Pilu hati seorang adik apabila abangnya yang baru balik daripada menziarahi ibu bapa mereka maut dalam sebuah kemalangan.
Muhammad Sufian Muhammad Yusari, 22, berkata Allahyarham abangnya, Muhammad Fadzli, 40, bertandang ke rumah keluarga di Kampung Seri Tiram Jaya, Tanjong Karang, malam kelmarin.
Arwah sempat menziarahi ibu, Jumiah Saman, 59, yang baharu selesai ujian dialisis buah pinggang dan bapa, Muhammad Yusari Shuib, 69, terlantar akibat patah tulang antara pinggul dan paha selepas terjatuh di kebun minggu lalu.
“Sebelum kejadian, arwah abang sempat berjumpa emak dan ayah dan tak sangka selepas itu dia terlibat dalam kemalangan maut,” katanya.
Muhammad Sufian menjelaskan kali terakhir dia berjumpa arwah abangnya di rumah ibu bapanya ketika menghantar seorang ahli keluarga yang bekerja di Kapar, Klang kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin.
Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian kemalangan maut membabitkan arwah ketika memandu dalam perjalanan pulang ke rumah jam 2.30 pagi.
“Biasanya arwah tegur saya tapi hari itu abang tidak banyak bercakap dan mendiamkan diri.”
“Rakan sekampung hubungi saya memaklumkan abang terbabit dalam kemalangan dan saya sempat melihat jenazah abang dibawa keluar dari kenderaannya”
Allahyarham Muhammad Fadzli disifatkan sebagai seorang anak yang taat kepada ibu bapa selain disenangi dalam kalangan ahli keluarga dan saudara-mara.
“Sepanjang hayatnya arwah cuba tunaikan segala permintaan ibu dan ayah, selain tidak pernah mengeluh. Walaupun sukar menerima hakikat ini, namun saya reda dan berdoa arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.”
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Muhammad Fadzli maut selepas Perodua Myvi yang dipandunya melanggar Mercedez Benz C200 dipandu seorang warga emas berusia 66 tahun yang menghentikan kenderaannya di tengah jalan dari arah Rawang ke Tanjong Karang.
Pelanggaran itu dipercayai mengakibatkan Muhammad Fadzli gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas masuk ke dalam parit dan maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seri Tiram Jaya, Tanjong Karang, jam 2 petang.
Sumber: Sinar Harian