Biarpun Dihalau & Diharamkan Susu, Saya Tetap Sayang & Tak Benci Mak” – Penghuni Rumah Gelandangan

Share

Tak boleh bayangkan, orang pertama yang muncul dalam hidup kita, melahirkan dan membesarkan kita sekelip mata boleh halau dan mengharamkan susunya kepada kita.

Itulah yang dirasai oleh seorang penghuni rumah gelandangan milik Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Marhaen (KMM), Taiping menyatakan dia tetap sayang ibu kandungnya biarpun sudah setahun lebih dihalau keluar dari rumahnya.

Memetik laporan Harian Metro, pemuda yang dikenali sebagai Mohamad (bukan nama sebenar) itu mengakui dia rindu akan keluarganya dan mempunyai keinginan untuk kembali bersama mereka.

“Anak mana yang tak sayangkan ibunya. Biarpun dihalau dan juga diharamkan susu yang diberi, saya tetap sayang dan tak pernah membencinya.

“Setiap kali puasa atau raya mesti teringatkan mak dan teringin nak bersama mereka, namun mak dan ayah tiri bersikap seperti orang asing pada saya. Tak tahu di mana salah saya kerana dari kecil lagi saya dihantar ke sekolah tahfiz sehinggalah umur 12 tahun.

“Selepas ayah meninggal dunia dan apabila mak berkahwin pula dengan bapa tiri beberapa tahun lalu, saya sentiasa menerima layanan buruk sehinggalah dihalau keluar dari rumah pada awal Januari tahun lalu.” katanya.

Tambah Mohamad lagi, 14 Januari 2022 merupakan tanggal yang akan sentiasa dikenangnya kerana pada tarikh tersebutlah dia dibawa ke rumah gelandangan tersebut oleh penduduk kampung.

“Sudah ibarat syurga buat saya, namun tetap terasa kekurangan iaitu kasih sayang ibu sendiri.

“Apakan daya, mereka dah ‘buang’ saya dan walau apapun kesalahan mereka, saya tetap maafkan dengan seikhlasnya,” tambahnya yang kini berkerja di sebuah hotel di bandar ini.

Menurutnya, tahun ini akan menjadi tahun ketiganya menyambut Syawal di rumah gelandangan tersebut.

Difahamkan, Mohamad mempunyai dua adik perempuan berusia 13 dan 17 tahun yang kini tinggal bersama ibunya yang berumur lewat 30-an dan bapa tiri, 50-an.

Sumber: Harian Metro