Bila Beli Emas Kena Tahu Hal Zakat Emas. Lelaki Ini Kongsi Cara Kiraanya.

Share

Zakat Emas wajib dibayar apabila sudah sampai kadar uruf yang ditetapkan mengikut negeri.

Ada dua kategori iaitu emas perhiasan (yang dipakai) dan emas bukan perhiasan (yang disimpan atau tidak dipakai).

Kadar uruf emas bukan perhiasan untuk seluruh negeri dalam Malaysia ialah 85 gram. Gold bar dan Dinar secara automatiknya masuk di dalam kategori emas bukan perhiasan kerana ianya tidak boleh digayakan. Melainkan anda tebuk lubang dan buat jadi subang atau loket dan dipakai. Pelik tapi tetap perlu dimaklumkan.

Jadi, jika anda ada gold bar seberat 100g, kali sahaja dengan harga emas semasa dan darab 2.5%. Dapatlah amaun zakat emas bukan perhiasan yang anda wajib bayar.

Contohnya pada 23 Disember 2020 mengikut harga emas 999 semasa :

84 gram tidak perlu zakat.
85g X RM268 X 2.5% = RM569.50
100g X RM268 X 2.5% = RM670

Untuk kadar uruf emas perhiasan pula berbeza mengikut negeri. Jika anda tanya mengapa, ini ada kena mengena dengan maksud uruf itu sendiri iaitu “adat kebiasaan”. Mungkin ada negeri-negeri yang sangat sinonim dengan emas, jadi kadar urufnya lebih tinggi berbanding negeri yang lain.

Untuk negeri Selangor contohnya, kadar uruf emas perhiasan ialah 800 gram. Jadi, apa yang lebih dari 800 gram itulah yang wajib dibayar zakatnya. Sebagai contoh emas perhiasan anda ada 900 gram, jadi 900 – 800 akan jadi 100 gram. Kali sahaja dengan harga emas semasa dan darab dengan 2.5%. Dapatlah nilai zakat emas perhiasan yang wajib dibayar.

Contohnya pada 23 Disember 2020 mengikut harga emas 916 semasa :

1 gram hingga 800 gram tidak perlu bayar zakat.

801 gram perlu bayar zakat untuk 1 gram sahaja.
1g X RM244 X 2.5% = RM6.10

900 gram perlu bayar zakat untuk 100 gram sahaja (900-800).
100g X RM244 X 2.5% = RM610

Mudah bukan? Di sini saya senaraikan kadar uruf mengikut negeri. Ada kebarangkalian kadar ini ada pindaan, sila dapatkan kepastikan di pusat zakat negeri anda.

Kadar uruf ikut negeri

Selangor, Kuala Lumpur = 800g
Johor, Terengganu = 850g
Perak, Pahang = 500g
Negeri Semilan = 200g
Melaka = 180g
Kedah = 170g
Pulau Pinang = 165g
Sabah = 152g
Sarawak = 90g
Perlis = 85g
Kelantan = Tiada uruf

Apakah yang dimaksudkan dengan Tiada Uruf di Kelantan? Ini bermakna, untuk yang tinggal di Kelantan, emas perhiasan tidak langsung dikenakan zakat. Jika ada 2 kilogram emas perhiasan pun tidak perlu bayar zakat.

Tetapi emas perhiasan yang tidak dipakai selama genap 1 tahun (cukup haul), secara automatiknya emas itu perlu dibayar zakat dan sudah masuk ke kategori emas bukan perhiasan.

Jadi, orang di Kelantan kena cakna bab ni. Perlu tahu barang kemas mana yang dah lama tak pakai. Nanti tak sedar, zakat tak bayar pula.

Perbezaannya mudah sahaja.

Emas perhiasan perlu dibayar zakat jika lebih uruf sahaja, tetapi hanya baki berat emas selepas ditolak kadar uruf.

(Ada negeri yang kira jumlah terus apabila sudah sampai uruf. Sila rujuk pusat Zakat negeri masing-masing)

Emas bukan perhiasan pula apabila sudah mencapai uruf, perlu dikenakan zakat untuk jumlah berat emas itu.

Contoh senario emas perhiasan :

Jika anda sebelum ini tinggal di negeri Kelantan dan ada 900 gram emas perhiasan yang dipakai, kemudian berpindah ke negeri Perlis, apabila cukup haul (genap setahun), anda perlu bayar zakat untuk 815 gram emas perhiasan anda.

Sebelum ini tiada uruf di Kelantan. Sekarang tinggal di Perlis sudah setahun, kadar uruf Perlis ialah 85 gram.

900g – 85g = 815g

815g X RM244 X 2.5% = RM4971.50

Itulah jumlah zakat emas perhiasan yang perlu dibayar jika mempunyai 900 gram emas di negeri Perlis.

Semoga kita tidak terleka dalam menjalankan kewajipan membayar zakat kerana membayar zakat itu adalah wajib.

Kongsikan penulisan ini buat makluman semua. Semoga dapat memberi manfaat.

Segala maklumat ini diperolehi dari laman web zakat negeri. Tertakluk kepada perubahan. Perlu dapatkan kepastian dari pusat Zakat negeri masing-masing.

Sumber: Akhtar Syamir