M. A. L. A. S bila ‘penyakit’ ini mengganggu tugas harian kita, memang tak jadi apalah jawabnya. Begitu juga dalam bab membuat dan mengurus kerja rumah.
Jadi bagaimana cara ‘mengubati’ penyakit yang satu ni?
Melalui perkongsian daripada seorang yang dikenali sebagai Shahidan di laman sosial ini elok kita jadikan panduan.
Jadi jom kita ambil untuk jadikan motivasi untuk kita elak rasa malas dalam pelbagai hal dan ini perkongsiannya.
Ini mungkin idea atau cadangan aku.
1. Ketika kita mahu membuat sesuatu, dan kita berasa enggan melakukannya, mulakan dengan kiraan dalam otak, dalam kiraan selepas nombor 3, aku akan bangun dan terus buat. Kira, 1, 2, 3, dan terus buat. Jangan fikir, sebab apabila engkau fikir engkau akan mahu menangguhkannya.
Aku belajar daripada Mel Robbins. Sila youtube. Mel Robbins mencadangkan kiraan roket 5,4,3,2,1.
2. Jadilah orang yang paling awal bangun meskipun pada hari minggu. Orang yang bangun awal selalunya lebih bersedia, cergas dan cepat siap daripada orang lain. Hari minggu, jam 7.30 pagi sudah siap kain untuk disidai, sudah siap baca sehalaman dua Al-Quran. Jam 8.30 pagi sudah balik dari pasar membeli barang basah. Ada orang bangun pukul 10 pagi. Keluar ke gerai nasi lemak pun sudah habis dijual. Rezeki memang lambat untuk yang bangun lewat. Ke pasar pun ikan sudah tidak segar. Contoh sahaja.
3. Sentiasa menulis To-Do-List, apakah kerja yang perlu dibuat sehari, esok, atau mengikut projek. Kalau masuk ke dapur baking, tengok barang yang perlu dibeli, mengatur jadual tempahan. Kalau , melihat barang di rumah apakah yang perlu dibeli, lampin dan susu anak sebagainya. Kalau untuk kerja, senaraikan kerja yang perlu dilakukan pada hari itu. Senarai, senarai, senarai sangat penting.
4. Pecahkan atau pisahkan peranan anda. Jika anda seorang pekerja, senaraikan kerja yang perlu dilakukan. Jika anda seorang suami, senaraikan walaupun menulis kertas senarai hari minggu perlu mesin rumput, bawa anak gunting rambut atau mahu beli tali pinggang baharu. Dan, pecahkan senarai tugas mengikut projek sebagai contoh untuk projek persaraan bos – kumpulkan foto, dapatkan biodata, senarai tetamu jemputan dan lain-lain. Untuk buat Rumah Terbuka, senaraikan semuanya.
5. Solat awal waktu. All the time. Satu perkara yang maha penting dalam hidup.
6. Tentukan aktiviti hidup berdasarkan waktu solat. Contoh, gerak awal selepas Subuh. Bersenam selepas solat Asar. Mesti sampai sebelum solat Zuhur. Apabila kita melakukan begini, kita sudah fragmenkan aktiviti berdasarkan waktu solat, dan kita utamakan solat kita.
7. Tentukan PENGGANGGU kita. Media sosial sudah tentu. Ketagihan facebook, youtube, instagram. Aku pun tidak terkecuali. TV atau siri TV yang panjang yang akhirnya menjadikan kita ‘follower’ . Jika itu yang menganggu kita, cuba hadkan atau potong atau kurangkan, sekiranya kita maklum semua ini membantutkan projek atau menangguhkan kepentingan lain dalam hidup kita.
8. Fikirkan matlamat yang bakal kita peroleh setiap kerja setelah tamat. Kita mungkin rasa malas sebab kerja itu rumit, tidak pandai/mahir atau tidak suka melakukannya. Fikirkan hasil hujungnya apabila kita usai selesai melakukannya dan hasilnya yang kita dapat.
9. Bergaul dengan orang yang RAJIN. Kita perlukan pengaruh yang KUAT dalam hidup kita.
10. Bersenam. Mengeluarkan peluh dan menjadikan kita cerdas dan bergerak aktif. Bunyi sangat klise tapi sangat benar.
sumber : Shahidan Shuib