tetapi Alhamdulillah kami dikurniakan anak dan dapat membesarkan mereka dengan baik. Lebih membahagiakan apabila dikurniakan anak-anak yang cerdik dan cemerlang dalam pelajaran. Saya dan suami sudah sepakat, apabila anak-anak lulus dengan cemerlang, kami akan hadir di konvokesyen mereka dan itu kami praktik kan pada semua anak-anak.
“Zaman dulu tidak sama seperti sekarang. Dulu waktu anak-anak tengah periksa, saya tidak terbang kerana ingin berada bersama mereka supaya mereka tidak risau. Seperti menantu-menantu lakukan kini bagi anak-anak mereka.
“Kalau nak dibandingkan ibu dahulu dengan kini jauh bezanya. Saya faham situasi ibu sekarang kerana era sudah bertukar, kalau zaman saya dulu tiada internet, sosial media dan sebagainya. Anak-anak dulu tekun dengan apa yang ibu cakap. Malah minat mereka juga simple tetapi sekarang sudah bertukar ditambah pula kini zaman informasi. Tidak perlu penat mencari, segalanya boleh diperoleh hanya di hujung jari sahaja. Ibu bapa sekarang profesional dan masa untuk anak-anak terbatas
“Tetapi itu bukan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab kita. Walaupun sibuk wajib ambil berat pada anak-anak. Tiada alasan sibuk dengan kerja jika sayangkan masa depan anak-anak. Sungguhpun sekarang zaman informasi, elakkan membiarkan anak-anak terperuk atau terkurung dalam bilik dan melayani komputer.
“Kalau nak tengok televisyen kena di ruang tamu atau bilik keluarga. Ini bagi mengelakkan anak-anak bersendirian di dalam bilik tanpa bergaul dengan ahli keluarga yang lain,” cerita Tun lagi sambil mengakui momen paling indah dalam hidupnya adalah sewaktu melahirkan anak-anak dengan selamat dan membesar dengan baik serta berjaya dalam bidang yang diceburi.
Suka muzik
Seperti mana wanita biasa lain, beliau juga mempunyai minat tersendiri terutama dalam bidang muzik selain suka membaca, menulis dan menonton.
“Kalau dulu saya suka bermain piano dan sebagainya. Saya suka muzik dan kebetulan dalam keluarga ada yang berdarah muzik. Sebab itu saya jatuh cinta dengan bidang ini. Kadangkala waktu reunion keluarga, kami akan berkumpul dan waktu masing-masing akan tunjukkan kebolehan masing-masing. Tetapi sekarang mata saya sudah tidak nampak jadi kuranglah nak main piano dah tak nampak ‘taugeh’ di kertas,” seloroh Tun lagi.
Sumber: Majalah Keluarga Edisi Khas Hari Ibu Mei 2017
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Hati anak mana yang tidak pilu apabila baru sahaja mendapat khabar duka mengatakan ibu telah pergi selamanya ke dunia abadi. Hati mengundang sebak apatah...