Seperti yang semua orang tahu, kerja baik yang diharapkan oleh kebanyakan ibu itu ialah doktor, arkitek, peguam – orang kampung saya panggil ‘loyar’ – akauntan, jurutera, juruterbang dan juru-juru hebat yang lain. Ada pun kerjaya sebagai wartawan tidak tersenarai langsung dalam fikiran ibu-ibu kita. Apa boleh buat!
Bercakap tentang kerjaya, selalu dia orang kata ‘bapa borek, anak rintik’. Maka mak betul-betul berharap peribahasa ini terjadi pada saya. Almaklumlah, dia suka saya duduk kampung.
Selalu dia menegaskan: “Jadi macam abah engkau lagi bagus, boleh mak jaga engkau pagi-petang, siang malam. Lagi pun rezeki kita sentiasa ada di kampung ni…”
Tetapi, abah menentang keras, katanya: “Aku sekolahkan engkau, supaya engkau jangan jadi macam aku!” Abah tidak mahu boreknya merintikkan hidup saya. Dia seorang penoreh getah.
Bukan hendak merendahkan kerja abah. Saya sentiasa sedar dan insaf, titik peluh dan doanya yang telah merobah hidup saya. Getah skerap yang busuk itulah telah membolehkan saya bersekolah.
Tapi, saya bersetuju dengan abah, bahawa peribahasa itu tidak semestinya diikut seratus peratus. Maka saya memilih kerjaya lain, walaupun itu tidak tersenarai dalam kerja terbaik.
Bapa borek anak rintik
Sebenarnya kagum saya dengan rintik anak-anak yang menepati borek ayah. Contoh, ada peguam terkenal yang kesemua anaknya menjadi peguam.Mesti masing-masing tajam berhujah. Macam mana agaknya mereka berbual ketika di meja makan? Mungkin terikut-ikut seperti dalam perbicaraan di mahkamah!
Ada juga yang sekeluarga menjadi doktor, mengikut jejak ayah. Jika terkena selesema atau demam, tidak perlu ke hospital, atau bergegas ke klinik, sebab sentiasa ada doktor dalam rumah.
Biasa juga, emak cikgu anak cikgu. Bapa polis anak polis. Ayah posmen anak pun posmen. Paling selalu kita dengar, bapa pelakon anak pelakon.
Ads
Tidak paksa, tak galak
Dalam kes saya, tidak pernah ada paksaan atau galakan agar anak-anak menjadi orang surat khabar. Sejak awal, empat orang anak saya – dua lelaki dua perempuan, berselang bunga – bebas memilih apa sahaja kerja yang sesuai.
Tambahan pula isteri saya tidak mahu mana-mana anaknya mengikut jejak saya. Almaklumlah, renyah hidup dengan wartawan, seperti yang selalu diberitahu kepada anak-anak: “Kerja tak ikut masa, orang cuti dia kerja, orang kerja dia cuti!”
Dan, seperti kebanyakan ibu-ibu lain, isteri saya pun inginkan anak-anaknya menjadi jurutera, doktor atau profesion selain wartawan.
Si sulung, lelaki, menepati kehendak ibunya, belajar lima tahun di bidang kejuruteraan perisian (software), dan kini bekerja di sebuah syarikat antarabangsa. Anak kedua, perempuan, nampaknya lebih cenderung untuk berniaga, setelah menamatkan pengajian di bidang pengurusan perniagaan.
Anak ketiga paling cemerlang dalam akademik. Selepas SPM, dia terpilih untuk mengikuti pengajian di sebuah universiti tersohor, di bidang kejuruteraan. Gembira sakan si ibu apabila seorang lagi anaknya bakal menjadi jurutera. Secara peribadi saya pun lega apabila sejak peringkat awal dia menujukkan prestasi di bidang kejuruteraan makenikal.
Tetapi, ketika hendak masuk ke peringkat ijazah, dia membuat tindakan mengejutkan lagi tidak masuk akal, dan menyakitkan hati. Dia hendak berhenti belajar.Terkejut beruk saya dan isteri. Apa hal bakal jurutera tiba-tiba membuat keputusan gila-gila? Bertuah punya anak!
