Demi kelangsungan hidup dan menyara keluarga, penyanyi terkenal era 90 an, Shima atau nama sebenarnya Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman baru-baru ini mengambil langkah memulakan perniagaan nasi campur di tapak berdekatan rumahnya.
Tidak segan atau malu untuk berniaga, pelantun lagu Teringin ini membuka gerainya di Damansara Damai.
“Biarlah apa orang nak kata sekali pun. Mereka tak tahu nak mulakan bisnes ini pun perlukan modal. Tak perlu saya nak kongsikan jika ada masalah kewangan sekali pun.
“Bisnes ini adalah sebagai salah satu langkah menambah pendapatan. Hasrat untuk berniaga nasi campur sudah lama tapi kena cari tempat sesuai. Kebetulan tapak ini dekat dengan kawasan orang lalu-lalang.
Menurut Shima, gerai tersebut diberi nama ‘Warung Teringin’ yang diambil dari lagunya yang cukup hit dari dulu dan kini.
“Idea untuk memulakan perniagaan sudah lama difikirkan. Dahulu sering masak untuk rakan-rakan dan mereka memberi sokongan untuk memulakan perniagaan. Namun kerana kekangan waktu niat tersebut tidak pernah menjadi.
“Cuma buat masa ini, jualan yang bermula jam 11 pagi hingga petang hanya untuk makanan dibawa pulang atau ‘tapau’. Bagi saya, apabila diberi ruang untuk berniaga pun saya sudah bersyukur,”ujar Shima yang mempunyai perancangan untuk membuka restoran suatu hari nanti.
Walaupun ini pengalaman pertama Shima berniaga, namun dia bersyukur kerana memperoleh kesempatan dan peluang untuk berniaga. Antara juadah yang disajikan termasuk asam pedas, asam rebus, goreng berlada, masak lemak cili api dan aneka masakan kampung lain.
Sumber: Utusan Online & IG shimagegarvaganza1