Sesungguhnya peranan ibu bapa antara faktor kecemerlangan seseorang anak itu. Inilah yang dikatakan anak adalah cerminan ibu bapa. Nyata terbukti apabila anak kepada pelawak terkenal, Allahyarham Mr. Os atau Mohd. Yusof Abdul Hamid iaitu Syafiqa Hayra, 26, berjaya menamatkan pengajiannya pada peringkat Ijazah Sarjana Muda Perubatan dari Universiti Mansoura, Mesir dengan keputusan cemerlang pada Januari lalu.
Menurut laporan Harian Metro, kejayaannya yang dikecapi adalah sokongan daripada arwah ayahnya.
“Jujurnya, dalam kegembiraan yang dikecapi atas pencapaian hari ini, sebenarnya saya turut bersedih kerana arwah ayah tidak sempat melihat kejayaan saya.
Ijazah ini hadiah untuk arwah ayah.
“Alhamdulillah, kejayaan ini amat besar maknanya dan terima kasih kepada arwah yang sering memberi semangat untuk meneruskan cita-cita.
Arwah selalu berpesan supaya saya menjadi seorang doktor yang berbakti kepada masyarakat kerana Allah,” ujarnya.
Mr. Os meninggal dunia di Hospital Selayang pada 8 April 2016 akibat menderita kanser paru-paru.
Sumber: Instagram Syafiqa Hayra via Harian Metro