Ads
Saya lebih memikirkan betapa dia telah dua tahun menghabiskan masa, dan membazirkan duit kerajaan. Ibunya pula terkilan untuk melihat jurutera kedua dalam keluarga. Tetapi, dia mempunyai alasan sendiri. Katanya: “Orang takde masalah belajar, boleh saja teruskan pengajian…tetapi orang tak minat sikit pun nak jadi jurutera.”
Dengan nada paling sempoi, dia menambah: “Kalau orang dapat ijazah pun hanya menyukakan hati mak dan abah, tapi orang tak minat kerja tu. Orang betul-betul minta maaf dan nak abah, mak faham…”
Emaknya segera memintas: “Habis tu awak nak jadi apa?”
Dia menjawab dengan nada perlahan, tetapi tegas: “Orang nak jadi macam abah. Orang nak jadi wartawan!’
Macam hendak tergelak saya, kelakar sangat! Tetapi fikir punya fikir, rasa terharu pun ada. Tidak disangka, ada juga yang hendak meneruskan borek saya. Dia mendapat biasiswa Karangkraf untuk ijazah komunikasi (pengkhususan kewartawanan) di sebuah universiti awam. Pasti kerana minat berkobar-kobar, dia lulus cemerlang, dan terus ditawarkan kerja di sebuah akhbar harian berbahsa Inggeris.
Ads
Setakat ini, setelah empat tahun, nampaknya dia menyerlah dalam kerjayanya. Ibunya menerima hakikat, dan tidak lagi terkilan, walaupun sesekali menyebut sindiran klise itu: “Orang cuti awak kerja, orang kerja awak cuti…”
Perihal puteri bongsu, lagi kelakar. Sejak sekolah rendah, dia selalu bertengkar dengan si ibu, kerana cita-citanya tidak pernah konsisten. Sekejap hendak jadi doktor, sekejap hendak jadi pramugari, sekejap hendak jadi profesor.
Oleh sebab dia pandai berhujah, bahasa Inggerisnya pun hebat, ibunya berharap yang seorang ini melanjutkan pelajaran di bidang undang-undang. Tamat SPM saya meminta dia mengisi borang memohon biasiswa, untuk belajar di mana-mana tujuh IPTS yang ada kolaborasi dengan syarikat.
Tetapi dia memilih universiti lain yang tiada kaitan dengan syarikat. Alasan loyar buruknya: “Saya anak bongsu, kenalah istimewa sikit. Lagi pun kampus universiti dekat rumah, boleh jalan kaki!”
Memanglah dekat rumah, tetapi itu kampus cawangan universiti terkenal Australia, antara yuran pengajian swasta termahal. Dan, saya membayar yuran sepanjang empat tahun itu! Ijazah yang diperoleh? B.A in Journalism. Hari ini dia menjadi wartawan sepenuh masa, bahagian bahasa Inggeris, di sebuah portal berita terkenal tanah air.
Dia orang kata ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi? Walaupun hanya dua anak saya menjadi wartawan, dalam keluarga saya ada empat wartawan, sebab seorang menantu saya pun wartawan. Ini kes kuah sudah terlebih tumpah!
Akhir kalam, memang benar wanita @ ibu selalu menjadi pendorong kerjaya anak. Ibu selalu kerjaya terbaik untuk anak-anak. Tetapi, anak-anak zaman ini tidak boleh dipaksa memilih kerjaya.
Ibu atau ayah boleh memberi galakan, tetapi tiada paksaan. Hal kerja, sama dengan hal jodoh, biar anak-anak tentukan. Kita doakan yang terbaik, insyAllah.
sumber : Abd Jalil Ali
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Raja Azura sopan berhijab, mohon doa agar kekal istiqamah, “bukan nak cantik tapi kerana Allah.” Raja Azura mengakui bahawa keputusannya untuk berhijab dilakukan dengan sepenuh hati.
