Ibu bapa pastinya bimbang apabila kesihatan anak terjejas. Ia termasuk masalah berkaitan telinga.
Terbaharu melalui perkongsian oleh Dr Ezairy M. Sallih yang menyentuh mengenai masalah telinga anak yang mengeluarkan bau busuk setelah cecair keluar dari lubang kecil hadapan telinga anak.
Jika anak mempunyai masalah ini segera dapatkan rawatan pakar ENT untuk pemeriksaan lanjut.
Ibu muda ini sangat bimbang. Anaknya yang mulai masuk ke alam sekolah kerap alami masalah pada telinga. Ada cecair yang keluar daripada lubang kecil di hadapan telinga. Busuk. Adakalanya berbau.
Firasatnya, ia adalah amat berbahaya. Perlu segera dilakukan sesuatu. Ditutup atau dijahit sahaja lubang itu supaya ia tidak lagi mengeluarkan cecair.
Namun hakikatnya, ia bukanlah seperti itu untuk kami merawat penyakit ini. Tidak perlu untuk ditampal mahu pun dijahit.
‘Preauricular sinus’ atau bukaan lubang kecil yang biasanya ada di kawasan depan telinga (sila rujuk pada gambar) biasanya berlaku akibat masalah kongenital. Maknanya ia berlaku semenjak lahir lagi, dan bukan disebabkan kuman, kemalangan atau pun kecederaan.
Cumanya apabila berlaku jangkitan di kawasan tersebut, maka kulit luarannya akan menjadi kemerahan sebagai tanda berlakunya jangkitan, membengkak yang berisi cecair nanah dan sakit apabila ditekan dari luar.
TINDAKAN IBU BAPA
Apabila keadaan ini berlaku, apa yang perlu anda lakukan? Langkah terbaik adalah seperti ini :
1. Bawa berjumpa doktor untuk diperiksa. Kami akan berikan ubat antibiotik yang sesuai bagi mengelakkan jangkitan lebih serius.
2. Jika pembengkakan pada kantung sinus tersebut sudah mengandungi nanah (doktor boleh mengenalpasti keadaan ini melalui pemeriksaan klinikal), kami akan lakukan pembedahan kecil untuk mengeluarkan nanah tersebut.
3. Pesakit akan diberi surat atau memo untuk melakukan cucian di kawasan pembedahan sehingga ia benar-benar bersih dan luka sudah mulai tertutup.
4. Apabila masalah ini berlaku secara berulang-ulang, pesakit akan dinasihatkan untuk menjalani pembedahan mengeluarkan keseluruhan kantung sinus tersebut atau juga dipanggil sebagai ‘excision of preauricular sinus’. Pembedahan ini boleh dilakukan sama ada secara bius setempat atau biusan penuh, bergantung kepada keadaan dan toleransi pesakit.
Semoga tulisan kali ini dapat memberi ilmu baru buat kalian.
Kredit: Dr Ezairy M.Sallih
Doktor Telinga, Hidung & Tekak (ENT)