Bila anak lelaki suka main anak patung, memang kena cepat buat aktiviti lasak. Apabila anak lelaki menonjolkan perwatakan lemah lembut, tentu mak ayah risau kan! Bimbang akan terbawa sehingga meningkat dewasa. Dr. Abdul Halim bin Masnan, Ketua Jabatan, Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris mengupas isu ini daripada perspektifnya. Memang mengejutkan! Moga jadi kita muhasabah diri dalam mendidik anak.
Isu lelaki lembut dewasa ini semakin gamat dan kontroversi. Lebih-lebih lagi kita digemparkan dengan golongan LGBT khususnya, sudah berani bersuara untuk mendapatkan hak kebebasan mereka. Dari segi hukum agama memang salah dan perlu dibanteras dengan segera. Takut-takut mempengaruhi anak kita dengan gejala yang sangat songsang ini.
Saya tak nak ulas banyak sebab ramai dalam kalangan masyarakat tak kira dalam kalangan ulamak, orang politik mahupun rakyat jelata pelbagai bangsa sudah memperkatakannya dengan berharap agar ia dapat ditanggani segera dengan hikmah dan sejahtera bersandarkan agama.
Cuma saya kembalikan semula situasi kepada anak-anak kita yang mungkin akan menghadapi cabaran ini bila mereka meningkat dewasa. Dari segi psikologi perkembangan kanak-kanak pada peringkat umur taska, iaitu 0-4 tahun, sebenarnya masih belum menampakkan dengan jelas sifat fizikal dan tingkah laku kelakian atau keperempuanan mereka Tetapi pada peringkat prasekolah ke atas, sifat ini sudah mula muncul dan akan lebih ketara berdasarkan tahap kematangan yang dibantu faktor hormon dan persekitaran.
KONTEKS ISLAM
Pengaruh gadget misalnya, sangat mempengaruhi jiwa kanak-kanak melalui perasaan ingin tahu setelah menerima terlalu banyak maklumat sama ada yang baik ataupun tidak. Apabila kita fokus kepada kanak-kanak lelaki khususnya, kecenderungan mereka untuk berada dalam dunia kelakian atau keperempuanan sebenarnya boleh dikenalpasti.
Dalam Islam, sifat kelembutan sang lelaki memang ada dinyatakan dalam Quran dan Hadith. Saya sendiri seorang lelaki lembut. Maksudnya nama saya, Halim itu maknanya lemah lembut. Dan nama tersebut merupakan nama bagi Allah Yang Maha Lemah Lembut. Tapi, untuk menampakkan maksud yang lebih jelas, nama itu perlu berpasangan dengan Abdul, iaitu Hamba Allah. Apabila nama Abdul Halim digabungkan membawa makna Hamba Allah Yang Lemah Lembut.
Jadi apa makna kelembutan dalam Islam bagi seorang lelaki yang nampak kontradik dari sifat lelaki yang lebih diterjemahkan sebagai keras, lasak, bertenaga dan macho?
Berdasarkan pemahaman saya, Islam menghendaki seorang lelaki itu mempunyai ciri kelembutan dalam tutur kata yang sopan, perbuatan yang lemah lembut dalam melakukan kerja yang berhati-hati, serta tenang dalam menghadapi situasi tegang yang memerlukan kita berfikiran rasional dan sejahtera.
DEDAH AKTIVITI LASAK
Jadi berbalik pada persoalan utama, adakah bahaya anak lelaki lembut, atau sebaliknya? Pengalaman saya mengajar prasekolah 15 tahun lepas, pernah berhadapan dengan anak murid lelaki yang bersifat lembut dari segi tutur kata dan perbuatannya. Sebenarnya, bagi saya anak itu didapati cenderung untuk memberikan banyak imej positif yang ditonjolkan dalam diri mereka.
Walaupun dia mudah mesra dengan semua rakan lelaki atau wanita, dia jarang menunjukkan situasi buli atau nakal yang boleh menimbulkan pergaduhan. Dia tekun buat kerja yang disuruh dan sangat sopan bertutur kata disebabkan suaranya yang lembut. Prihatin dalam melihat kawan-kawan yang lambat siap kerja, membuatkan dia seorang yang sangat membantu.
Tetapi mungkin menampakkan masalahnya bila dia suka bermain dengan aktiviti perempuan seperti memasak, dan bermain anak patung. Bagi saya itu adalah masih terkawal.
Jadi, walaupun pelbagai usaha di pra untuk menonjokan dia dengan aktiviti bersifat kelakian, sewaktu program perjumpaan dengan ibu bapanya, nasihat saya lebih berfokuskan kelebihan dia dari segi tingkah laku yang lembut dan bersopan yang perlu ibu bapa dikekalkan.
Walau bagaimanapun, kecenderungan untuk berimej kelakian perlu diwujudkan dengan lebih kerap seperti bermain aktiviti yang lasak seperti berbadminton, berlari, memanjat bukit dan berkebun.
Itu antara pengalaman yang saya lalui sejak kecil hasil didikan abah saya yang sering membawa saya berbadminton dan berkebun untuk menonjolkan perlakuan aktif dan lasak.
Dari segi sains, hormon testosteron pada lelaki dan estrogen pada perempuan, sangat mempengaruhi faktor fizikal dan emosi mereka. Namun, hormon estrogen misalnya, ada juga dimiliki oleh lelaki sama ada pada kadar yang sedikit ataupun banyak. Ini sedikit sebanyak boleh mempengaruhi tubuh badan fizikal dan perlakuan mereka yang sama ada terus kekal dengan perlakuan kelakian atau kecenderungan untuk ke arah keperempuanan.
KECENDERUNGAN BERMULA DI SEKOLAH RENDAH DAN MENENGAH
Persoalan bilakah anak lelaki atau anak perempuan ini akan mula nampak kecenderungan ke arah keperempuanan atau kelakian? Perkara ini sebenarnya akan lebih terlihat apabila mereka berada di sekolah rendah dan menengah.
Bagi murid lelaki, mereka akan mencuba untuk bercakap dan beraksi lembut, memakai pakaian yang berwarna lembut dan cerah seperti merah jambu dan jingga, serta menyertai aktiviti bersama perempuan. Ini boleh dilihat dengan lebih ketara apabila mereka akan mula cuba untuk memakai alat solek atau memakai pakaian wanita.
Begitu juga bagi murid perempuan yang menampakkan ciri-ciri mereka ke arah kelakian. Perkara tersebut seharusnya boleh diawasi oleh ibu bapa dan guru khususnya, dalam membendung dan mengatasi masalah ini.
Jadi, sama ada anak lelaki kita lembut atau anak perempuan kita lasak, masih belum terlambat untuk kita mendidik mereka untuk menonjolkan ciri kelakian atau keperempuan dengan aktiviti yang sesuai. Hormon yang ada dalam setiap anak itu walaupun berbeza-beza tahapnya, boleh dibantu untuk mereka menguasai sifat yang seharusnya ada dalam diri mereka.
KESIMPULAN
Sentiasa diterapkan dalam diri anak-anak dengan menghargai jantina yang mereka perolehi. Berikan khidmat sokongan sewajarnya kepada mereka. Dekatkan diri mereka dengan agama, ia lebih banyak membantu untuk mengetahui kenapa mereka diciptakan Tuhan. Juga berikan sokongan dan bimbingan agama sebenarnya boleh membantu kanak-kanak atau golongan tersebut untuk kembali kepada fitrah kejadian serta menghargai apa jua yang Tuhan beri. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Mengasihani.
Sumber: Majalah Keluarga via Dr. Abdul Halim Masnan