Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, namun betapa susahnya diri kita menanggung ujian terkadang orang sekeliling hanya pandai berkata-kata sahaja hingga tanpa sedar mengguris perasaan.
Kisah dan pengalaman yang sama juga telah dilalui oleh ibu ini dalam membesarkan anak istimewanya dan kisahnya itu dikongsikan di sini.
Selama 12 tahun, saya begitu yakin cerebral palsi boleh pulih.
17 tahun, kehidupan kami banyak menggembara ke luar negara …cuba mencari penawarnya.
“Kenapa dia? Tak cuba pergi berurut ke, terapi ke?” Ayat wanita yang lalu di hadapan kami ketika di PKNS Bangi itu masih perit diingati.
Saya hanya diam memandang kosong wanita itu tanpa senyuman. Penat baharu pulang dari UK, tidak mahu dibazirkan tenaga menjelaskan padanya.
Dalam hati berdetik juga;
“If only you knew what we have done and went through.”
Tanpa mengenali,
Tapi tahu latar belakang,
Tanpa berfikir sebelum bicaranya,
Seolah dia meletakkan ‘tuduhan’ kami ibubapa yang tidak berusaha!
Sedangkan saat itu, kami baharu sahaja pulang dari UK; meninggalkan kehidupan selesa dan pekerjaan di tanahair.
Itu tuduhan sangat tajam menikam.
Mana ada ibubapa yang tidak berusaha untuk anaknya. Apatahlagi anak seperti Balqis kami.
4 tahun Balqis ke pelbagai terapi di sana.
3 tahun Balqis bersekolah di sana.
Malah menjalani operasi jantung selama 17 jam di hospital terkemuka sana!
“Waaa, best la. Rezeki Balqis kat sana.”
Mulut berbicara dari 1 sudut sahaja, tanpa berfikir panjang agaknya.
Eh, Bukan semudah itu urusannya ya.
Di sebalik tabir dalam proses 4 tahun terapi itu, Saya terpaksa tangguhkan pengajian Masters yang hanya berbaki 2 semester sahaja lagi. Malah berhenti kerja.
Kami hidup dengan elaun pelajar yang rendah di sana.
Belum lagi keadaan fisikal dan jiwa. Raungan kesakitan Balqis menjalani setiap sesi terapinya. Lelah dan demam yang seringkali dihadapinya,
Emosi dan kepenatan tubuh manusia,
Konflik yang timbul dalam keluarga,
Masalah kewangan yang dihadapi, hingga kami suami isteri bergilir waktu bekerja cuci di kampus universiti.
Semua ini datang bersama dalam 1 pakej untuk ‘kesembuhan’ Balqis.
Selepas itu, kami ke US pula. Dengan harapan “pulang nanti Balqis boleh berjalan!”
Lalu, Rumah dan kereta dijual. Kerja ditinggalkan tanpa ada tarikh tetap untuk kembali semula. 6 anak kecil berantakan resah di dalam 17 jam perjalanan udara.
Jelingan tajam mata para penumpang yang menambahkan resah di jiwa.
Kepenatan yang tidak terkata. Belum lagi kisah proses kehidupan baharu dan terapinya di sana pula.
Kami pulang ke tanahair, tetap mengendung Balqis yang sudah di usia awal remaja.
Selama 12 tahun usia Balqis, Saya begitu mudah rasa kecewa dengan diri sendiri, suami malah anak-anak.
Saya mudah stres dengan persekitaran.
Rumahtangga kami mudah goyah bila salah seorang termakan kata-kata pedih yang dilemparkan kepada kami sekeluarga.
Akhirnya,Dengan izin Allah, hanya 8 tahun yang lepas saya temui jawapan pada perjalanan berliku kami keluarga.
Selama usaha kami membawa Balqis ke luar negara mendapatkan ‘kesembuhan’ yang dicari, Saya sekalipun tidak pernah bangun malam memohon dariNYA.
Saya tidak sekalipun pernah menangis ketika sujud mengadu padaNYA.
Saya membuka Al Quran hanya untuk mencari jawapan terus “bagaimana menyembuhkan anak istimewa!”
Ya Rabb
Betapa jahilnya hambaMU ini.
Kita semua perlu sedar….
Harapan seorang ibu mahu anaknya kembali sempurna, semua ibu yang waras akan rasa.
Usaha tanpa reti berputus asa para ibubapa untuk anaknya, itu adalah naluri semulajadi setiap kita.
Namun, yang paling utama;
“Di mana iman kita ketika diujiNYA?”
“Adakah semakin dekat atau jauh dariNYA?”
“Bagaimana kita berusaha ‘menterapikan’ jiwa kita sendiri dalam usaha membantu anak yang dikasihi?”
Kisah-kisah ini, panjang dikongsikan di dalam buku “Balqis-Di Mata Kami, Di SisiNya”
Yang dipendam selama ini, disusun berhati-hati dengan kata-kata penuh makna.
Yang dilalui, diceritakan dengan terperinci dalam setiap kisahnya.
Agar ramai cuba mengerti sebelum menyemburkan kata-kata yang menikam hati ibubapa seperti kami.
Perjalanan rohani kita saat diuji hanya ada 1 ubat mujarabnya…
Berlarilah padaNYA!
Biarlah jiwa tenang dan iman teguh saat diujiNYA.
Meletakkan harapan dan keyakinan pada janjiNYA.
Keputusan akhir bukanlah yang utama dilihatNYA,
Tetapi usaha kita.
Ukurannya bukan di mata manusia, tetapi di sisiNya
Pasti tiada yang sia-sia.
~Ada Syurga Di Bawah Bumbung Rumah Kita~
sumber : Ummu Naufal