Raja Azura Sopan Berhijab, Mohon Doa Agar Kekal Istiqamah, “Bukan Nak Cantik Tapi Kerana Allah”
Ujarnya lagi sudah tiba masanya untuk dia mematuhi kewajiban menutup aurat. Genap sebulan berhijab sebaik bergelar hajah, pengacara Raja Azura mengakui perubahan dilakukan adalah atas pilihan diri sendiri yang sudah semakin meningkat usia.
“JANGAN BUAT KERANA NAK KELIHATAN CANTIK, TAPI LAKUKAN KERANA ALLAH. APABILA SUDAH SAMPAI WAKTU, KITA BERUBAH MENJADI SEORANG YANG LEBIH BAIK.
“Kita semua makin lama makin berusia. Saya tidak seperti orang lain yang mendapat mimpi dibakar sebelum memilih untuk bertudung.
“Saya lakukan dengan ikhlas kerana Allah dan sedar menutup aurat ini adalah tanggungjawab dan wajib kepada diri saya,” katanya.
Jemu dengan imej sebelum ini, pelakon filem Tiga Janda Melawan Dunia itu meminta orang ramai mendoakan yang terbaik buatnya agar kekal istiqamah dan tidak cepat menghukum mereka yang belum bertudung.
“Saya sudah melalui macam-macam perkara dalam hidup ini. Kita semua melalui proses kehidupan, tidak kira baik atau buruk.
“Kalau ada dalam kalangan kita belum bertudung, jangan menyalahkan individu itu kerana mereka juga milik Allah.
“SETIAP ORANG AKAN MELALUI PELBAGAI DUGAAN DALAM HIDUP. JIKA TIADA UJIAN, TIDAK MUNGKIN MEREKA MAMPU MENJADI SEORANG YANG MATANG.
“Jadi, kena selalu berfikiran positif untuk orang lain. Belum tentu yang sudah bertudung itu hatinya baik, jadi perbetulkan diri sebelum nak istiqamah,” tuturnya tenang.
Ibu tunggal kepada dua anak itu turut meluahkan rasa teruja apabila berpeluang mengerjakan haji buat kali kedua bersama ibunya, pada Julai lalu.
Jelas Raja Azura yang mesra disapa Kak Engku itu, jemputan mengerjakan rukun Islam kelima itu adalah sesuatu yang tidak disangka-sangka. Ia sekali gus sebagai kejutan kepada ibunya yang sudah berada di Tanah Suci lebih awal.
Fasa kesukaran hidup yang dilalui oleh sebilangan besar antara ahli keluarga kesan daripada pandemik Covid-19 ini wajar didepani dengan sikap yang positif.
Biar ada ketua isi rumah yang telah kehilangan punca rezeki, isteri dan anak-anak perlu bijak memainkan perananan agar sama-sama terus bangkit dengan usahakan pelbagai cara demi mencari sesuap nasi untuk anak beranak.
Senario ini dikongsikan sendiri oleh doktor ini tentang beberapa kisah yang terjadi di kliniknya.
Jom kita baca agar perkongsian ini dapat memberi manfaat untuk kita bangkit bersama bagi merancakkan ekonomi keluarga.
Sepanjang PKP (hingga sekarang), setiap hari ada sahaja pesakit datang ke klinik mengadu hilang kerja atau pendapatan seisi rumah berkurang sampai tak cukup nak sara hidup.
Kebanyakan mereka datang untuk pemeriksaan kesihatan untuk jadi penghantar makanan. Sebahagian pula datang untuk ambil suntikan vaksin tifoid, untuk mula meniaga makanan.
Apa yang buat saya rasa ralat adalah; ada antara mereka ni yang dah berumur lebih separuh abad. Paling tua yang saya jumpa adalah pakcik berumur 56 tahun. Dah ada cucu dah.
“Cucu dah nak start taska. Ayah dia belum dapat kerja tetap, sekarang kerja GrabPanda. Duit tak cukup nak bayar taska,” kata pakcik tu.
Ayah mana yang sanggup lihat anak susah, inikan pula seorang datuk nak lihat cucu dia ada kekangan nak sambung sekolah. Sebab itu pakcik ni nak kerja jadi penghantar makanan juga. Nak bantu anak dan cucu.
