Betul Ke Sebab Makan Pil Perancang Boleh Gemuk? Ni Jawapannya Yang Tepat!

Share

Umumnya kita biasa dengar bila orang perempuan amalkan makan pil perancang, mesti tubuhnya akan gemuk. Pun begitu adakah kenyataan ini benar atau sekadar menakut-nakutkan sahaja.

Tidak mahu terus di dalam keadaan keliru dan bimbang, ayuh kita dengar fakta daripada doktor yang lebih arif dalam hal ini. Jom semak perkongsiannya itu.

“Ehhh Amy lama tak jumpa ko kan!

“Ko mengandung lagi ke Amy? Boyot semacam je perut ni. Bukan ko baru je beranak aritu?”

“Haaaa ni mesti sebab makan pil perancang ni, sebab tu ko gemuk semacam. Tu lah, degil taknak dengar cakap aku, Amy – pil perancang boleh sebabkan ko jadi gemuk. Ko dengar cakap doktor tu buat apa. Yang gemuknya kite, bukan doktor tu.”

– Ujar Kiah sambil mencubit lemak pada pinggang Amy .

Betul ke pil perancang sebabkan kegemukkan? Jom baca penjelasan di bawah

Pil perancang keluarga/kehamilan telah bearada di pasaran lebih 50 tahun dan merupakan salah satu kaedah perancang kehamilan yang paling senang didapati, murah, dan mudah. Dengan cara penggunaan yang betul dan tepat, 99% keberkesanan boleh dicapai. Perlu dingatkan di sini, bahawa TIADA kaedah yang 100% mencegah kehamilan selain tidak melakukan hubungan kelamin atau melakukan pembedahan membuang rahim, 99% keberkesanan boleh dikira sebagai peratusan terbaik untuk perancangan keluarga.

Maka, dari mana datangnya pendapat mengatakan bahawa pil perancang kehamilan ini menggemukkan? Ini lebih kepada datuk nenek moyang yang turun temurun berkisahkan pengalaman orang terdahulu – bukannya dibuktikan secara saintifik.

Gaya hidup yang kurang sihat, serta permakanan – nasi lemak nasi tambah, roti canai, teh tarik lebih manis kaw, milo dinosaur kaw, kari kambing dan seumpama dengannya adalah penyumbang utama kepada pertambahan berat badan dan masalah-masalah kesihatan lain, tetiba pula pil perancang kehamilan yang mendapat nama buruk dan dituduh menambah berat badan wanita! Macam mana tu?

Walaupun yang demikian,boleh je faham mengapa timbulnya andaian tersebut. Salah satu hormon dalam penyediaan pil pencegah kehamilan, iaitu hormon progesteron boleh menyebabkan perut menjadi kembung yang mana disalah anggap sebagai bertambahnya berat badan.

Namun begitu, simptom-simptom ini amat berbeza dari individu ke individu, bergantung pada tindak balas badan kepada jenis-jenis hormon progestron tertentu yang boleh membawa kepada kesan-kesan tersebut. Justeru itu, tidak semua wanita mempunyai kesan yang sama.

Ada pendapat sebelum ini menyatakan kandungan hormon estrogen dalam pil pencegah kehamilan yang dituduh menjadi penyebab berat badan bertambah. Pendapat ini tidak tepat sama sekali kerana hormon ini sebenarnya menggalakkan metabolisme dan membakar lemak secara cepat.

Akan tetapi,penggunaan hormon estrogen dalam pil perancang kehamilan dalam generasi baru dikurangkan untuk mengurangkan risiko kesan sampingan seperti pembekuan darah dan strok. Saya rumuskan di sini hormon estrogen sebenarnya TIDAK menyebabkan kegemukan.

Anda tidak perlu gusar mengenai peningkatan berat badan sekiranya mengambil pil pencegah kehamilan. Anda perlu mengubah gaya hidup, bertukar kepada permakanan sihat daripada menyalahkan pil perancang kehamilan yang menyebabkan kegemukkan semata-mata.

Saya tak makan pil perancang pun gemok gak awaaa !

Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak
Pegawai Perubatan
Kesihatan Wanita & Kehamilan

sumber : Dr Muhammad Izzat