“Biar Dikata Sombong, Anak Lebih Penting Dari Populariti.” Utamakan Keluarga Dari Kerjaya, Fasha Akur Bekas Suami Tak Izin Anak Terlibat Jadi Duta Produk

Share

Menjadi selebriti bukan sesuatu yang mudah. Selain menjaga penampilan dan imej di hadapan khalayak ramai, dalam masa yang sama perlu memberi perhatian pada keluarga.

Namun selebriti yang satu ini sentiasa memberi yang terbaik, dalam kerjaya mahupun rumah tangga. Tidak hairanlah dia selalu mendapat pujian dari penerbit mahupun pengarah drama.

Biarpun dikelilingi dengan populariti dan tawaran yang tidak putus-putus sebagai pelakon, namun Fasha Sandha tidak mengabaikan tanggung jawab sebagai seorang isteri dan juga ibu.

Tak kisah dikata sombong demi anak-anak

Akui ibu kepada dua cahaya mata ini, bukan soal bayaran yang menjadi keutamaan, sebaliknya minat mendahului segalanya.

“Saya buat yang terbaik bukan kerana soal bayaran, sebaliknya kerana minat. Tetapi tak semua yang saya terima tawaran yang datang kerana keadaan komitmen yang tidak mengizinkan. Demikian juga bab anak-anak. Kalau ada peluang akan masak untuk suami dan anak-anak. Sebab tu kalau tawaran yang siri terlalu panjang dan memerlukan komitmen tinggi jadi saya tolak dengan baik kerana takut tak boleh bagi masa untuk keluarga.

“Demikian juga apabila saya bersama peminat. Saya tak suka berpura-pura atau nak tunjuk diri baik sangat, dengan peminat kena jadi diri sendiri. Mereka suka kalau kita melayan, tetapi bukan dalam semua situasi. Waktu saya dengan keluarga terutama anak-anak, saya akan secara automatik sedikit ‘sombong’. Bukan apa, sebab saya lebih pentingkan keselamatan anak-anak.

“Biar saya dikata sombong kerana anak-anak lebih penting dari segala-galanya. Bukan populariti semata-mata. Apabila dengan anak-anak keutamaan lebih pada mereka dahulu. Anak-anak penting dalam hidup saya. Tetapi saya akan cakap baik-baik dengan peminat, bukan buat muka sombong. Alhamdulillah, mereka faham situasi tersebut,”ungkap Fasha lagi.

Tolak tawaran duta untuk anak-anak

Ditanya mengenai tawaran menjadi duta dengan anak-anak, akui Fasha memang ada tetapi ditolak dengan baik.

“Kalau diikutkan memang ada tawaran untuk saya dan anak-anak tapi saya hormat keputusan bekas suami yang tak benarkan. Jadi saya hormat kerana itu anak dia juga, Kena hormat permintaan Jejai. Tetapi kalau saya dengan Aidil tak ada masalah dan kami sudah ada tawaran untuk kami berdua.

“Soal menjawab komen dari peminat semuanya bergantung pada ruang masa. Jika ada masa saya akan balas komen peminat kerana saya hargai sokongan mereka. Saya suka dengan kerjaya ini dan sejak umur 18 tahun sudah memasuki bidang ini.

“Sejak dahulu lagi saya memang suka bekerja dan tak boleh duduk diam. Pada saya, wanita yang bekerjaya adalah wanita yang tidak akan ditindas. Jadi teruskan bekerja, tetapi saya tak kata suri rumah akan ditindas. Tetapi kalau kita bekerjaya kita takkan ditindas,”ujar Fasha lagi.

Duta baharu produk Aurawhite 

Pelakon yang sedang popular dengan drama bersiri Semua Salahku itu ketika ditemui pada majlis pelancaran produk Aura White Sparkle Diamond Skincare dan Aura White Sparkle Diamond Collagen Travel Pack di Hotel Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Dalam majlis tersebut, fasha dilantik duta baharu bagi produk Aurawhite Sparkle Diamond Skincare. Manakala Ayda Jebat pula kekal duta bagi Aurawhite Sparkle Diamond Travel pack selama 4 tahun berturut-turut.

Syarikat ini dimiliki oleh Datin Furyna Azmeer dan Datuk Saiful Safwan sejak tahun 2012 ini  terkenal dengan rangkaian produk kesihatan & kecantikan lelaki dan wanita dengan lebih 60 jenis produk di pasaran. Antaranya, Aurawhite Sparkle Diamond Collagen, Aurawhite Skinspa, Auramen Turbo Collagen, Auramen Skincare dan banyak lagi.

Hargai doa peminat supaya pakai tudung

Mengulas lanjut mengenai penampilannya bertudung ketika ramadan lalu, jelas isteri kesayangan aktor Aidil Aziz ini mengakui ramai yang memberi respond positif mengenai hal tersebut.

“Memang ramai yang suka tengok saya bertudung dan ada peminat mengharapkan agar saya kekal dengan imej sebegitu. Alhamdulillah, peminat sentiasa mendoakan yang baik-baik untuk saya dan keluarga.

“Saya sangat menghargai setiap doa baik-baik daripada mereka. Cuma saya sendiri buat masa sekarang sedang dalam proses belajar. Doakan yang baik-baik supaya semuanya dipermudahkan.

“Begitu juga dengan suami saya, Aidil yang tidak pernah minta atau suruh saya pakai tudung. Dia tidak kisah kerana dia tahu mana yang terbaik untuk saya. Dia juga beri ruang untuk saya belajar perlahan-lahan dan tidak pernah mendesak.

“Tetapi kalau boleh, saya tidak mahu terlalu berbicara tentang hal ini bimbang disalah erti sesetengah pihak. Iman kita ni ada kalanya turun naik. Jadi lebih baik saya tetapkan hati terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan dalam hal ini. Cuma harapan saya agar peminat dapat mendoakan yang terbaik,”jelas Fasha lagi.