Orang dulu-dulu ada sahaja pantang larangannya. Jika hendak disenaraikan terlalu banyak,  umpamanya tak boleh lalu bawah ampaian, jangan menyanyi bila di dapur, jangan makan disenduk dan macam-macam lagilah. Pastinya juga larangan ini ada sebabnya yang tersendiri.

Begitu juga bab larangan memakan biji cili, biji jambu dan sebagainya  untuk tujuan penjagaan kesihatan.

Pun begitu, ketahui apa penjelasan dari sudut kajian santifik sebagaimana yang dikongsikan oleh doktor ini.

BENARKAH BIJI CILI BOLEH JADI PUNCA APENDIKS?

Kita sering dimomokkan dengan kata-kata jangan makan cili atau biji jambu batu kerana boleh menyebabkan apendiks. Larangan ini sering bermain dalam fikiran sehingga wujud rasa takut setiap kali ingin mengambil makanan pedas.

Sebenarnya tiada kajian saintifik membuktikan apendiks disebabkan pemakanan apatah lagi dikaitkan dengan cili dan jambu batu. Mungkin ia hanya petua masyarakat terdahulu yang melarang pengambilan cili dan jambu batu kerana boleh menyebabkan sakit perut.

IKLAN

Namun dari sudut perubatan ia tidak dapat dibuktikan. Malah sesiapa saja berisiko mengalaminya walaupun tidak makan biji makanan seperti yang dinyatakan.

Hakikatnya, segala makanan yang keras seperti biji cili dan sebagainya akan hancur di dalam perut disebabkan oleh asid perut. Selepas hancur sepenuhnya, barulah ia akan masuk ke usus untuk proses pembuangan najis.

Jadi, pemakanan bukanlah punca radang apendiks. Tetapi, apakah punca sebenar ia berlaku?

Radang apendiks (appendicitis) bukanlah sejenis penyakit tetapi satu keadaan di mana pundi apendiks (vermiform apendiks) tersumbat. Untuk anda yang belum tahu, ia adalah satu struktur berbentuk tiub yang terletak pada bahagian pemulaan usus besar. Walaupun begitu, fungsi sebenar organ ini masih belum dapat diketahui dengan tepat.

Mengapa ia boleh tersumbat jika bukan sebab pemakanan? Ia adalah disebabkan oleh bukaan apendiks menuju ke tiub besar atau sekum tersekat. Sekatan ini mungkin berlaku akibat lendir tebal dalam apendiks atau serpihan najis keras daripada tiub besar termasuk ke pundi apendiks. Inilah punca sebenar radang apendiks berlaku.

Selain itu, keadaan ini juga boleh berlaku berpunca daripada jangkitan bakteria. Ia sering menyerang golongan muda sekitar usia 10 hingga 30 tahun. Jadi, jangan sesekali beranggapan bahawa orang yang masih muda tidak boleh mengalaminya.

Gambar hiasan

Untuk merawatnya, doktor hanya akan beri pesakit antibitiotik untuk melegakannya. Jika masih tidak pulih, cara terbaik untuk menghilangkannya adalah melalui pembedahan membuang pundi apendiks (apendektomi).

Sekiranya kita telah terkena radang apendiks, cara yang terbaik untuk menghilangkan kesakitan yang dialami adalah dengan melakukan pembedahan apendiks kerana ia juga adalah satu-satunya teknik yang telah diperakui oleh kebanyakan pakar kesihatan.

Untuk pengetahuan anda, pembedahan ini turut dikenali sebagai appendectomy.

Caranya, doktor boleh melakukannya dengan dua cara iaitu pembedahan membelah perut secara terbuka dan laparoskopi (membelah perut dengan ukuran yang kecil dan memasukkan kamera untuk melihat ke dalam).

Namun, ia bergantung kepada saiz tumor pada bahagian apendiks itu sendiri. Sekiranya ia terlalu besar, pembedahan major terpaksa dilakukan dalam usaha untuk membuangnya.

Kesimpulannya, punca sebenar radang apendiks ini adalah penyumbatan di dalam saluran apendiks seperti yang dinyatakan.

Walaupun begitu, pemakanan tidak boleh dianggap sebagai antara punca utamanya kerana masih tidak ada kajian kukuh yang mengatakan sedemikian.

Sumber : Dr Zubaidi Hj Ahmad

Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club