Bila Diuji Dengan Sakit, Bukan Sahaja Fizikal Perlu Dirawat Tapi Spiritual Juga! Deep Perkongsian Doktor Ni.

Share

Apabila ada di antara ahli keluarga diuji dengan tahap kesihatan yang semakin merosot, sama ada serius atau sebaliknya tentu sahaja kita akan usahakan untuk mencari rawatan bagi memastikan ahli keluarga kita kembali jalani hidup sihat dan ceria.

Pun begitu, perkongsian daripada seorang doktor ini dalam menyentuh dalam usaha untuk menghadapi ujian kesakitan, ada satu perkara yang disentuh tentang perlu juga merawat dari aspek spiritual. Ini penting, kerana daripada itu akan timbul rasa tenang bagi setiap pesakit ketika berdepan dengan ujian yang diterima.

Ikuti perkongsian penuh daripadanya dan semoga mendidik diri kita dan seisi keluarga memahaminya dengan cara yang lebih baik.

Ini perkongsiannya.

Satu ketika seorang isteri pada pesakit saya datang ke klinik. Kebetulan dia adalah “pesakit” pertama. Jadi dia masuk dengan penuh perasaan.

Sebak. Sedih. Menceritakan apa yang berlaku pada suami beliau pada minggu lepas yang diserang stroke. Dikejarkan ke hospital dan baru semalam dibenarkan pulang ke rumah.

“Doktor, ada tak suplemen yang boleh saya ambil supaya dia cepat sembuh. Saya risau kesihatan suami saya. Saya mahu dia cepat sembuh dengan cara yang lain. “

Saya diam. Saya faham perasaan beliau. Isteri mana yang tidak risau kalau suami sedang sakit. Tentu akan terus berusaha untuk memastikan suami akan segera sembuh.

Tapi malangnya usaha untuk sembuh agak lambat timbul dalam diri. Hanya wujud setelah diserang penyakit yang sebenarnya boleh dielakkan.

Kebanyakan orang kita bersikap begitu. Bersikap reaktif iaitu mengambil tindakan apabila musibah telah berlaku. Tidak bersikap proaktif, iaitu berusaha untuk mengelakkan atau mencegah musibah yang menimpa.

Kita lebih suka memadamkan api setelah rumah terbakar, tetapi tidak berusaha mengelakkan kebakaran.

Padalah bersikap reaktif lebih banyak memakan belanja berbanding dengan sikap proaktif yang hasilnya tidak dapat dilihat.

Kita lebih nampak usaha orang yang cuba memadamkannya api, berbanding dengan usaha orang mengelakkan berlakunya kebakaran.

Mereka tidak sedar terdapat banyak langkah yang boleh dilakukan dengan belanja yang lebih murah dalam meningkatkan tahap kesihatan dan mencegah penyakit.

Islam sendiri mengajarkan kita agar berusaha untuk sihat agar mudah kita beribadah (akhirat) dan menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah yang mentadbir dunia (keduniaan).

Ia meliputi kesihatan fizikal, mental dan spiritual. Inilah dikatakan pendekatan kesihatan yang holistik.

Kita nampak jika seseorang itu mengalami masalah kesihatan fizikal. Ia mengganggu rutin kehidupan, tidak mampu bekerja dan terpaksa berehat di rumah atau ditahan di wad.

Kita nampak jika seseorang itu mengalami masalah kesihatan mental, mereka menjadi tidak mempunyai emosi yang stabil apabila mereka bila berkomunikasi dengan orang lain. Panas baran, mendera, membuli dan pelbagai sikap buruk ketika berhubungan dengan orang lain.

Namun kita tidak nampak aspek kesihatan spiritual. Padahal kesihatan spiritual ini sangat penting. Jika tidak, pesakit tidak akan mendapat ketenangan diri, tidak mampu menguruskan stress dan tidak tahu hala tujuan hidupnya lalu membazirkan masa yang diberikan dengan cara yang tidak produktif.

Kita gagal merawat masyarakat secara lebih holistik. Kita merawat sebahagian dari tubuh kita, tetapi meninggalkan sebahagian lain.

Kita merawat masalah kemurungan tetapi kita gagal merawat hati dan kepercayaan (iman) mereka terhadap penyakit yang dihadapi sebagai ujian kepada mereka. Jadi mereka akan sentiasa marah, sedih atau putus asa dengan penyakit yang mereka ada. Ini menyebabkan stress dan keresahan yang memburukkan lagi kesihatan mereka.

Pendekatan yang holistik inilah yang ditunjukkan oleh Nabi kita.

Selama ini kita tidak perduli tentang asas soal halal dan haram dalam usaha mencari ubat, tidak tidak perduli jika cara pengubatan kita tidak mengikut cara yang ditunjukkan malah kita melakukan cara pengubatan dengan cara yang salah dan bertentangan.

Kita mengabaikan pendekatan spiritual seperti doa, solat, sedekah yang mana kita tidak dapat mengaitkan secara eksperimen bagaimana kaedah ini membantu penyembuhan. Pada hal inilah antara kaedah yang ditunjukkan oleh Nabi kita untuk mengukuhkan iman dan mencari kesembuhan.

Apakah yang kita perolehi dari rawatan yang sekerat-sekerat seperti ini? Penyakit akan bertambah dan sukar dikawal. Jiwa tidak tenang. Iman kita terhadap Allah juga berkurangan. Jadi kita gagal.

Carilah langkah yang holistik dalam merawat penyakit kerana kematian adalah pasti. Kita tidak mampu menangguhkannya. Dengan cara yg lebih holistik dan sempurna, kita mendapat kebaikan dunia (lebih sihat, bertenaga dan tenang) dan kebaikan akhirat (iman menjadi lebih kuat).

Semoga bermanfaat.

sumber : Dr Zubaidi  Hj Ahmad