Sedih bila membayangkan pakcik ni kena ke sana ke mari, redah panas dan gerimis untuk hantar makanan dari kedai-kedai ke rumah-rumah, demi untuk pastikan cucu boleh pergi taska nanti.
Seorang lagi emak, diajak oleh anaknya yang berumur 16 tahun untuk ke klinik. Budak tu nak menjual nasi lemak di hadapan rumah untuk bantu tambah pendapatan mereka sekeluarga.
“Saya kata dekat dia, nak jual depan rumah je, tak payahlah nak inject (suntikan tifoid). Lainlah nak ambil lesen meniaga,” kata emaknya, sambil buat muka tak puas hati.
“Kita nak jual makanan, kenalah ambil. Tak kisahlah nak ambil lesen ke tak. Benda ni kan untuk elak kita sebarkan penyakit pada orang, bukan untuk lesen,” jawab anaknya.
“Masalahnya, injection ni mahal! Faham tak?” balas maknya.
Saya tak tahu nak sokong yang mana. Si anak, bagus sudah pemikirannya. Keselamatan pembeli perlu diutamakan. Si emak punya keengganan pun ada asasnya. RM70-80 tu bukan nilai kecil.
Entahlah…
Ini antara cerita, daripada berpuluh-puluh masalah yang saya dengar dan saksikan sendiri sepanjang PKP ni. Tak tahu nak tolong bagaimana dah. Paling-paling kos pemeriksaan dan suntikan tu, saya bayar kepada klinik guna duit saya sendiri.
Tak bolehlah saya tak caj, kerana klinik saya pun nak hidup juga. Ada kos nak ditanggung, ada pekerja nak dibayar. Jadi, klinik caj pesakit, tapi saya yang bayar dari poket saya. Biar saya tanggung, bukan klinik.
Klinik saya pun terkesan juga dengan keadaan semasa. Gaji saya pun dipotong 50%. Namun, Alhamdulillah masih bolehlah meneruskan hidup, ada simpanan, ada sumber pendapatan lain.
Pendek kata, semua orang terasa impak daripada wabak COVID-19 ni, namun setiap orang lain dugaannya. Ada yang masih mampu berdiri, ada yang jatuh tersungkur ke tanah.
Sama-samalah kita bina semula ekonomi kita.
Kita sokong perniagaan di kawasan rumah kita, di kawasan tempat kerja kita. Utamakan perniagaan kecil-kecilan, berbanding perusahaan mega. Utamakan perniagaan tempatan, berbanding luar negara.
Selepas 55 Tahun, Anak Terkilan Ibu Ayah Pilih Berpisah Di Usia Emas, Undang Sebak
Dalam hidup ini, sebagai manusia yang punyai hati dan perasaan sudah pasti kita akan melalui rasa suka, duka, bahagia, dan derita.
Juga sebagai manusia sudah tentu kita inginkan bahagia hingga akhir hayat. Namun siapa sangka, kebahagian itu hanya seketika. Dan siapa kita untuk menidakkan takdir dalam hidup.
Perkongsian penuh emosi daripada Instagram pengacara dan personaliti TV, Ahmad Fedtri Yahya yang mendedahkan mendapat luahan hati seorang anak yang terkilan melihat ibu ayah memilih untuk berpisah di usia emas.
Dapatkan My Qalam Elite Digital Perjuzuk Set dengan diskaun RM5 apabila anda menggunakan kod KELGST5 di sini
Menerusi perkongsian itu, anak tunggal berkenaan meluahkan rasa yang sangat sedih melihat perpisahan itu. Malah turut meminta pandangan adakah orang lain turut melalui situasi yang sama.
Meninjau di ruangan komen, ada netizen meluahkan pengalaman yang sama apabila ibu ayah berpisah di usia emas.
Luahan itu, mengundang sebak dikalangan netizen. Ada yang mendoakan dan juga berpandangan perpisahan ada sebab tersendiri misalnya bertahan demi anak yang masih kecil lantaran tidak mahu ada hati yang terguris.
Seorang pemuda ditahan kerana disyaki mencabul seorang murid perempuan yang sedang bersolat Subuh dalam Masjid Jamek Sungai Masin dekat Batang Kali, awal pagi tadi.