Biarpun Hanya Seekor Ayam, Wajahnya Sungguh Gembira, Nikmat Yang Biasa Bagi Kita, Tapi Tidak Bagi Ibu Ini.

Share

Jika setiap hari mengeluh asyik makan menu yang sama, lauk satu je, rasa panas tak ada penghawa dingin, sedih gaji kena potong dan sebagainya, namun ada lagi insan yang lebih malang dari kita.

Jika selama ini, kita asyik merungut, bila duit belanja belanja dapurkan dikurangkan apabila suami kena potong gaji disebabkan pandemik Covid-19 dan pelbagai lagi, namun kita harus bersyukur kita masih boleh meneruskan kehidupan bersama keluarga, cuma kena ‘cut’ sedikit apa yang tidak perlu.

Dalam kesedihan kita bila kena ‘cut’ sana ‘cut’ sini, ada insan lain yang mendapati kesukaran dalam hidup kita. Pelbagai kesusahan yang diluar jangkauan fikiran kita disebabkan kita tidak pernah melalui pengalaman itu. ,
Bak kata orang, bila tak duduk dalam ‘kasut’ orang tu, kita takkan rasa apatah lagi memahami susah orang itu.

Sebagaimana perkongsian lelaki ini, beliau meluahkan rasa sayu melihat seorang wanita yang berpakaian lusuh tetapi mencari ‘rezeki’ walaupun di tempat pembuangan sampah.

Lebih terkesan, wanita itu berkata untuk hidup perlu bekerja keras. Dalam pada itu, dengan riak wajah yang ceria, wanita itu melahirkan rasa syukur setelah mendapat sedekah seekor ayam. Biarpun ia hanya biasa-biasa bagi kita, tidak bagi wanita. Barangkali mungkin sudah lama tidak menjamah makanan sebegitu. Moga kisah ini menjadi iktibar buat kita, sentiasa bersyukur apa yang ada.

Ikuti perkongsian ini.

Sedekah ayam 

Aku dah niat, pagi ni, nak belikan ayam, sedekahkan kat sesiapa yang aku jumpa. Sedang elok tadi, masa nak balik dari kedai, aku jumpa kakak ni dekat timbunan sampah.
Beliau ralit mengasingkan sampah yang mungkin boleh dijual bagi mendapatkan duit.

” Assalammualaikum kak, saya nak bagi ayam ni. Bolehlah buat lauk makan. Ada orang sedekah. Akak ambillah ye.”
” Ya Allah dik, terima kasih banyak. Dapatlah makan lauk ayam malam nanti. Siapa adik dik?”
” Saya duduk depan nun. Doakan saya ye kak, doakan juga pada mereka yang bersedekah.”
” Allahuakbar, semoga murah rezeki kau dik. Murah jugalah mereka yang bersedekah. Akak kat sini jelah, cari barang yang boleh dijual. Ada rezeki, dapatlah duit, bolehlah beli makanan.’

Luah rasa syukur dan doa
Kakak menggenggam erat plastik berisi ayam seekor yang aku berikan. Entah apalah nak dimasaknya nanti. Semoga kenyang perutnya, dapatlah tidur lena nanti malam.
” Nak hidup dik. Terpaksalah kerja-keras.”
” Betul kak. Semoga akak sihat selalu. Jangan lupa bawak balik ayam tu. Boleh masak.”
Kakak itu pun melambai. Tangannya diangkat.
Jelas bibirnya kumat kamit berdoa, bersyukur.

Kesukaran hidup itu ‘guru’ kehidupan 
Aku renung muka kakak tu. Redup wajahnya, menyimpan seribu kisah tak tercerita. Mana mungkin kalau beliau mampu untuk hidup senang, bergelumang di tempat longgokan sampah yang berbau harum semerbak ini.
Namun, inilah kehidupan. Ada indah, ada dukanya. Tiada siapa yang minta kesusahan, namun kepayahan itulah guru kehidupan.

Aku pulang membawa kegembiraan di hari ulang tahun hari ini. Hati lapang melihatkan senyuman kakak yang tak pernah gundah harungi dugaan yang terpaksa ditempuhi.
Aku dongak ke langit, bermonolog.

” Tuhan, andai kau datangkan kebahagiaan padaku hari ini, anugerahkan juga kepada semua yang membaca apa yang aku kongsikan.”
Di suatu petang yang dingin aku mengarang kisah kehidupan yang nyata dan tulus.

Sebuah kisah yang mendidik kita belajar erti bersyukur dalam hidup.

Sumber: Pe Chey